Khasiat tiram mungkin tidak diketahui sepenuhnya oleh masyarakat umum. Tiram mungkin hanya dilihat sebagai sumber makanan atau sumber protein. Sebenarnya, tiram mempunyai nutrien-nutrien tertentu yang mempunyai pelbagai peranan terhadap kesihatan manusia.
Tiram adalah antara makanan laut yang mahal kerana permintaan terhadapnya melebihi bekalan. Jika dahulu tiram ditangkap liar, kini tiram banyak diternak bagi memenuhi permintaan pengguna.
Dapatan arkeologi mendapati tiram telah dimakan oleh orang asli di Australia sekitar 6000 tahun Sebelum Masihi.
Kini, tiram dimakan dalam bentuk mentah, dipanggang atau dijadikan produk makanan seperti sos dan sebagainya.
Artikel ini akan membawakan kepada anda beberapa khasiat tiram yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan kita.
1. Sumber Protein yang Berkualiti
Tiram merupakan sumber protein yang berkualiti tinggi. Bagi 100 gram tiram terdapat kira-kira 9.5 gram protein. [1]
Tambahan daripada itu juga, tiram juga merupakan sumber protein yang mengandungi kesemua 9 asid amino perlu (essential amino acid).
Asid amino perlu ini harus diperolehi melalui makanan kerana badan manusia tidak menghasilkan asid ini. Asid amino ini mempunyai pelbagai fungsi terhadap badan manusia. Contohnya seperti membantu membaiki tisu rosak, membantu menyerap nutrien, mencegah kehilangan otot dan sintesis protein.
Pengambilan makanan yang tinggi dengan protein boleh meningkatkan rasa kenyang dan menggalakkan penurunan berat badan.
Makanan yang kaya dengan protein boleh mengurangkan rasa lapar dengan meningkatkan paras hormon yang menyebabkan rasa kenyang. [2]
2. Baik untuk Sistem Reproduktif
Tiram mentah juga dikatakan boleh membantu meningkatkan syahwat. Namun, tiada atau kurang bukti-bukti saintifik yang melaporkan akan khasiat tiram terhadap kesihatan seksual manusia ini.
Dari sudut yang lain, kandungan mineral zink yang tinggi dalam tiram sebenarnya baik untuk sistem reproduktif (sistem pembiakan).
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan ekstrak tiram boleh membaiki atau menambah baik masalah reproduktif, kecacatan embrio dan kekurangan pergerakan sperma yang berlaku akibat kekurangan mineral zink. [3]
Kajian semula oleh pengkaji di University of Mazandaran, Iran juga turut melaporkan bahawa mineral zink adalah penting kepada kesuburan lelaki terutamanya kepada fungsi dan kualiti sperma. [4]
3. Mengandungi Antioksidan yang Unik
Khasiat tiram juga turut disumbang oleh kandungan antioksidannya yang unik. Antioksidan unik ini dipanggil 3,5-Dihydroxy-4-methoxybenzyl alcohol (DHMBA).
DHMBA ini adalah sebatian fenolik yang mempunyai kesan antioksidan yang kuat.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melawan atau meneutralkan radikal bebas bagi mengelakkan terjadinya tekanan oksidatif akibat radikal bebas yang berlebihan. Tekanan oksidatif atau tekanan pengoksidaan ini boleh menjurus kepada penyakit-penyakit kronik.
Kajian makmal mendapati DHMBA ini adalah 15 kali lebih kuat dalam melawan tekanan oksidatif berbanding Trolox iaitu vitamin E tiruan yang digunakan untuk mencegah kerosakan akibat tekanan oksidatif. [5]
Kajian lain juga turut mendapati DHMBA boleh melindungi sel-sel hati daripada kerosakan dan kematian sel akibat daripada tekanan oksidatif. [6]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui kesan perlindungan DHMBA ini dalam melawan tekanan oksidatif dalam badan manusia.
4. Sumber yang Baik untuk Menggantikan Zat yang Hilang
Peningkatan usia menyebabkan setiap dari kita akan mengalami kekurangan sesetengah vitamin atau mineral. Selain itu, faktor seperti penyakit, ubat-ubatan atau diet yang kurang berkhasiat boleh mengganggu keupayaan badan untuk menyerap zat-zat penting.
Tiram adalah sumber makanan yang baik untuk mendapatkan vitamin dan mineral yang penting untuk badan. Contohnya seperti:
- Zat besi: Zat besi diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin iaitu protein yang membawa oksigen keseluruh badan.
- Selenium: Mineral selenium berperanan penting dalam mengekalkan fungsi tiroid dan turut bertindak sebagai antioksidan.
- Zink: Selain untuk kesihatan reproduktif, mineral zink juga penting untuk sistem imun berfungsi dengan baik, membantu penyembuhan luka, penting untuk pertumbuhan sel dan membantu menguraikan karbohidrat.
- Vitamin B12: Vitamin B12 adalah zat yang diperlukan badan bagi memastikan kesihatan sel-sel darah dan darah sihat. Vitamin ini juga turut membantu menghasilkan DNA.
- Vitamin A: Vitamin A berperanan dalam memastikan sistem pertahanan badan berfungsi dengan baik, membantu penglihatan pada waktu malam dan memastikan kulit kekal sihat.
Cara Masak atau Penyediaan Tiram
Sesetengah restoran mungkin ada menyediakan hidangan tiram dalam bentuk segar dan mentah. Hidangan ini mungkin hanya meletakkan perahan lemon ataupun sos pedas.
Tetapi cara sihat dan terbaik bagi penyediaan tiram ini adalah dengan mengukusnya. Kaedah ini boleh membunuh bakteria-bakteria berbahaya yang mungkin wujud.
Melalui cara penyediaan ini anda boleh menikmati tiram tanpa risiko jangkitan bakteria atau virus.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap makanan laut, mereka harus menghindari makanan ini.
Rumusan
Sebagai salah satu daripada sumber makanan laut, tiram mempunyai khasiat yang tersendiri buat pengemarnya.
Khasiat tiram banyak disumbang oleh kandungan vitamin dan mineralnya. Tiram juga tinggi dengan kandungan mineral zink yang memainkan peranan penting terhadap kesihatan sistem reproduktif.
Di samping itu juga, tiram juga mengandungi antioksidan yang unik. Kajian-kajian awal mendapati antioksidan ini sangat kuat dalam melawan tekanan oksidatif.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Leidy, H. J. et al. (2010). The influence of higher protein intake and greater eating frequency on appetite control in overweight and obese men. Obesity.
- Matsuda, Y., & Watanabe, T. (2003). Effects of oyster extract on the reproductive function of zinc-deficient mice: bioavailability of zinc contained in oyster extract. Congenital anomalies.
- Fallah, A. et al. (2018). Zinc is an Essential Element for Male Fertility: A Review of Zn Roles in Men’s Health, Germination, Sperm Quality, and Fertilization. Journal of reproduction & infertility.
- Villuendas-Rey, Y. et al. (2015). Assessing the Protective Activity of a Recently Discovered Phenolic Compound against Oxidative Stress Using Computational Chemistry. Journal of chemical information and modeling.
- Fuda, H. et al. (2015). Anti-apoptotic effects of novel phenolic antioxidant isolated from the Pacific oyster (Crassostrea gigas) on cultured human hepatocytes under oxidative stress. Food chemistry.