Apa itu Batuk Kokol?
Batuk kokol atau turut dikenali sebagai pertusis adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan atas yang sangat mudah berjangkit.
Batuk jenis ini dicirikan oleh hidung berair, batuk yang berulang-ulang dan diakhiri dengan sedutan nafas yang panjang dan berbunyi.
Episod batuk ini boleh berterusan selama berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan selepas anda mula-mula mengalami gejala-gejala penyakit.
Sebelum vaksin dibangunkan, batuk kokol dianggap sebagai penyakit kanak-kanak. Kini batuk kokol khususnya memberi kesan kepada kanak-kanak yang kecil yang belum melengkapkan program vaksinasi dan remaja atau orang dewasa yang imunitinya telah lemah.
Berbanding batuk, bayi yang mengalami batuk kokol mungkin mengalami kesukaran bernafas. Ini termasuklah apnea iaitu apabila pernafasan terhenti seketika.
Vaksin DTaP atau DTP3 (difteria-tetanus-pertusis) boleh membantu mencegah penaykit ini dan mengurangkan risiko batuk kokol yang teruk dalam kalangan bayi.
Siapa Boleh Mengalami Batuk Kokol?
Batuk kokol boleh dialami oleh sesiapa sahaja tetapi ia lebih lazim berlaku kepada bayi dan kanak-kanak.
Orang dewasa juga masih boleh dijangkiti walaupun ia lebih ringan berbanding yang berlaku kepada bayi atau kanak-kanak. Keadaan ini benar sekiranya orang dewasa tersebut telah menerima vaksin pertusis.
Namun, orang dewasa juga boleh mengalami batuk kokol yang serius sekiranya mereka tidak pernah menerima vaksin pertusis. Mereka mungkin mengalami batuk berpanjangan yang boleh mengganggu tidur malam.
Gejala-gejala atau Tanda
Sebaik sahaja anda dijangkiti, ia mengambil masa kira-kira 7 hingga 10 hari untuk tanda dan gejala muncul, walaupun kadangkala ia boleh mengambil masa yang lebih lama.
Gejala-gejala biasanya ringan pada mulanya dan menyerupai selesema biasa:
- Hidung berair
- Batuk
- Demam
- Mata merah dan berair
- Hidung tersumbat
Selepas satu atau dua minggu, tanda dan gejala akan bertambah teruk. Lendir pekat terkumpul di dalam saluran pernafasan anda, menyebabkan batuk yang tidak terkawal.
Serangan batuk yang teruk dan berpanjangan boleh menyebabkan:
- Muntah
- Muka menjadi merah atau biru
- Kelesuan ekstrem
- Bunyi “mengokol” bernada tinggi semasa menghirup udara
Walau bagaimanapun, ramai orang tidak menunjukkan ciri mengokol. Kadangkala, batuk yang berterusan adalah satu-satunya tanda bahawa seorang remaja atau dewasa mengalami batuk kokol.
Bayi mungkin tidak batuk sama sekali. Sebaliknya, mereka mungkin sukar bernafas atau mungkin berhenti bernafas buat sementara waktu.
Punca yang Menyebabkan Batuk Kokol
Batuk kokol disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Bordetella pertussis.
Apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin, titisan kecil yang sarat dengan bakteria tersebut disembur ke udara dan disedut ke dalam paru-paru sesiapa sahaja yang kebetulan berada berdekatan.
Apabila bakteria Bordetella pertussis memasuki sistem pernafasan anda. Ia melekat pada sambungan kecil seperti rambut (silium) pada lapisan saluran pernafasan anda.
Kemudian, bakteria tersebut mengeluarkan racun (toksin), yang merosakkan silium anda dan menyebabkan saluran pernafasan anda membengkak. Bengkak ini menyebabkan rembesan mukus anda meningkat, yang menyebabkan batuk yang teruk.
Rawatan
Bagi bayi yang dijangkiti, mereka mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan kerana batuk kokol lebih berbahaya bagi golongan ini.
Rawatan intravena mungkin diberikan sekiranya anak anda tidak dapat makan atau minum.
Memandangkan batuk kokol adalah jangkitan bakteria, antibiotik adalah rawatan utama. Antibiotik paling berkesan pada peringkat awal batuk kokol.
Rawatan ini juga boleh digunakan pada peringkat akhir jangkitan untuk mengelakkannya daripada merebak kepada orang lain.
Walaupun antibiotik boleh membantu merawat jangkitan, ia tidak menghalang atau merawat batuk itu sendiri.
Ubat batuk biasanya tidak memberikan kesan terhadap gejala-gejala batuk kokol. Ramai doktor mencadangkan penggunaan alat pelembap bagi memastikan udara lembap dan membantu mengurangkan gejala-gejala yang berlaku.
Selain itu, pesakit juga perlu mendapatkan rehat yang banyak dan meminum air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.
Komplikasi
Bayi yang dijangkiti memerlukan pemantauan rapi untuk mengelakkan komplikasi yang berpotensi berbahaya akibat kekurangan oksigen.
Komplikasi serius yang boleh berlaku adalah:
- Kerosakan otak
- Sawan
- Radang paru-paru
- Perdarahan otak
- Apnea
- Konvulsi
- Kematian
Bagi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, komplikasi yang boleh berlaku termasuklah:
- Sukar untuk tidur
- Radang paru-paru
- Keretakan tulang rusuk
- Kencing tak terkawal
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Whooping cough. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2023). Whooping Cough (Pertussis). Cleveland Clinic