Apa itu Anemia Kekurangan Asid Folik?
Anemia kekurangan asid folik ialah keadaan di mana seseorang itu mempunyai sel-sel darah merah yang rendah dan sel-sel ini adalah luar biasa besar. Perbezaan ini membawa kepada pengurangan jumlah oksigen yang beredar dalam darah anda.
Anemia kekurangan asid folik berpunca daripada kekurangan folat (vitamin B9) dalam badan anda.
Folat diperlukan oleh badan untuk membuat sel-sel darah merah baru. Badan anda memerlukan sel-sel darah merah untuk membawa oksigen ke organ anda.

Tidak mempunyai sel-sel darah merah yang mencukupi menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia, yang boleh membuat anda berasa lemah dan letih.
Bayi anda mungkin berisiko lebih tinggi untuk mengalami kecacatan kelahiran yang serius seperti spina bifida jika anda mengalami anemia kekurangan asid folik semasa hamil.
Spina bifida menyebabkan tulang belakang bayi menjadi cacat.
Apa itu Asid Folik?
Asid folik ialah versi sintetik kepada folat atau turut dipanggil vitamin B9. Badan anda kehilangan vitamin B9 apabila anda berpeluh dan membuang air kecil.
Badan anda juga tidak boleh menyimpan vitamin ini, maka anda memerlukan vitamin ini setiap hari.
Anda boleh mendapatkan folat atau vitamin B9 melalui makanan-makanan seperti hati lembu, sayur bayam, asparagus, brokoli, kacang tanah, kacang walnut, buah oren dan lain-lain lagi.
Gejala-gejala dan Tanda
Gejala-gejala kekurangan asid folik adalah seperti berikut:
- Kelesuan
- Lidah bengkak
- Mulut pecah-pecah
- Terbantut
- Rambut beruban
Apabila anemia berlaku, anda mungkin mengalami gejala-gejala berikut:
- Kelesuan
- Pening
- Rasa sejuk
- Kulit pucat
- Sakit kepala
- Sukar bernafas
- Cirit-birit
- Hilang selera makan
- Sukar untuk memberi tumpuan
- Kehilangan berat badan
Punca yang Menyebabkan Anemia Kekurangan Asid Folik
Pemakanan tak seimbang (malnutrisi) adalah faktor utama yang menyebabkan anemia kekurangan asid folik.
Memakan makanan yang rendah dengan vitamin atau memasak makanan terlalu lama boleh menyumbang kepada malnutrisi.
Selain itu, terdapat beberapa keadaan yang boleh menghalang badan anda menyerap atau menggunakan folat. Contohnya seperti:
- Ketagihan alkohol
- Penyakit penghadaman seperti penyakit Crohn dan seliak
- Ubat antisawan, antibiotik, antireumatik atau immunosuppressant
- Malabsorption yang menyebabkan badan tidak dapat menyerap vitamin dan mineral dengan baik
- Rawatan dialisis bagi kegagalan buah pinggang
Golongan yang Berisiko Mengalami Anemia Kekurangan Asid Folik
Beberapa golongan yang berisiko untuk mengalami anemia kekurangan asid folik adalah:
- Wanita hamil
- Orang yang mengambil ubat-ubatan tertentu
- Orang yang ketagihan arak
- Orang yang kerap memakan makanan yang terlebih masak
- Orang yang memakan makanan yang tidak seimbang dan rendah dengan vitamin
- Penghidap penyakit seperti penyakit sel sabit
Diagnosa
Penyakit darah lain boleh menyebabkan gejala-gejala yang serupa dengan anemia kekurangan asid folik.
Anda perlu berjumpa doktor untuk diagnosis. Doktor akan melakukan ujian kiraan darah lengkap (CBC) untuk menentukan sama ada anda mengalami anemia kekurangan asid folik atau tidak.
Ujian ini akan mendedahkan sekiranya kiraan sel darah merah anda rendah atau tidak.
Doktor juga mungkin akan mengarahkan anda menjalani ujian darah untuk memeriksa paras asid folik dalam darah anda.
Bagaimana Anemia Kekurangan Asid Folik Dirawat?
Matlamat rawatan adalah untuk meningkatkan tahap asid folik dalam badan anda. Cara paling mudah adalah dengan mengambil tablet asid folik setiap hari sehingga kekurangan itu diperbetulkan.
Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu menerima asid folik secara intravena jika paras asid folik anda terlalu rendah.
Selain itu, anda juga disarankan untuk mengamalkan diet yang tinggi dengan asid folik seperti sayur bayam, brokoli atau oren.
Rujukan
- Khan KM, Jialal I. Folic Acid Deficiency. [Updated 2022 Jun 27]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Folate Deficiency Anemia. Cleveland Clinic