Sesetengah orang mungkin mengalami masalah rambut nipis atau kerap gugur. Mungkin anda tertanya-tanya cara melebatkan rambut yang cepat dan mudah diamalkan. Oleh itu, kali ini kami senaraikan beberapa cara melebatkan rambut yang cepat dan mudah untuk dilaksanakan.
Setiap rambut manusia mula tumbuh daripada dasar folikel iaitu liang tempat rambut tumbuh. Akar rambut terbentuk daripada gabungan sel-sel protein.
Darah daripada salur-salur darah dalam kulit kepala akan membekalkan makanan kepada akar rambut ini. Ini membolehkan akar rambut ini menghasilkan lebih banyak sel dan membuatkan rambut ini tumbuh.
Setiap manusia dilahirkan dengan kira-kira 5 juta folikel dan kira-kira 100,000 folikel terdapat di kulit kepala. Adalah normal untuk seorang individu itu gugur atau kehilangan 50-100 helai rambut sehari.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin mengalami masalah yang menyebabkan rambut mereka gugur lebih banyak daripada kebiasaan atau rambut menjadi nipis dan tidak sihat.
Sehubungan dengan itu, mari kita lihat beberapa kaedah atau cara melebatkan rambut untuk mengatasi masalah-masalah berkaitan rambut gugur, rambut nipis atau rambut tidak sihat.
1. Makan Makanan Mengandungi Protein
Rambut kita memerlukan protein untuk tumbuh dengan baik.
Penjagaan makanan seimbang yang mengandungi nutrien protein yang mencukupi akan membantu rambut tumbuh dengan kadar optima. Secara umumnya, seorang orang dewasa di Malaysia memerlukan kira-kira 58-62 gram protein sehari.
2. Pastikan 7 Nutrien Ini Ada Dalam Diet Harian
Terdapat juga beberapa jenis vitamin, mineral dan asid lemak yang turut memainkan berperanan penting dalam pertumbuhan rambut yang sihat. Ini termasuklah:
- vitamin C
- vitamin D
- vitamin E
- biotin
- zat besi
- zink
- Omega-3 dan Omega-6
Vitamin C boleh diperolehi daripada sayur-sayuran dan buah-buahan seperti buah jambu batu, limau nipis, limau kasturi, sayur pucuk ubi kayu, kailan, bak choy dan lain-lain lagi.
Manakala, vitamin D boleh didapati daripada makanan semulajadi, makanan yang diperkaya atau suplemen. Vitamin D boleh diperolehi daripada makanan seperti ikan sardin, telur, susu yang diperkaya atau keju. Vitamin D juga boleh diperolehi daripada sinaran matahari.
Vitamin E pula boleh diperolehi daripada minyak kacang soya, minyak sawit, minyak kanola, kuaci bunga matahari, kacang pekan dan kacang tanah.
Biotin pula boleh diperolehi daripada kuning telur, kacang tanah, kacang soya, keledek dan buah pisang.
Mineral zat besi dan zink pula boleh diperolehi daripada makanan seperti kacang kuda, pucuk paku, bayam, buah nangka, buah rambutan, daging lembu,daging ayam atau itik dan makanan laut.
Omega-3 dan Omega-6 pula boleh diperolehi daripada ikan berlemak, telur yang diperkaya, tauhu dan mentega kacang.
Terdapat kajian yang mendapati pengambilan asid lemak Omega-3 dan 6 boleh mencegah keguguran rambut dan melebatkan rambut. [1]
Kekurangan mineral zink juga didapati menjadi punca kepada keguguran rambut. [2]
3. Urut Kulit Kepala
Amalan mengurut kulit kepala selama beberapa minit sehari boleh melebatkan rambut.
Cara melebatkan rambut ini boleh membantu melegakan tekanan dan membawa ketenangan. Kaedah ini turut mendapat sokongan daripada satu kajian kecil yang melibatkan 9 orang peserta.
Kajian yang dijalankan di Jepun ini mendapati urutan di kulit kepala selama 4 minit sehari boleh meningkatkan ketebalan rambut. [3]
4. Hadkan Penggunaan Haba
Haba daripada pengering rambut, pengeriting rambut atau pelurus rambut boleh merosakkan rambut dan menyebabkan rambut mudah putus.
Untuk mengurangkan risiko kerosakkan rambut akibat penggunaan alat-alatan ini, beberapa langkah yang boleh diambil adalah:
- Rendahkan suhu ketika menggunakan alat-alatan ini.
- Gunakan produk pelindung haba sebelum menggunakan alat-alatan ini.
5. Gunakan Minyak Pati
Berdasarkan kajian, terdapat beberapa jenis minyak pati yang boleh membantu melebatkan rambut dengan menggalakkan pertumbuhan rambut.
Kajian pada tahun 2014 melaporkan bahawa minyak biji labu boleh membantu meningkatkan pertumbuhan rambut. Kumpulan yang dirawat menggunakan minyak biji labu ini menunjukkan peningkatan 40% bilangan rambutnya. [4]
Minyak pati rosemary juga didapati berkesan untuk pertumbuhan rambut sepertimana monoxidil (bahan yang digunakan dalam produk untuk pertumbuhan rambut). [5]
6. Gunakan Minyak Zaitun
Minyak zaitun kaya dengan asid lemak Omega-3 dan nutrien lain yang baik untuk kesihatan rambut. Minyak zaitun ini boleh disapukan di kulit kepala dan rambut. Minyak ini bermanfaat untuk melebatkan rambut dan melegakan masalah kulit kepala kering.
Cara menggunakan minyak ini ialah:
- Panaskan minyak ini ke suhu badan iaitu sekitar 36o Celcius.
- Urutkan kulit kepala dan rambut menggunakan minyak ini.
- Biarkan selama 30-45 minit.
- Bilas menggunakan syampu.
- Ada juga orang yang memilih untuk membiarkan minyak ini semalaman.
7. Minyak Kelapa
Minyak kelapa juga mengandungi asid lemak yang boleh menyerap ke dalam batang rambut dan mencegah rambut daripada kehilangan proteinnya. [6]
Minyak kelapa ini boleh digunakan sebelum atau selepas anda mencuci rambut bergantung kepada keadaan rambut anda. Anda boleh memilih untuk membiarkan minyak ini dikepala semalaman atau membasuhnya selepas beberapa jam.
8. Gel Aloe Vera
Aloe vera juga dipercayai baik untuk kesihatan kulit kepala dan rambut. Aloe vera didapati boleh membantu merawat masalah kulit kepala seperti kelemumur. [7]
Selain itu, aloe vera juga mengandungi vitamin C, E dan A yang boleh membantu menyihatkan rambut. Kandungan asid folik dan vitamin B12 dalam aloe vera juga turut boleh membantu menguatkan rambut.
Kebaikan-kebaikan aloe vera ini dipercayai boleh menggalakkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan rambut gugur. Secara tidak langsung, ia membantu melebatkan rambut.
Sekarang ini, produk aloe vera mudah untuk didapati malahan ada produk yang dijual mengandungi 100% aloe vera tanpa bahan campuran lain.
Terdapat juga mereka yang menggabungkan aloe vera dengan minyak kelapa.
Cara menggunakannya:
- Sapu atau urutkan gel aloe vera atau campuran aloe vera dan minyak kelapa ini ke kulit kepala.
- Biarkan selama 30 minit.
- Bilas rambut anda.
9. Bunga Raya Merah
Masyarakat terdahulu menggunakan bunga raya merah untuk melebatkan dan menyihatkan rambut. Lendir daun dan bunga raya ini digunakan untuk tujuan ini.
Terdapat juga kajian yang mendapati lendir daun dan bunga daripada pokok bunga raya merah ini berkesan untuk menggalakkan pertumbuhan rambut. [8]
Cara menggunakannya:
- Tumbuk atau lenyekkan daun dan bunga raya sehingga mengeluarkan lendir.
- Ambil lendir ini dan campurkan dengan sebiji telur ayam dan satu sudu madu.
- Gaulkan sekata sehingga menjadi seperti pes.
- Sapukan pes ini di rambut dan perap menggunakan tuala.
- Biarkan selama 10 minit.
- Kemudian, cuci dan bilas.
- Amalkan 2 kali seminggu.
10. Minoxidil
Minoxidil ialah bahan aktif yang digunakan bagi produk Rogaine.
Minoxidil boleh membantu pertumbuhan rambut terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah keguguran rambut.
Rawatan menggunakan minoxidil secara sapuan adalah rawatan yang pertama diberikan bagi wanita yang mengalami masalah botak atau keguguran rambut. [9]
Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti iritasi atau alahan kulit seperti gatal-gatal ketika menggunakan ubat ini. [10]
Rumusan
Cara melebatkan rambut yang disenaraikan ini rata-ratanya mudah dan memerlukan kos yang rendah.
Untuk memastikan anda memiliki rambut yang lebat dan sihat, beberapa perkara harus dititikberatkan iaitu penjagaan makanan dengan pengambilan nutrien yang mencukupi, amalan gaya hidup yang tidak merosakkan rambut dan mengamalkan petua-petua melebatkan rambut yang mudah diamalkan.
Rujukan
- Le Floc’h, C., et al. (2015). Effect of a nutritional supplement on hair loss in women. Journal of cosmetic dermatology.
- Kil, M. S., et al. (2013). Analysis of serum zinc and copper concentrations in hair loss. Annals of dermatology.
- Koyama, T., et al. (2016). Standardized Scalp Massage Results in Increased Hair Thickness by Inducing Stretching Forces to Dermal Papilla Cells in the Subcutaneous Tissue. Eplasty.
- Cho, Y. H., et al. (2014). Effect of pumpkin seed oil on hair growth in men with androgenetic alopecia: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Panahi, Y., et al. (2015). Rosemary oil vs minoxidil 2% for the treatment of androgenetic alopecia: a randomized comparative trial. Skinmed.
- Rele, A. S., & Mohile, R. B. (2003). Effect of mineral oil, sunflower oil, and coconut oil on prevention of hair damage. Journal of cosmetic science.
- Da Vardy, et al. (1999). A double-blind, placebo-controlled trial of an Aloe vera (A. barbadensis) emulsion in the treatment of seborrheic dermatitis. Journal of Dermatological Treatment.
- Adhirajan, N., et al.. (2003). In vivo and in vitro evaluation of hair growth potential of Hibiscus rosa-sinensis Linn. Journal of ethnopharmacology.
- Bhat, Y. J., et al. (2020). Female Pattern Hair Loss-An Update. Indian dermatology online journal.
- Herskovitz, I., & Tosti, A. (2013). Female pattern hair loss. International journal of endocrinology and metabolism.