Tetanus atau turut dikenali sebagai kancing gigi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh toksin daripada bakteria Clostridium tetani.
Bakteria ini biasanya boleh dijumpai di dalam tanah, habuk dan baja asli. Bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka pada kulit atau luka tusukan yang disebabkan oleh objek yang telah tercemar.
Penyakit ini menyebabkan pengecutan otot, terutamanya otot rahang dan leher anda. Komplikasi tetanus yang teruk boleh mengancam nyawa. Rawatan tertumpu kepada menguruskan gejala-gejala dan komplikasi sehingga kesan toksin tetanus hilang.
Tanda-tanda dan Gejala Tetanus
Purata masa untuk jangkitan menunjukkan tanda-tanda dan simptom (tempoh pengeraman) adalah selama 10 hari. Tempoh pengeraman adalah antara 3 hingga 21 hari.
Tanda-tanda dan gejala bermula secara beransur-ansur dan bertambah buruk dalam masa dua minggu. Mereka biasanya bermula di rahang dan bergerak ke bawah badan.
Tanda-tanda dan gejala tetanus adalah:
- Kekejangan otot yang menyakitkan, lazimnya ia bermula dengan otot-otot rahang dan dipanggil lockjaw atau trismus.
- Kekejangan juga boleh melibatkan otot leher, otot peha, otot belakang badan, otot pernafasan dan lain-lain kumpulan otot badan.
- Kekejangan yang berpanjangan boleh menyebabkan otot koyak dan tulang patah.
- Rangsangan luar yang sederhana boleh mencetuskan kekejangan sehingga menyebabkan komplikasi kancing gigi yang serius.
Punca
Tetanus berpunca daripada bakteria Clostridium tetani. Spora bakteria Clostridium tetani ini terdapat dimana-mana sahaja dalam persekitaran termasuklah tanah,debu dan baja asli (najis haiwan). Spora ini akan berkembang menjadi bakteria apabila ia memasuki badan.
Apabila bakteria ini membesar dan membiak, bakteria ini akan menghasilkan toksin yang dipanggil tetanospasmin. Toksin ini boleh mencacatkan saraf dalam badan yang mengawal otot-otot.
Lazimnya, bakteria Clostridium tetani memasuki badan melalui:
- Luka yang dicemari dengan kotoran, najis atau air liur.
- Luka tusukan paku atau jarum.
- Melecur
- Kecederaan remuk
- Kecederaan dengan tisu mati
Selain itu, bakteria tersebut boleh juga menjangkiti badan melalui bukaan atau rekahan kulit yang disebabkan oleh:
- Membersih luka dangkal
- Prosedur pembedahan
- Gigitan serangga
- Jangkitan pergigian
- Retakan tulang
- Penggunaan ubat intravena
- Jangkitan atau luka yang kronik
Rawatan
Rawatan tetanus adalah bertujuan untuk menguruskan gejala-gejala yang dihadapi. Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
- Antitoksin: Antitoksin diberikan untuk menawarkan toksin bakteria dalam badan.
- Antibiotik: Antibiotik digunakan untuk membunuh bakteria yang ada.
- Immune Globulin (GIT): GIT disuntik ke dalam otot dengan dos sebanyak 3000-6000 IU.
- Sedatif: Sedatif boleh memperlahankan fungsi sistem saraf yang seterusnya boleh mengawal kekejangan otot.
Vaksin
Pemberian vaksin tetanus boleh membantu sistem imun melawan jangkitan dan toksin.
Di Malaysia, vaksin tetanus diberikan dalam bentuk vaksin 6 serangkai iaitu DTaP-IPV-Hep B-Hib kepada bayi yang berumur 2, 3 dan 5 bulan.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, tetanus boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Kadar kematian antara 10% hingga lebih 80% terutama dalam kalangan mereka yang tidak pernah menerima pelalian (vaksin), mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau bayi baru lahir.
- Selain otot koyak dan tulang patah akibat kekejangan yang lama, jangkitan paru-paru (pneumonia) boleh berlaku akibat aspirasi makanan atau cecair ke dalam paru-paru semasa kekejangan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Tetanus. MayoClinic [https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tetanus/symptoms-causes/syc-20351625]
- Centers for Diseases Control and Prevention. Tetanus. [https://www.cdc.gov/tetanus/index.html]