Buah nangka sememangnya popular di Malaysia. Selain rasanya yang manis dan isinya yang pejal, khasiat nangka juga menjadikannya makanan yang menyihatkan.
Nangka digelar buah eksotik yang berasal dari selatan India dan Malaysia. Nama saintifik bagi buah ini ialah Artocarpus heterophyllus. Nangka ialah sebahagian daripada keluarga Moraceae iaitu keluarga buah tin, mulberi dan sukun.
Buah nangka kebiasaannya besar dan boleh mencecah berat sehingga 50 kg. Nangka enak dimakan segar atau boleh dibuat jus, kordial, kari dan sebagai pencuci mulut.
Berikut adalah beberapa khasiat nangka yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Buah nangka mempunyai profil nutrien yang menarik juga. Bagi 100 gram buah ini, terdapat kira-kira 74% air dan 95 kalori tenaga.
Selain itu, buah nangka turut mempunyai nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Protein: 1.72 gram
- Lemak: 0.64 gram
- Karbohidrat: 23.25 gram
- Serat: 1.5 gram
- Kalsium: 24 miligram
- Magnesium: 29 miligram
- Fosforus: 21 miligram
- Kalium: 448 miligram
- Vitamin C: 13.7 miligram
- Folat: 24 mikrogram
Selai itu, nangka juga mempunyai mineral dan vitamin seperti zat besi, zink, tembaga, mangan, vitamin B dan vitamin A.
2. Boleh Membantu Mengurangkan Tekanan Darah
Buah nangka kaya dengan kandungan kalium (potassium).
100 gram buah nangka membekalkan kira-kira 9.5% RNI (recommended nutrient intake) bagi mineral kalium.
Kalium boleh membantu dalam mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan kesan negatif garam (natrium). Natrium yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan tekanan darah yang akan memberi kesan terhadap jantung dan salur darah. [2]
3. Boleh Membantu Mencegah Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular ialah istilah umum bagi penyakit yang menyerang jantung dan salur darah.
Ia selalunya melibatkan pengumpulan lemak di dalam arteri (aterosklerosis) dan meningkatkan risiko darah beku. Penyakit jantung koronari dan strok adalah jenis-jenis penyakit kardiovaskular.
Pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dalam darah boleh menyebabkan aterosklerosis. Selain itu, radikal bebas juga menyebabkan kecederaan tisu, pengoksidaan protein, kemusnahan DNA dan menyebabkan keradangan. [3]
Antioksidan seperti karotenoid dalam buah nangka boleh melambatkan, merencatkan atau mencegah proses pengoksidaan ini. [4]
Terdapat kajian mendapati 70% daripada aktiviti antioksidan nangka datang daripada biji dan isinya. [5]
4. Baik untuk Kesihatan Kulit
Khasiat nangka juga merangkumi kesihatan kulit kita. Ini kerana nangka adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.
Vitamin C boleh melindungi kulit kita daripada kerosakan akibat daripada proses penuaan atau terdedah terlalu lama kepada sinaran ultraungu (UV).
Vitamin C juga penting untuk menghasilkan kolagen, protein yang memberi ketegangan dan kekuatan kepada kulit.
5. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser dan Ulser
Kandungan fitonutrien seperti lignan, isoflavon dan saponin dalam buah nangka adalah penyumbang kepada sifat antikanser dan antiulser.
Kajian mendapati fitonutrien ini mencegah pembentukan sel-sel kanser dalam badan dan melawan ulser dalam perut. [4]
Kajian lain mendapati isi buah nangka mempunyai sebatian yang boleh mencegah dan merawat kanser limfoma. Selain itu, sebatian dalam buah nangka ini mempunyai ciri-ciri yang boleh mengurangkan kemusnahan DNA dan percambahan sel-sel kanser. [5]
6. Bersifat Antibakteria
Dalam satu kajian mendapati ekstrak methanolic daripada batang, kulit akar, daun, buah dan biji nangka menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria, protozoan dan fungus.
Kajian ini juga mendapati buah dan kulit akar nangka menunjukkan sifat antibakteria yang paling aktif. [6]
7. Boleh Mencegah Pereputan Tulang
Buah nangka juga tinggi dengan mineral magnesium dan kalsium.
Magnesium yang diperolehi melalui diet ini penting untuk mengekalkan fungsi otot dan saraf, menyokong penyerapan kalsium dan membantu tulang agar kekal kuat serta mencegah penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis. [7, 8]
Rumusan
Khasiat nangka bukan sahaja terletak pada buahnya sahaja. Malahan, biji, daun dan akarnya juga mempunyai khasiat kepada kesihatan kita.
Kita beruntung kerana di Malaysia, buah nangka mudah untuk didapati dan telah mempunyai klon atau jenis nangka yang sedap seperti nangka madu.
Justeru itu, manfaatkan kelebihan ini dengan menjadikan nangka sebahagian daripada diet harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Krishna G. G. (1990). Effect of potassium intake on blood pressure. Journal of the American Society of Nephrology.
- Fan, J., & Watanabe, T. (2003). Inflammatory reactions in the pathogenesis of atherosclerosis. Journal of atherosclerosis and thrombosis.
- Baliga, M.S. et al. (2011). Phytochemistry, nutritional and pharmacological properties of Artocarpus heterophyllus Lam (jackfruit): A review. Food Research International.
- Soong, Y.Y. & Barlow, P.J. (2004). Antioxidant activity and phenolic content of selected fruit seeds. Food Chemistry.
- Ruiz-Montañez, G. et al. (2015). Screening antimutagenic and antiproliferative properties of extracts isolated from Jackfruit pulp (Artocarpus heterophyllus Lam). Food chemistry.
- Khan, M. R. et al. (2003). Antibacterial activity of Artocarpus heterophyllus. Fitoterapia.
- Castiglioni, S. et al. (2013). Magnesium and osteoporosis: current state of knowledge and future research directions. Nutrients.
- Arnaud, C. D., & Sanchez, S. D. (1990). The role of calcium in osteoporosis. Annual review of nutrition.