Walaupun namanya hampir sama namun mereka tidak serupa. Probiotik dan prebiotik adalah dua komponen makanan yang mempunyai kebaikan kepada tubuh badan kita.
Probiotik ialah bakteria baik manakala prebiotik ialah makanan kepada bakteria baik ini. Kedua-duanya mempunyai peranan yang tersendiri.
Okey, kita perincikan perbezaan dan peranan kedua-dua komponen makanan ini dibawah.
Probiotik vs Prebiotik
Kedua-dua probiotik dan prebiotik ini penting untuk kesihatan manusia dan perlu ada dalam diet yang sihat.
- Probiotik. Bakteria hidup yang boleh dijumpai dalam sesetengah makanan dan suplemen. Bakteria jenis ini boleh mewujudkan komuniti bakteria yang baik dalam usus dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit.
- Prebiotik. Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks seperti serat dan kanji yang tidak dapat dicernakan oleh manusia. Tetapi serat dan kanji ini menjadi makanan kepada komuniti bakteria baik dalam usus manusia.
Oleh itu, pemakanan seimbang antara probiotik dan prebiotik ini boleh membantu mewujudkan dan mengekalkan komuniti bakteria baik yang sihat dalam usus anda.
Pemakanan sangat memainkan peranan dalam menentukan keseimbangan antara bakteria baik dan bakteria jahat dalam usus manusia.
Sebagai contoh, diet yang tinggi dengan lemak boleh menganggu keseimbangan antara bakteria baik dan jahat. Kajian menunjukkan bahawa diet seperti ini akan mengurangkan bakteria baik dalam usus dan menambah bakteria jahat. [1]
Kebaikan Probiotik
Terdapat beberapa kajian telah dijalankan yang menemui kebaikan atau peranan probiotik terhadap kesihatan manusia.
1. Kesihatan Sistem Pencernaan
Satu analisis yang diterbitkan pada 2012 mendapati probiotik bermanfaat dalam perawatan dan pencegahan penyakit yang berkaitan usus seperti cirit-birit akibat jangkitan, Pouchitis, sindrom usus rengsa, cirit-birit berkaitan antibiotik dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, terdapat juga spesies bakteria yang kurang berkesan terhadap sesetengah penyakit berkaitan usus ini. [2]
Terdapat juga ulasan kajian yang mendapati probiotik yang terdiri daripada spesies Lactobacillus dan Bifidobacterium berkesan dalam mencegah penyakit yang boleh menjangkiti usus bayi yang dilahirkan pramatang. [3]
2. Meningkatkan Ketahanan Badan
Probiotik juga bermanfaat untuk menguatkan sistem imun badan.
Terdapat kajian semula yang mendapati bahawa probiotik boleh mengawal fungsi sel-sel imun dan sel-sel epitelium usus.
Oleh itu, probiotik ini dilihat berpotensi digunakan dalam merawat penyakit yang berkaitan dengan sistem imun seperti alahan, ekzema, jangkitan virus dan potensi tindak balas vaksin. [4]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati probiotik ini boleh mengaktifkan sel-sel darah putih (sel-sel imun) yang bertanggungjawab untuk merembeskan protein yang bersifat antiradang.
Selain itu, probiotik dilihat boleh menguatkan lapisan penghadang dalam usus iaitu lapisan yang menghalang jangkitan daripada patogen atau molekul yang menyebabkan keradangan. [5]
3. Kesihatan Mental
Terdapat kajian semula yang melaporkan bahawa probiotik berpotensi digunakan untuk merawat atau mengurangkan simptom-simptom kemurungan yang dialami oleh manusia. Majoriti kajian menunjukkan kesan positif probiotik terhadap simptom-simptom kemurungan. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang lebih banyak masih diperlukan untuk menguatkan dapatan ini.
