Mempunyai sistem imun yang kuat boleh membantu anak anda melawan jangkitan. Sebagai ibu bapa, anda mungkin ingin mengetahui sama ada terdapat cara yang boleh dilakukan untuk membantu meningkatkan imun badan anak anda.
Sistem imun ialah sistem pertahanan badan yang boleh membantu melawan jangkitan kuman seperti bakteria, virus atau parasit.
Bayi dan kanak-kanak adalah golongan yang mudah untuk dijangkiti kerana sistem imun mereka dalam proses kematangan.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda sebenarnya boleh membantu anak-anak anda untuk meningkatkan sistem imun mereka agar dapat melawan jangkitan dengan lebih cepat dan berkesan.
Berikut adalah 6 cara meningkatkan imun badan anak anda yang harus anda ketahui:
1. Pastikan Anak Anda Aktif Secara Fizikal
Ibu bapa perlu memastikan anda mereka sentiasa aktif secara fizikal. Aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak mempunyai banyak kebaikan seperti:
- Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
- Menambah baik fungsi paru-paru
- Meningkatkan perkembangan skil motor
- Mempunyai berat badan yang sihat
- Meningkatkan pertahanan terhadap penyakit berkaitan keradangan
Malah, kajian pada 2016 juga mendapati bahawa aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak juga boleh memberikan kesan positif terhadap sistem imun badan. [1]
2. Pastikan Anak Anda Mendapatkan Tidur yang Cukup
Bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur sekitar 9-16 jam sehari. Mendapatkan tidur yang mencukupi adalah penting bagi kanak-kanak yang sedang membesar.
Dalam konteks sistem imun badan, tidak mendapatkan tidur yang mencukupi mempunyai kesan negatif iaitu pengurangan sel-sel sistem imun yang menyerang kuman yang menceroboh.
Waktu tidur yang anak anda perlukan bergantung kepada usia mereka. Bayi berusia 4-12 bulan memerlukan tidur sekitar 12-16 jam sehari.
Jumlah jam tidur ini akan berkurangan apabila mereka meningkat dewasa.
3. Pastikan Anak Anda Mendapat Makanan Berkhasiat dan Seimbang
Pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang adalah antara cara meningkatkan imun badan yang paling berkesan bagi anak anda.
Beberapa nutrien berikut boleh membantu meningkatkan imun badan:
Pemakanan seimbang yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membekalkan anak anda dengan vitamin dan mineral yang boleh meningkatkan fungsi imun badan.
Selain itu, terdapat juga beberapa makanan atau produk yang diperkaya dengan vitamin seperti vitamin D yang bermanfaat kepada anak anda.
4. Bantu Anak Anda untuk Menguruskan Tekanan (Stres) Mereka
Cara lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan imun badan anak adalah dengan membantu mereka untuk menguruskan tekanan yang dihadapi.
Kanak-kanak boleh mengalami tekanan dan keresahan. Tekanan yang berterusan adalah tidak baik untuk mereka.
Hal ini demikian kerana, ia boleh meningkatkan hormon tekanan (stres), mencetuskan keradangan dan melemahkan tindak balas sistem imun.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa kanak-kanak yang mengalami tekanan psikologi mempunyai ketidakseimbangan terhadap tindak balas imun mereka. [2]
5. Pastikan Anak Anda Mendapatkan Vaksinasi Seperti yang Ditetapkan Oleh KKM
Memastikan anak anda mendapatkan vaksinasi seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Program Imunisasi Kebangsaan juga boleh membantu sistem imun mereka.
Imunisasi boleh menyediakan perlindungan kepada anak anda daripada penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
Contohnya seperti campak, beguk, rubela, kancing gigi (tetanus), difteria dan batuk kokol (pertusis).
Vaksin akan membantu sistem imun anak anda untuk mengenali kuman-kuman yang menyebabkan pelbagai penyakit tersebut.
Apabila anak anda dijangkiti pada masa hadapan, sistem imun akan bertindak balas dengan segera bagi menyingkirkan kuman tersebut.
6. Mengambil Suplemen (Jika Perlu)
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang memilih untuk makan atau mempunyai kesukaran untuk membolehkan anak anda makan nutrien yang diperlukan, suplemen boleh membantu.
Makanan tambahan atau suplemen boleh membantu membekalkan nutrien yang mungkin sukar diperolehi daripada makanan segar.
Walau bagaimanapun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberikan anak anda suplemen.
Rumusan
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu meningkatkan imun badan anak mereka.
Ibu bapa perlu memastikan anak mereka kekal aktif secara fizikal, mendapatkan tidur yang mencukupi, menguruskan stres dan mengamalkan pemakan yang seimbang yang mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan oleh sistem imun badan.
Rujukan
- Carlsson, E. et al. (2016). High physical activity in young children suggests positive effects by altering autoantigen-induced immune activity. Scandinavian journal of medicine & science in sports.
- Carlsson, E. et al. (2014). Psychological stress in children may alter the immune response. Journal of immunology.