Gusi berdarah adalah salah satu simptom atau gejala kepada penyakit gusi. Ia juga boleh menjadi tanda kepada masalah atau penyakit yang lain.
Gusi berdarah mungkin boleh berlaku akibat daripada memberus gigi dengan kasar atau akibat pemakaian pendakap gigi yang tidak kemas.
Pendarahan gusi yang kerap boleh menjadi satu petanda kepada keadaan atau penyakit yang lebih serius. Oleh itu, ketahui punca-punca yang boleh menyebabkan gusi berdarah serta pilihan rawatan yang ada bagi merawat keadaan ini.
Punca-punca Gusi Berdarah
Masalah-masalah berkaitan dengan penjagaan gigi adalah punca-punca utama yang menyebabkan gusi berdarah. Gingivitis (keradangan gusi) dan periodontitis adalah antara punca utama yang menyebabkan gusi menjadi sensitif dan mudah untuk berdarah.
Berikut adalah beberapa faktor yang boleh menjadi punca yang menyebabkan gusi berdarah:
1. Gingivitis
Gingivitis ialah keradangan yang berlaku pada gusi. Gusi berdarah adalah salah satu isyarat gingivitis.
Penyakit gusi ini berlaku disebabkan oleh plak di sempadan gusi. Plak merujuk kepada sebarang lebihan makanan, mukus atau bakteria yang melekat di gigi anda.
Sekiranya anda menghidap gingivitis, gusi anda akan mengalami keradangan, merah dan bengkak.
2. Periodontitis
Periodontitis pula merujuk kepada penyakit periodontal yang berlaku akibat gingivitis yang telah melarat.
Periodontitis boleh menyebabkan kerosakan pada tisu dan tulang rahang yang menyokong gigi.Lama-kelamaan, periodontitis akan menyebabkan gigi-gigi menjadi longgar dan mudah tercabut.
3. Penyakit Kencing Manis (Diabetes)
Gusi bengkak dan berdarah boleh menjadi petanda kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 1 dan 2.
Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis, anda terdedah kepada penyakit gusi akibat kerana tidak cukup kuat untuk melawan jangkitan kuman. Kencing manis juga menyebabkan badan sukar untuk pulih seterusnya memburukkan lagi penyakit gusi ini.
4. Leukimia
Leukimia ialah sejenis kanser darah.
Gusi berdarah boleh menjadi tanda kepada leukimia. Sekiranya anda menghidap leukimia, platelet darah adalah rendah. Maka, keadaan ini akan menyukarkan untuk pendarahan berhenti termasuklah pada bahagian gusi.
5. Kekurangan Vitamin
Kekurangan vitamin seperti vitamin C dan vitamin K juga boleh menjadi punca kepada gusi berdarah.
Vitamin C membantu menyembuhkan luka dan menguatkan tulang dan gigi. Sekiranya anda kekurangan vitamin C, anda akan merasa lemah dan tidak selesa. Dari semasa ke semasa, gusi boleh menjadi bengkak dan berdarah.
Vitamin K adalah vitamin yang membantu membekukan darah. Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan pendarahan di bahagian gusi bertambah teruk.
6. Penyakit Asma
Terdapat laporan-laporan kajian yang mendapati terdapat perkaitan antara gusi berdarah dengan penyakit saluran pernafasan seperti asma.
Kajian populasi mendapati gusi berdarah sering kali atau kerap kali berkaitan dengan simptom-simptom asma.
Terdapat juga kajian yang dijalankan di Jepun yang mendapati gusi berdarah mempunyai perkaitan yang rapat dengan penyakit asma dalam kalangan remaja.
Rawatan Gusi Berdarah
Langkah yang paling utama dalam mencegah masalah ini ialah penjagaan kebersihan gigi.
- Doktor gigi boleh mengenalpasti sama ada anda menghidap gingivitis atau tidak. Mereka boleh menunjukkan cara yang betul untuk memberus gigi bagi membuang plak-plak gigi.
- Plak gigi juga boleh dikurangkan menggunakan pembersih mulut (antiseptik).
- Sekiranya gusi anda bengkak dan senang berdarah, berkumur dengan air suam yang mengandungi garam boleh membantu.
- Gunakan berus gigi yang lebih lembut lebih sesuai bagi gusi yang mengalami keradangan.
- Jangan merokok kerana merokok boleh memburukkan lagi pendarahan.
- Dapatkan makanan tambahan (suplemen) vitamin C dan K sekiranya anda didapati kekurangan vitamin ini.
Rumusan
Masalah pergigian seperti gingivitis atau periodontitis adalah antara penyebab utama kepada gusi berdarah. Walau bagaimanapun, terdapat juga penyebab lain yang boleh menyebabkan pendarahan ini.
Justeru itu, dapatkan rawatan daripada doktor gigi adalah jalan terbaik untuk mengetahui punca serta rawatan yang sesuai.
Doktor gigi juga boleh memberikan tunjuk ajar cara terbaik untuk menjaga kebersihan dan kesihatan gusi anda.
Rujukan
- Gómez Real, F. et al. (2016). The Association of Gum Bleeding with Respiratory Health in a Population Based Study from Northern Europe. PloS one.
- Abe, M. et al. (2020). Close Associations of Gum Bleeding with Systemic Diseases in Late Adolescence. International journal of environmental research and public health.
- Robinson, K.M. (2020). Bleeding gums and your health. WebMD.
- Rathee M, Jain P. Gingivitis. [Updated 2021 Apr 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI