Kekurangan vitamin D adalah masalah yang lazim berlaku di seluruh dunia. Oleh itu, ramai yang memilih untuk mengambil makanan tambahan (suplemen) untuk mengatasi masalah kekurangan ini. Sudah tentu ramai yang menginginkan produk vitamin D terbaik sebagai makanan tambahan mereka.
Justeru itu, dalam artikel ini kami senaraikan beberapa produk makanan tambahan (suplemen) vitamin D terbaik berdasarkan beberapa kriteria yang kami nyatakan dibawah.
Vitamin D adalah vitamin larut lemak yang terlibat dalam pelbagai fungsi badan manusia seperti membantu penyerapan mineral kalsium dan fosforus, membantu pertumbuhan dan perkembangan otot, menguatkan tulang dan menguatkan sistem imun.
Terdapat dua bentuk vitamin D iaitu vitamin D2 dan vitamin D3. Vitamin D2 boleh diperolehi daripada makanan manakala vitamin D3 pula boleh dihasilkan melalui pendedahan kulit manusia kepada sinaran matahari.
Kekurangan vitamin D bagi kanak-kanak boleh menyebabkan penyakit riket iaitu penyakit yang menyebabkan tulang menjadi lembut, lemah, cacat dan menyakitkan. Manakala bagi remaja dan orang dewasa pula, kekurangan vitamin D boleh menyebabkan penyakit osteomalasia iaitu penyakit yang menyebabkan kesakitan tulang dan lemah otot.
Terdapat beberapa jenis makanan yang tinggi dengan vitamin D seperti susu yang diperkaya, ikan berlemak, hati lembu dan kuning telur. Selain itu, makanan tambahan atau suplemen turut boleh membantu memenuhi keperluan vitamin D harian anda.
Senarai makanan tambahan atau suplemen vitamin D terbaik ini dipilih berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
- Mengamalkan amalan pengilangan baik (Good Manufacturing Practice) GMP atau Therapeutic Goods Administration (TGA).
- Produk adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Kualiti bahan yang digunakan dan tiada kandungan bahan tambahan tiruan.
- Tidak mengandungi bahan-bahan alergen.
- Mempunyai sijil Halal JAKIM atau badan yang disahkan oleh JAKIM.
Maklumat Penanda Harga
Sebagai panduan harga untuk anda. Kami meletakkan simbol dollar $ ($ hingga $$$). Satu $ bermakna harga produk tersebut adalah berpatutan atau mampu milik.
Semakin banyak simbol $ ini bermakna julat harganya turut meningkat. Julat harga bagi setiap hidangan produk makanan tambahan vitamin D ini adalah sekitar RM 0.65 – RM 1.17.
Saiz hidangan secara umumnya adalah 1 kapsul atau tablet sehari. Manakala bagi makanan tambahan untuk kanak-kanak pula adalah 1-4 tablet sehari.
Harga setiap produk ini juga mungkin akan berbeza-beza bagi setiap kedai atau farmasi. Anda mungkin boleh mendapatkan produk makanan tambahan ini dengan harga yang lebih murah melalui pembelian atas talian (online).
Panduan harga:
- $ = dibawah RM 0.80 bagi setiap hidangan
- $$ = RM 0.80 – RM 1.00 bagi setiap hidangan
- $$$ = lebih daripada RM 1.00 bagi setiap hidangan
Berikut adalah senarai vitamin D terbaik yang boleh didapati di pasaran di Malaysia.
1. Blackmores Vitamin D3 1000 IU
Jenama: Blackmores
Harga: $$$
No. pendaftaran KKM: MAL12085091XC
Bentuk: Kapsul
Kelebihan
- Tidak mengandungi bahan pengawet.
- Bebas gluten, tepung gandum, yis dan susu.
- Bebas pewarna dan pemanis tiruan.
- Mempunyai pensijilan halal Australia yang diiktiraf oleh JAKIM.
Kekurangan
- Harganya sedikit mahal.
Blackmores adalah jenama makanan tambahan (suplemen) dari Australia yang telah lama menapak di Malaysia.
Produk-produk yang dikeluarkan oleh Blackmores dikilangkan menurut amalan pengilangan baik (GMP) dan memenuhi keperluan di bawah Konvensyen Pemeriksaan Farmaseutikal Antarabangsa dan Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmasi.
Setiap kapsul Blackmores mengandungi 1000 IU (international unit) vitamin D3 iaitu bersamaan dengan 25 mikrogram vitamin D3.
Selain itu, produk vitamin D Blackmores ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
2. Swisse Ultiboost Vitamin D
Jenama: Swisse
Harga: $
No. pendaftaran KKM: MAL20096036NC
Bentuk: Kapsul
Kelebihan
- Tidak mengandungi laktosa, yis atau telur.
- Tidak mengandungi perasa dan pewarna tiruan.
- Kapsul yang kecil dan mudah untuk ditelan.
Kekurangan
- Tidak mempunyai pengiktirafan sijil halal
Swisse Ultiboost Vitamin D adalah produk makanan tambahan daripada syarikat dari Australia iaitu Swisse Wellness Pty Ltd.
Produk makanan tambahan ini dikilangkan oleh Vitex Pharmaceuticals yang dikawal oleh Quality Management System (QMS) dan pematuhan ketat dengan ketetapan yang ditetapkan oleh Australian Therapeutic Goods Administration (TGA).
Setiap kapsul vitamin D bagi produk ini mengandungi vitamin D3 sebanyak 1000 IU atau 25 mikrogram.
Produk Swisse Ultiboost Vitamin D ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
3. Bio-D3 800 IU
Jenama: Pharma Nord
Harga: $
No. pendaftaran KKM: MAL13045020N
Bentuk: Kapsul
Kelebihan
- Dikapsulkan bersama-sama minyak zaitun untuk penyerapan yang lebih baik.
