Mungkin ramai yang mengalami masalah keguguran rambut atau rambut menipis. Jika anda lebih menyukai perubatan tradisional atau alami, terdapat beberapa petua melebatkan rambut yang dinyatakan dalam artikel ini yang boleh dicuba.
Keguguran rambut boleh berlaku kepada lelaki dan wanita. Biasanya, ia lebih kerap berlaku kepada mereka yang sudah berumur.
Peningkatan usia juga menyebabkan ramai yang mengalami penipisan rambut dan kekurangan rambut.
Punca yang Menyebabkan Rambut Gugur
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keguguran rambut. Antaranya adalah:
- Keturunan (sejarah keluarga): Penyebab keguguran rambut yang paling biasa adalah keadaan keturunan yang berlaku dengan penuaan.
- Perubahan hormon dan masalah kesihatan: Pelbagai keadaan boleh menyebabkan keguguran rambut kekal atau sementara, termasuk perubahan hormon akibat kehamilan, bersalin, menopaus dan masalah tiroid.
- Terapi radiasi di kepala: Rambut mungkin tidak tumbuh semula seperti dahulu.
- Suplemen atau ubat-ubatan: Keguguran rambut boleh menjadi kesan sampingan ubat-ubatan tertentu seperti yang digunakan untuk kanser, kemurungan, masalah jantung dan tekanan darah tinggi.
- Tekanan (stres): Ramai orang mengalami penipisan rambut secara umum beberapa bulan selepas kejutan fizikal atau emosi.
Petua 1: Menggunakan Daun Bunga Raya
Petua melebatkan rambut yang pertama yang boleh dicuba adalah dengan menggunakan daun bunga raya, telur ayam kampung dan madu lebah.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
- Ambil daun bunga raya yang bersih, ramas atau lenyekkan sehingga keluar lendir.
- Ambil lendirnya dan campurkan dgn sebiji telur ayam kampung beserta satu sudu madu lebah.
- Gaulkan bahan-bahan tersebut dengan sekata dan sapukan pada rambut anda.
- Perap rambut anda dengan tuala lebih kurang 10 minit.
- Kemudian, cuci dan bilas rambut sehingga kering.
- Amalkan sebanyak dua kali seminggu.
Petua 2: Menggunakan Aloe Vera
Petua melebatkan rambut yang kedua ialah menggunakan aloe vera atau lidah buaya. Aloe vera merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan atau khasiat termasuklah membantu melebatkan rambut.
Malah, penyelidik berpendapat bahawa manfaat aloe vera untuk rambut mungkin disebabkan oleh keupayaannya untuk merangsang peredaran darah dan meningkatkan penghantaran oksigen dan nutrisi ke folikel rambut. [1]
Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
- Dapatkan gel atau lendir daripada daun aloe vera atau lidah buaya yang segar dengan cara membuang bahagian lapisan kulit luar dan mengikis gel di bahagian dalam menggunakan sudu.
- Sapukan gel tersebut di bahagian rambut dan kulit kepala.
- Biarkan sekurang-kurangnya 30 minit hingga beberapa jam sebelum membilasnya.
- Amalkan beberapa kali seminggu.
Petua 3: Menggunakan Minyak Kelapa
Petua melebatkan rambut yang seterusnya adalah menggunakan minyak kelapa. Meskipun tiada kajian yang melaporkan bahawa minyak kelapa boleh membuatkan rambut anda tumbuh dengan lebih cepat, namun penggunaan minyak ini boleh meningkatkan kesihatan rambut dan kulit kepala.
Ini mungkin boleh membuatkan rambut anda kelihatan tumbuh dengan lebih cepat.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
- Letakkan sedikit minyak kelapa ke dalam mangkuk (biasanya pada suhu bilik minyak kelapa berbentuk seperti pepejal seperti mentega)
- Panaskan minyak kelapa tersebut beberapa saat sehingga lembut tetapi tindak menjadi cecair sepenuhnya.
- Periksa suhu minyak tersebut sehingga ia berasa suam.
- Gunakan jari anda dan urut minyak kelapa ke bahagian kulit kepala dan rambut anda.
- Perap rambut anda dengan tuala.
- Biarkan selama sekurang-kurangnya 30 minit atau beberapa jam.
- Basuh dan bilas rambut anda dengan menggunakan syampu.
Petua 4: Suplemen Ginseng
Mengambil suplemen ginseng juga boleh membantu melebatkan rambut anda kerana ia boleh merangsang pertumbuhan rambut.
Ginseng mengandungi sebatian yang dikenali sebagai ginsenoside yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kesan positif ginseng terhadap rambut.
Manfaat ginseng ini juga turut dilaporkan dalam kajian yang mendapati ginseng boleh membantu menggalakkan pertumbuhan rambut. [2]
Petua 5: Jus Bawang Besar
Petua melebatkan rambut yang berikutnya adalah menggunakan jus bawang besar. Bagi anda tahan terhadap bau bawang, anda boleh mengamalkan petua ini.
Jus bawang adalah kaedah yang telah terbukti boleh merawat masalah rambut terutamanya masalah botak. Khasiat atau manfaat jus bawang ini telah dilaporkan dalam kajian yang melibatkan pesakit alopecia areata (botak bertompok). [3]
Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah:
- Kisar beberapa biji bawang besar.
- Tapis dan perah kisaran bawang tersebut untuk mendapatkan jusnya.
- Sapukan jus bawang tersebut ke rambut dan kulit kepala anda.
- Biarkan selama sekurang-kurangnya 15 minit.
- Basuh dan bilas rambut anda menggunakan syampu.
Petua 6: Mengurut Kulit Kepala
Petua melebatkan rambut yang terakhir tidak memerlukan tidak memerlukan bahan-bahan tambahan. Ia hanya melibatkan jari-jemari anda sahaja.
Mengurut kulit kepala boleh merangsang kulit kepala dan melebatkan rambut anda. Regangan semasa urutan boleh menggalakkan pertumbuhan dan ketebalan rambut.
Mengurut juga boleh meningkatkan peredaran darah dan kesihatan kulit kepala.
Urut kulit kepala anda menggunakan hujung jari anda (bukan menggunakan kuku). Urut kesemua bahagian kulit kepala dalam bentuk pergerakan bulat yang kecil dengan tekanan yang ringan hingga sederhana.
Amalkan setiap hari.
Rujukan
- Qadir, M.. (2009). Medicinal and cosmetological importance of Aloe vera. International Journal of Natural Therapy.
- Choi B. Y. (2018). Hair-Growth Potential of Ginseng and Its Major Metabolites: A Review on Its Molecular Mechanisms. International journal of molecular sciences.
- Sharquie, K. E., & Al-Obaidi, H. K. (2002). Onion juice (Allium cepa L.), a new topical treatment for alopecia areata. The Journal of dermatology.