Kebaikan Prebiotik
Kebaikan prebiotik mempunyai perkaitan dengan kebaikan probiotik. Prebiotik boleh membantu menyokong usus yang sihat, penghadaman yang lebih baik dan lain-lain lagi.
Prebiotik yang terdiri daripada karbohidrat kompleks (serat) dan polisakarida tumbuhan ini menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus.
Daripada prebiotik ini, bakteria usus akan menghasilkan asid lemak rantaian pendek seperti asetat, propionat dan butirat. [7]
Asid lemak ini mempunyai beberapa peranan yang menyumbang kepada kesihatan badan secara amnya. Antaranya seperti: [8]
- Mengawal selia keutuhan penghadang epitelium
- Mengawal selia homeostasis glukosa (keseimbangan antara insulin dan glukagon untuk mengekalkan gula darah)
- Memberi kesan terhadap metabolisme lipid (lemak) dan tisu adipos (tisu lemak)
- Mengawal selera makan
- Menguatkan sistem imun (sistem pertahanan badan)
Prebiotik juga didapati boleh meningkatkan kesihatan tulang dan mencegah retakan tulang [9].
Contoh Makanan Mengandungi Probiotik
Terdapat banyak makanan yang mengandungi probiotik yang mudah didapati di pasaran.
Contoh makanan atau minuman probiotik yang mudah untuk didapati ialah yogurt.
Selain itu, makanan yang ditapai (difermentasi) adalah antara makanan yang mengandungi probiotik.
Beberapa makanan yang ditapai dan mengandungi probiotik adalah:
- Teh kombucha atau cendawan mekah
- Tapai
- Tempoyak
- Kimchi
- Jeruk sayur-sayuran (tidak dipasteurkan)
- Kefir
- Sesetengah keju
- Mentega susu tradisional
Contoh Makanan Mengandungi Prebiotik
Prebiotik terkandungan dalam banyak jenis makanan terutamanya yang tinggi dengan serat. Sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh adalah antara kumpulan makanan yang kaya dengan prebiotik.
Antara beberapa contoh makanan yang mengandungi prebiotik adalah:
- Buah pisang
- Oat
- Asparagus
- Bawang putih
- Bawang besar
- Legum (kekacang)
- Barli
- Buah epal
Rumusan
Secara ringkasnya probiotik adalah bakteria baik yang berguna untuk kesihatan usus dan kesihatan badan secara umumnya. Manakala prebiotik adalah makanan kepada bakteria baik ini.
Mempunyai keseimbangan antara bakteria baik dan jahat dalam usus adalah amat penting. Untuk mendapatkan keseimbangan ini, adalah penting untuk mendapatkan banyak makanan yang mengandungi probiotik dan prebiotik.
Rujukan
- Murphy, E. A. et al. (2015). Influence of high-fat diet on gut microbiota: a driving force for chronic disease risk. Current opinion in clinical nutrition and metabolic care.
- Ritchie, M. L., & Romanuk, T. N. (2012). A meta-analysis of probiotic efficacy for gastrointestinal diseases. PloS one.
- AlFaleh, K., & Anabrees, J. (2014). Probiotics for prevention of necrotizing enterocolitis in preterm infants. The Cochrane database of systematic reviews.
- Yan, F., & Polk, D. B. (2011). Probiotics and immune health. Current opinion in gastroenterology.
- Maldonado G.C, et al (2019). Beneficial Effects of Probiotic Consumption on the Immune System. Ann Nutr Metab.
- Wallace, C., & Milev, R. (2017). The effects of probiotics on depressive symptoms in humans: a systematic review. Annals of general psychiatry.
- Holscher H. D. (2017). Dietary fiber and prebiotics and the gastrointestinal microbiota. Gut microbes.
- Morrison, D. J., & Preston, T. (2016). Formation of short chain fatty acids by the gut microbiota and their impact on human metabolism. Gut microbes.
- Whisner, C. M., & Castillo, L. F. (2018). Prebiotics, Bone and Mineral Metabolism. Calcified tissue international.