Vitamin C adalah salah satu vitamin penting yang mempunyai banyak kebaikan dan fungsi terhadap badan. Kebaikan vitamin C yang luar biasa menjadikan vitamin ini sangat popular dalam kalangan masyarakat.
Vitamin C adalah sejenis vitamin larut air yang wujud secara semula jadi dalam sesetengah makanan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.
Selain itu, vitamin C juga boleh didapati dalam bentuk suplemen (makanan tambahan).
Vitamin C turut dikenali dengan beberapa nama lain iaitu asid askorbik (ascorbic acid), asid L-askorbik (L-ascorbic acid) dan L-askorbat (L-ascorbate).
Vitamin C adalah vitamin larut air, ini bermakna badan tidak menyimpan vitamin ini. Lebihan vitamin ini juga akan dikumuhkan.
Justeru itu, bagi memastikan anda mendapatkan vitamin C yang mencukupi, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi vitamin C setiap hari.
Vitamin C mempunyai pelbagai kegunaan terhadap fungsi badan. Antaranya adalah:
- Bertindak sebagai antioksidan yang melindungi sel-sel sihat daripada radikal bebas dan tekanan oksidatif.
- Membantu menghasilkan kolagen.
- Membantu penyerapan zat besi.
- Membantu penyembuhan luka.
- Membantu menguatkan sistem imun.
Lelaki dan wanita dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 70 miligram (mg) vitamin C sehari.
Anda boleh mendapatkan vitamin C ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Tambahan itu, terdapat juga beberapa makanan yang tinggi dengan vitamin C seperti:
- Buah jambu batu
- Buah longan
- Buah betik
- Buah limau nipis
- Pucuk ubi kayu
- Cekur manis
- Kailan
- Sawi
- Pucuk ubi keledek
- Bak choy
Berikut adalah beberapa kebaikan atau khasiat vitamin C yang disokong oleh penyelidikan:
1. Membantu Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Penyakit jantung adalah penyebab utama kepada kematian di seluruh dunia.
Terdapat banyak faktor yang meningkatkan risiko kepada penyakit jantung. Contohnya seperti paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) yang tinggi, paras trigliserida yang tinggi, tekanan darah tinggi dan juga paras kolesterol HDL (kolesterol baik) yang rendah.
Vitamin C boleh mengurangkan risiko-risiko ini yang seterusnya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Kebaikan vitamin C ini dibuktikan dalam satu analisis terhadap 9 kajian yang mendapati mereka yang mengambil sekurang-kurangnya 700 mg vitamin C setiap hari mempunyai 25% lebih rendah risiko terhadap penyakit jantung berbanding mereka yang tidak. [1]
2. Membantu Mencegah Anemia
Anemia adalah penyakit yang diakibatkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel-sel darah merah, ataupun perdarahan yang berlebihan.
Anemia juga boleh terjadi sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan zat besi yang mencukupi. Zat besi adalah nutrien yang diperlukan untuk menghasilkan sel-sel darah merah.
Vitamin C berperanan membantu meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan.
Bagi mereka yang menghidap anemia kekurangan zat besi, pengambilan suplemen vitamin C bersama-sama suplemen zat besi boleh membantu penyerapan mineral tersebut.
3. Membantu Penyembuhan Luka
Salah satu peranan vitamin C adalah membantu penghasilan kolagen. Kolagen adalah sejenis protein yang diperlukan untuk membantu penyembuhan luka.
Orang yang kurang pengambilan vitamin C mungkin mengalami penyembuhan luka yang lebih perlahan kerana badan mereka kurang menghasilkan kolagen.
4. Membantu Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Tekanan darah tinggi adalah salah satu penyakit kronik yang meningkatkan risiko terhadap penyakit jantung dan strok.
Kajian telah menunjukkan bahawa vitamin C boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi atau tidak.
