Memakan tiram mentah menjadi satu trend baharu di negara ini. Namun, tidak ramai yang sedar akan bahaya makan tiram mentah tersebut.
Walaupun ia kelihatan mewah, tetapi bagi sesetengah orang tiram mentah ini boleh membawa maut. Masyarakat perlu tahu bahawa memakan tiram mentah atau tidak dimasak sempurna boleh menyebabkan sakit yangs serius.
Hal ini demikian kerana, tiram mentah boleh mengandungi bakteria yang dikenali sebagai Vibrio vulnificus. Penyakit yang disebabkan oleh bakteria ini dikenali sebagai Vibriosis.
Apa itu Bakteria Vibrio?
Bakteria Vibrio hidup secara semula jadi di dalam air laut di mana tiram hidup.
Oleh sebab, tiram makan dengan menapis air, bakteria Vibrio dan kuman berbahaya yang lain boleh tertumpu di dalam tisu haiwan ini.
Apabila seseorang makan tiram mentah atau kurang masak, kuman yang mungkin ada di dalam tiram boleh menyebabkan penyakit.
Terdapat kira-kira sedozen spesies Vibrio yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia yang dikenali sebagai vibriosis. Tetapi, tiga spesies utama yang sering menyebabkan penyakit adalah Vibrio parahaemolyticus, Vibrio vulnificus, dan Vibrio alginolyticus.
Individu yang dijangkiti bakteria Vibrio vulnificus boleh mengalami sakit yang teruk. Kira-kira 1 daripada 5 orang yang dijangkiti bakteria ini meninggal dunia.
Tiram yang mengandungi bakteria Vibrio tidak mempunyai rasa, rupa atau bau yang berbeza daripada tiram-tiram yang lain. Bakteria ini boleh dibunuh sekiranya tiram tersebut dimasak dengan sempurna.
Memakan Tiram Mentah Boleh Menyebabkan Vibriosis
Vibriosis adalah penyakit yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria Vibrio.
Kebanyakan jangkitan bakteria Vibrio daripada tiram menyebabkan penyakit yang ringan seperti cirit-birit atau muntah-muntah.
Namun, bagi mereka yang dijangkiti oleh bakteria Vibrio vulnificus, mereka boleh mengalami sakit yang teruk termasuklah kematian.
Jangkitan bakteria Vibrio vulnificus boleh menyebabkan jangkitan saluran darah, lepuh kulit yang teruk atau amputasi (pemotongan) anggota badan.
Simptom-simptom Vibriosis
Simptom-simptom jangkitan bakteria Vibrio vulnificus boleh berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam selepas anda memakan tiram mentah.
Antaranya adalah:
- Demam
- Menggiggil secara tiba-tiba
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Kejutan (shock)
- Luka pada kulit
Golongan Berisiko Tinggi Mendapat Vibriosis
Terdapat beberapa golongan yang lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau bahaya akibat makan tiram mentah, antaranya adalah:
- Golongan tua yang berusia 65 tahun ke atas
- Pernah menjalani pembedahan perut
- Penghidap penyakit hati
- Penghidap kanser
- Penghidap diabetes (penyakit kencing manis)
- Penghidap HIV
- Penghidap Talasemia
- Mereka yang mengambil ubat untuk merendahkan paras asid perut
- Mereka yang menerima terapi penahan imun
Penghidap kanser, diabetes atau penyakit hati boleh meninggal dunia akibat jangkitan dalam masa dua hari.
Adakah Perahan Air Limau atau Lemon Boleh Membunuh Bakteria?
Ramai yang berpendapat bahawa memerah air limau atau lemon ke atas tiram mentah boleh membunuh bakteria yang berada di dalamnya.
Namun, tanggapan ini sebenarnya salah. Hanya memasak dengan sempurna sahaja yang boleh membunuh bakteria Vibrio.
Terdapat juga yang beranggapan bahawa meletakkan sos panas di atas tiram mentah boleh membunuh bakteria yang ada. Walau bagaimanapun, tanggapan ini juga tidak benar.
Adakah Tiram Mentah daripada Sumber Bereputasi Selamat?
Bakteria Vibrio vulnificus bukan wujud akibat daripada pencemaran.
Justeru itu, walaupun tiram tersebut datang daripada sumber bereputasi atau daripada persekitaran air bersih, ia tidak menjanjikan keselamatan.
Rumusan
Walaupun ia “trendy” atau sedap tetapi keselamatan adalah lebih utama. Elakkan bahaya akibat makan tiram mentah dengan memasak makanan ini dengan sempurna terlebih dahulu.
Tiram mentah cenderung untuk mengandungi bakteria Vibrio yang boleh menyebabkan vibriosis. Bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu, jangkitan bakteria ini boleh membawa maut.
Anda boleh memasak tiram dengan pelbagai cara seperti merebus, mengukus, menggoreng atau membakarnya.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Oysters an Vibriosis.
- U.S. Food & Drug Administration. (2022). The Danger of Eating Contaminated Raw Oysters.