- Saiz kapsul yang kecil dan mudah ditelan.
- Tidak mengandungi bahan alergen.
Kekurangan
- Tidak mempunyai pengiktirafan sijil halal
Bio-D3 adalah produk makanan tambahan yang dikeluarkan oleh Pharma Nord yang berpengkalan di Denmark.
Produk-produk makanan tambahan (suplemen) yang dihasilkan oleh syarikat ini adalah menurut amalan pengilangan baik semasa (cGMP).
Setiap kapsul produk ini mengandungi 800 IU atau 20 mikrogram vitamin D3. Kulit kapsul vitamin ini dihasilkan daripada gelatin bovin (lembu).
Produk Bio-D3 ini turut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
4. Mega Osteocap
Jenama: MEGA
Harga: $$
No. pendaftaran KKM: MAL05092239X
Bentuk: Kapsul
Kelebihan
- Tersedia dalam bentuk aktif bagi vitamin D iaitu calcitriol.
- Sesuai untuk mereka yang didiagnosis menghidap kekurangan vitamin D atau mengalami gangguan penyerapan kalsium terutamanya pesakit buah pinggang.
Kekurangan
- Tiada pengiktirafan sijil halal.
Produk Osteocap ini dikeluarkan oleh syarikat Mega Lifesciences Public Company Limited yang berpengkalan di Thailand.
Setiap kapsul Osteocap mengandungi 0.25 mikrogram calcitriol. Kulit kapsul makanan tambahan (suplemen) ini dihasilkan daripada bovin (lembu).
Vitamin D yang diperolehi daripada makanan atau makanan tambahan secara biologinya tidak aktif. Ia harus melalui proses penghidroksilan (pengaktifan) dalam badan. Peringkat penghidroksilan yang berlaku dalam buah pinggang akan menukarkan vitamin D kepada kalsitriol (calcitriol).
Bagi produk ini, vitamin D tersebut tersedia dalam bentuk aktif menjadikannya sesuai untuk mereka yang menghidap penyakit buah pinggang.
Produk Osteocap turut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
5. Kordel’s Calcium + Vit D3 Plus Vitamin K2
Jenama: Kordel’s
Harga: $$$
No. pendaftaran KKM: MAL20172936NC
Bentuk: Film-Coated Tablet
Kelebihan
- Turut mengandungi kalsium dan vitamin K2 yang baik untuk tulang.
Kekurangan
- Dos vitamin D3 yang sedikit rendah berbanding produk vitamin D yang lain.
- Harga yang sedikit mahal.
Produk makanan tambahan keluaran Kordel’s ini mengandungi 3 bahan utama iaitu kalsium, vitamin D3 dan vitamin K2.
Gabungan kalsium, vitamin D3 dan vitamin K2 adalah baik untuk kesihatan dan kekuatan tulang.
Setiap tablet mengandungi 500 IU atau 12.5 mikrogram vitamin D3. Dos vitamin D ini sedikit rendah berbanding produk vitamin D yang lain.
Produk ini dikilangkan oleh Yanling Natural Hygiene Sdn Bhd yang mengamalkan amalan pengilangan baik (GMP) dan mempunyai sijil halal JAKIM.
Kordel’s Calcium+ Vit D3 Plus Vitamin K2 ini turut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk Kanak-kanak
6. Appeton Multivitamin Optigrow Plus
Jenama: Appeton
Harga: $$
No. pendaftaran KKM: MAL13075046N
Bentuk: Tablet kunyah
Kelebihan
- Turut mengandungi kalsium dan magnesium yang baik untuk kesihatan tulang dan gigi.
- Mengandungi vitamin-vitamin lain seperti vitamin A, B, C dan E yang baik untuk perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak.
- Bebas daripada pewarna tiruan dan laktosa.
- Berperisa buah-buahan.
- Mempunyai sijil halal JAKIM.
Kekurangan
- Kanak-kanak yang mengalami kekurangan vitamin D memerlukan dos yang lebih tinggi.
Produk ini sesuai untuk kanak-kanak yang berumur 1 tahun sehingga kanak-kanak yang berumur 12 tahun.
Makanan tambahan vitamin D3 ini turut digabungkan dengan beberapa mineral dan vitamin yang lain yang boleh menyokong tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Produk Appeton Optigrow ini dikilangkan di kilang milik Kontra Pharma (M) Sdn Bhd yang mengamalkan amalan pengilangan baik (GMP) dan mengikut PIC/S (Pharmaseutical Inspection Convention/Scheme).
Produk Appeton Optigrow ini juga turut memiliki sijil halal JAKIM dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagaimana untuk Memilih?
Sebelum anda mengambil makanan tambahan atau suplemen vitamin D, adalah penting untuk anda membuat pemeriksaan sama ada paras vitamin D dalam darah anda menunjukkan paras mencukupi, kekurangan atau optimum.
Ini untuk mengelakkan daripada anda mengambil vitamin D secara berlebihan.
Bagi mereka yang mengalami kekurangan vitamin D, ahli profesional kesihatan lazimnya akan membekalkan makanan tambahan vitamin D pada dos yang tinggi atau pemberian vitamin D melalui suntikan.
Semasa anda membeli makanan tambahan, pastikan anda membaca bahan atau ramuannya. Amalan ini penting terutamanya kepada anda yang menghidap alahan.
Pemilihan dos vitamin D juga penting bagi mengelakkan anda membeli suplemen dengan dos yang terlalu tinggi. Seorang lelaki dan wanita dewasa di Malaysia hanya memerlukan 15 mikrogram vitamin D sehari.
Pengambilan vitamin D yang berlebihan boleh menyebabkan ketoksikan dan merosakkan buah pinggang. