Kesibukan atau tuntutan kerja mungkin menyebabkan anda terpaksa mengorbankan waktu tidur anda. Tetapi, sebenarnya berapa jam tidur yang mencukupi? Mungkin persoalan ini bermain di minda anda.
Tidak kira siapa anda, tidur adalah penting untuk kesihatan anda. Tidur adalah lebih daripada sekadar masa untuk badan dan minda anda berehat. Malah, semasa anda tidur, badan anda kekal aktif.
Pada masa ini, badan anda membina semula otot yang lesu pada siang hari dan membuang toksin dalam otak yang terkumpul semasa anda terjaga.
Ia juga penting untuk mengekalkan ingatan anda. Selain itu, tidur juga turut memainkan peranan dalam mengawal selia emosi anda.
Kekurangan tidur hanya untuk satu malam boleh meningkatkan tindak balas emosi anda terhadap perasaan negatif sebanyak 60%. [1]
Selain itu, kekurangan tidur boleh menjejaskan keupayaan badan anda untuk mengawal selia fungsi penting seperti kawalan selera makan, sistem imun, metabolisme dan berat badan. [2]
Tambahan lagi, tidur juga turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan ritma sirkadian atau jam dalaman.
Berapa Jam Tidur yang Cukup untuk Orang Tua?
Menurut The National Sleep Foundation dan Centers for Disease Control and Prevention, orang tua yang berumur 61-64 tahun disarankan untuk mendapatkan tidur sebanyak 7-9 jam sehari.
Manakala, orang tua yang berumur 65 tahun dan ke atas disarankan untuk mendapatkan tidur sebanyak 7-8 jam sehari.
Berapa Jam Tidur yang Cukup untuk Orang Dewasa?
Manakala, bagi individu dewasa yang berumur 18-60 tahun, anda disarankan untuk mendapatkan tidur selama 7 jam atau lebih dalam satu malam.
Tidur kurang daripada 7 jam setiap malam secara berterusan boleh meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, hipertensi, penyakit jantung dan strok. [3]
Berapa Jam Tidur yang Cukup untuk Remaja?
Bagi remaja yang berumur 13-18 tahun, jumlah jam tidur yang disarankan adalah selama 8-10 jam sehari secara rutin harian.
Walau bagaimanapun, tidur yang berlebihan daripada jam tidur yang disarankan secara rutin boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti hipertensi, diabetes, obesiti dan masalah kesihatan mental. [4]
Berapa Jam Tidur yang Cukup untuk Kanak-kanak Sekolah?
Bagi kanak-kanak pada usia prasekolah iaitu 3-5 tahun, jumlah jam tidur yang disarankan adalah selama 10-13 jam sehari termasuklah tidur sekejap.
Manakala, bagi kanak-kanak bersekolah berusia 6-12 tahun, jumlah jam tidur yang disarankan adalah selama 9-12 jam sehari.
Berapa Jam Tidur yang Cukup untuk Bayi?
Seterusnya, cadangan jumlah jam tidur bagi bayi pula boleh dibahagikan seperti berikut:
- Bayi baru lahir (0-3 bulan): 14-17 jam sehari.
- Bayi (4-12 bulan): 12-16 jam sehari (termasuklah tidur sekejap).
- Kanak-kanak bertatih (1-2 tahun): 11-14 jam sehari (termasuklah tidur sekejap).
Rumusan
Secara umumnya, bagi orang dewasa, tidur yang mencukupi ada sekitar 7-8 jam sehari. Manakala, golongan remaja, kanak-kanak dan bayi memerlukan jumlah tidur yang lebih banyak.
Selain jumlah waktu tidur, aspek lain yang perlu diberikan perhatian adalah kualiti tidur. Mendapatkan tidur yang berkualiti juga penting untuk kesihatan anda.
Meningkatkan kualiti tidur boleh dibantu dengan tabiat tidur yang lebih baik atau didiagnosis dan dirawat untuk sebarang gangguan tidur yang mungkin anda alami.
Rujukan
- Goldstein, A. N., & Walker, M. P. (2014). The role of sleep in emotional brain function. Annual review of clinical psychology.
- Besedovsky, L., Lange, T., & Born, J. (2012). Sleep and immune function. Pflugers Archiv : European journal of physiology.
- Watson, N. F. et al. (2015). Recommended Amount of Sleep for a Healthy Adult: A Joint Consensus Statement of the American Academy of Sleep Medicine and Sleep Research Society. Sleep.
- Paruthi, S. et al. (2016). Recommended Amount of Sleep for Pediatric Populations: A Consensus Statement of the American Academy of Sleep Medicine. Journal of clinical sleep medicine.