Zink adalah nutrien atau mineral yang diperlukan oleh badan untuk kekal sihat. Terdapat banyak kebaikan zink yang mungkin kurang diketengahkan.
Oleh itu, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai fungsi dan khasiat zink terhadap kesihatan badan manusia.
Zink adalah mineral perlu yang boleh dijumpai dalam sel-sel di seluruh badan. Oleh sebab, badan anda tidak menghasilkan zink secara semula jadi, maka anda mesti mendapatkannya melalui makanan atau suplemen.
Mineral zink diperlukan untuk pelbagai proses atau fungsi di dalam badan. Contohnya seperti:
- Penghasilan DNA
- Tindak balas enzim
- Fungsi imun
- Pertumbuhan dan perkembangan
- Penghasilan protein
Zink biasanya boleh diperolehi daripada banyak makanan yang berasaskan haiwan dan tumbuhan. Bagi makanan yang diproses pula, sesetengahnya ada menambah (memperkaya) mineral zink dalam ramuan mereka.
Selain itu, zink juga turut dijual dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Secara umumnya, orang dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan zink sebanyak 4.3-6.6 miligram (mg) sehari.
Terdapat banyak makanan yang kaya dengan zink yang boleh diperolehi di pasaran seperti:
- Tiram
- Kerang
- Hati lembu
- Poultri (ayam dan itik)
- Telur
- Ketam
- Udang karang
- Susu
- Biji bunga matahari
- Kacang gajus
- Oat
Produk haiwan seperti daging dan kerang, mengandungi jumlah zink yang tinggi dalam bentuk yang mudah diserap oleh badan anda.
Manakala, zink dalam sumber berasaskan tumbuhan atau kekacang diserap dengan kurang cekap kerana sebatian tumbuhan lain yang menghalang penyerapan.
Selain beberapa fungsinya yang utama, zink juga mempunyai beberapa kebaikan lain seperti:
1. Membantu Penyembuhan Luka
Zink memainkan peranan penting terhadap kesihatan kulit termasuklah membantu penyembuhan luka.
Orang yang mempunyai luka yang lambat sembuh atau ulser selalunya mempunyai paras zink yang rendah.
Satu kajian semula melaporkan bahawa zink memainkan peranan penting dalam setiap peringkat penyembuhan luka daripada pemulihan kulit hingga mencegah jangkitan. [1]
2. Membantu Merawat Selesema
Zink juga didapati boleh membantu memendekkan tempoh selesema sekiranya diambil pada sejurus selepas anda mengalami selesema.
Satu kajian semula yang melibatkan 13 kajian mendapati lozeng zink boleh membantu memendekkan tempoh selesema tetapi hanya dengan dos harian lebih daripada 75 mg. [2]
Walau bagaimanapun, produk zink ini tidak memberi kesan terhadap keterukan gejala-gejala selesema.
3. Membantu Mencegah Penyakit Kronik
Mineral zink juga turut mempunyai ciri-ciri antioksidan. Ini bermakna ia boleh membantu mengurangkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-panyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung, asma dan lain-lain.
Satu kajian semula pada 2018 melaporkan bahawa zink boleh membantu mencegah sindrom metabolik. [3]
Sindrom metabolik ialah keadaan di mana hadirnya sekurang-kurangnya tiga faktor risiko yang berupaya meningkatkan risiko terjadinya penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2.
4. Penting untuk Kesihatan Seksual
Mineral zink juga penting untuk kesihatan seksual terutamanya kepada lelaki.
Paras zink yang rendah membawa kepada kelewatan perkembangan seksual, masalah kesuburan dan masalah kesihatan seksual yang lain pada lelaki.
Terdapat kajian yang menjelaskan bahawa zink adalah perlu untuk kesihatan seksual lelaki. Ia disebabkan oleh peranan zink sebagai antioksidan dan pengimbang hormon. [4]
Walau bagaimanapun, pengambilan zink yang berlebihan juga boleh mendatangkan bahaya kepada sperma.
5. Membantu Mencegah Osteoporosis
Osteoporosis ialah penyakit yang dicirikan oleh peningkatan liang tulang yang mengakibatkan tulang menjadi rapuh.
Zink memainkan peranan penting dalam pembentukan dan kesihatan tulang yang seterusnya dapat mencegah osteoporosis. [5]
6. Membantu Melindungi Mata
Kebaikan zink yang seterusnya dapat dilihat dalam mencegah kerosakan sel-sel di dalam retina mata.
Selain itu, zink juga boleh membantu melambatkan kemaraan penyakit mata yang dikenali sebagai degenerasi makular berkaitan usia dan kehilangan penglihatan.
Satu kajian mendapati bahawa kekurangan zink mungkin memainkan peranan dalam pembentukan degenerasi ini. [6]
7. Merawat Cirit-birit dalam Kalangan Kanak-kanak
Suplemen zink juga dilaporkan boleh membantu merawat cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF mencadangkan pengambilan suplemen zink sebanyak 20 mg sehari selama 10-14 hari bagi kanak-kanak dengan cirit-birit akut dan 10 mg sehari bagi bayi berusia bawah 6 bulan. [7]
Pengambilan suplemen ini boleh memendekkan tempoh diare atau cirit-birit.
Risiko dan Kesan Sampingan
Walaupun zink mempunyai banyak kebaikan, namun jika diambil terlalu banyak terutamanya dalam bentuk suplemen boleh mendatangkan kesan sampingan.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:
- Loya
- Muntah
- Pening
- Sakit kepala
- Sakit perut
- Hilang selera makan
Jika anda mengambil zink yang banyak pada jangka masa lama, ia boleh menyebabkan:
- Imuniti yang rendah
- Paras kolesterol baik rendah
- Paras tembaga rendah
Interaksi dengan Ubat
Suplemen zink boleh berinteraksi dengan sesetengah ubat-ubatan seperti:
- Antibiotik quinolone dan tetracycline
- Ubat penicillamine untuk artritis reumatoid dan penyakit Wilson
- Thiazide diuretic: Ubat darah tinggi dan sembab
Rumusan
Zink adalah mineral yang penting untuk kesihatan. Selain mempunyai banyak fungsi kepada badan, zink juga turut mempunyai banyak kebaikan lain yang bermanfaat kepada sesiapa mengambilnya secara cukup.
Makanan laut adalah sumber yang terbaik untuk mendapatkan zink. Bagi anda yang mengalami kekurangan zink, doktor mungkin mengarahkan pengambilan suplemen.
Rujukan
- Lin, P. H. et al. (2017). Zinc in Wound Healing Modulation. Nutrients.
- Hemilä H. (2011). Zinc lozenges may shorten the duration of colds: a systematic review. The open respiratory medicine journal.
- Olechnowicz, J. et al. (2018). Zinc status is associated with inflammation, oxidative stress, lipid, and glucose metabolism. The journal of physiological sciences.
- Fallah, A. et al. (2018). Zinc is an Essential Element for Male Fertility: A Review of Zn Roles in Men’s Health, Germination, Sperm Quality, and Fertilization. Journal of reproduction & infertility.
- O’Connor, J. P. et al. (2020). Zinc as a Therapeutic Agent in Bone Regeneration. Materials.
- Blasiak, J. et al. (2020). Zinc and Autophagy in Age-Related Macular Degeneration. International journal of molecular sciences.
- Bajait, C., & Thawani, V. (2011). Role of zinc in pediatric diarrhea. Indian journal of pharmacology.