Satu analisis terhadap 29 kajian mendapati pengambilan vitamin C boleh mengurangkan tekanan darah sistolik (nilai atas pada bacaan tekanan darah) sebanyak 3.8 mmHg dan tekanan darah diastolik (nilai bawah pada bacaan tekanan darah) sebanyak 1.5 mmHg dalam kalangan individu sihat. [2]
Manakala bagi penghidap tekanan darah tinggi, pengambilan vitamin C boleh menurunkan tekanan darah sistolik sebanyak 4.9 mmHg dan tekanan darah diastolik sebanyak 1.7 mmHg. [2]
5. Mencegah Serangan Gout
Vitamin C juga bermanfaat kepada pesakit gout kerana ia boleh membantu mengurangkan paras asid urik.
Paras asid urik yang tinggi dalam darah meningkatkan risiko kepada serangan gout.
Menariknya, terdapat penyelidikan yang mendapati vitamin C boleh membantu mengurangkan paras asid urik dalam darah dan seterusnya mencegah serangan gout.
Satu kajian yang melibatkan 1,387 lelaki mendapati bahawa mereka yang mengambil paling banyak vitamin C mempunyai paras asid urik dalam darah yang jauh lebih rendah daripada mereka yang mengambil vitamin C paling sedikit. [3]
Tambahan itu lagi, analisis yang melibatkan 13 kajian mendapati pengambilan vitamin C selama lebih 30 hari boleh mengurangkan paras asid urik dalam darah dengan ketara. [4]
6. Menguatkan Sistem Imun Badan
Salah satu sebab ramai yang mengambil vitamin C dalam bentuk suplemen adalah untuk menguatkan sistem imun badan mereka.
Ini mungkin kerana vitamin C mempunyai banyak kebaikan dan peranan dalam sistem imun badan.
Contohnya, vitamin C boleh menggalakkan penghasilan sel-sel darah putih yang boleh melindungi badan daripada jangkitan. [5]
Selain itu, vitamin C juga membantu sel-sel darah putih berfungsi dengan lebih berkesan di samping melindungi sel-sel tersebut daripada radikal bebas yang berbahaya.
7. Membantu Melindungi Ingatan
Demensia adalah satu istilah umum yang menjelaskan mengenai gejala-gejala ingatan dan pemikiran yang merosot.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa tekanan oksidatif dan keradangan di bahagian sistem saraf pusat boleh meningkatkan risiko kepada demensia. [6]
Vitamin C adalah salah satu antioksidan yang kuat. Ia boleh membantu melindungi ingatan dan mengurangkan risiko kepada demensia.
Penghidap demensia dilaporkan mempunyai paras vitamin C dalam darah yang rendah. [7]
Di samping itu, paras vitamin C yang rendah juga boleh menjejaskan keupayaan untuk berfikir dan mengingati. [8]
8. Meningkatkan Kesuburan Lelaki dan Wanita
Vitamin C juga mempunyai kesan yang baik terhadap kesuburan lelaki dan wanita.
Kajian tabung uji mendapati ciri-ciri antioksidan vitamin C boleh melindungi sperma daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas. Selain itu, vitamin C juga turut mengurangkan tekanan oksidatif. [9]
Manakala, bagi wanita pula, vitamin C boleh meningkatkan paras hormon progesteron dalam kalangan wanita yang tidak subur. [10]
Pengambilan vitamin C ini juga meningkatkan peratusan wanita yang hamil dan mengurangkan kadar keguguran. [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil dapatan ini.
9. Mempunyai Kesan yang Baik Terhadap Penghidap Diabetes
Vitamin C juga turut bermanfaat kepada pesakit diabetes (penyakit kencing manis).
Satu kajian melaporkan bahawa selepas 4 bulan mengambil suplemen vitamin C, paras gula darah dan tekanan darah peserta menunjukkan penurunan. [11]
Tambahan itu juga, terdapat kajian lain yang mendapati pengambilan vitamin C boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovakular dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 melalui penurunan paras kolesterol total dan keradangan. [12]
10. Boleh Membantu Mengurangkan Keterukan Demam Selesema
Vitamin C juga turut popular digunakan sebagai petua untuk demam selesema.
Walau bagaimanapun, harus diketahui bahawa vitamin C bukanlah penawar atau makanan yang boleh mengurangkan risiko kepada demam selesema.
Tetapi, vitamin C boleh membantu memendekkan tempoh demam selesema atau mengurangkan risiko mendapat komplikasi yang lebih serius seperti radang atau jangkitan paru-paru. [13]
Risiko dan Kesan Sampingan
Walaupun vitamin C mempunyai banyak kebaikan atau manfaat. Pengambilan vitamin C yang berlebihan (selalunya melalui suplemen) boleh mendatangkan kesan sampingan.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku akibat vitamin C yang terlalu tinggi adalah:
- Cirit-birit
- Loya
- Kekejangan perut
Orang dewasa perlu mengehadkan pengambilan vitamin C harian agar tidak melebihi 2,000 mg sehari.
Suplemen vitamin C boleh berinteraksi atau mengganggu ubat yang anda ambil seperti:
- Kemoterapi
- Terapi radiasi
Rumusan
Vitamin C ialah vitamin larut air yang mesti diperolehi daripada diet atau suplemen (makanan tambahan).
Ia telah dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan yang mengagumkan seperti meningkatkan tahap antioksidan, menurunkan tekanan darah, melindungi daripada serangan gout, meningkatkan penyerapan zat besi, meningkatkan imuniti, dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan demensia.
Buah-buahan dan sayur-sayuran segar adalah sumber vitamin C yang baik. Meskipun begitu, sesetengah orang mungkin perlu mengambil suplemen vitamin C bagi memenuhi keperluan terhadap nutrien ini.
Rujukan
- Knekt, P. et al. (2004). Antioxidant vitamins and coronary heart disease risk: a pooled analysis of 9 cohorts. The American journal of clinical nutrition.
- Juraschek, S. P. et al. (2012). Effects of vitamin C supplementation on blood pressure: a meta-analysis of randomized controlled trials. The American journal of clinical nutrition.
- Gao, X. et al. (2008). Vitamin C intake and serum uric acid concentration in men. The Journal of rheumatology.
- Juraschek, S. P. et al. (2011). Effect of oral vitamin C supplementation on serum uric acid: a meta-analysis of randomized controlled trials. Arthritis care & research.
- Huijskens, M. J. et al. (2014). Technical advance: ascorbic acid induces development of double-positive T cells from human hematopoietic stem cells in the absence of stromal cells. Journal of leukocyte biology.
- Bennett, S. et al. (2009). Oxidative stress in vascular dementia and Alzheimer’s disease: a common pathology. Journal of Alzheimer’s disease.
- von Arnim, C. A. et al. (2012). Dietary antioxidants and dementia in a population-based case-control study among older people in South Germany. Journal of Alzheimer’s disease.
- Gale, C. R. et al. (1996). Cognitive impairment and mortality in a cohort of elderly people. BMJ.
- Verma, A., & Kanwar, K. C. (1998). Human sperm motility and lipid peroxidation in different ascorbic acid concentrations: an in vitro analysis. Andrologia.
- Henmi, H. et al. (2003). Effects of ascorbic acid supplementation on serum progesterone levels in patients with a luteal phase defect. Fertility and sterility.
- Mason, S. A. et al. (2019). Ascorbic acid supplementation improves postprandial glycaemic control and blood pressure in individuals with type 2 diabetes: Findings of a randomized cross-over trial. Diabetes, obesity & metabolism.
- Dludla, P. V. et al. (2022). Vitamin C intake potentially lowers total cholesterol to improve endothelial function in diabetic patients at increased risk of cardiovascular disease: A systematic review of randomized controlled trials. Frontiers in nutrition.
- Hemilä, H., & Chalker, E. (2013). Vitamin C for preventing and treating the common cold. The Cochrane database of systematic reviews.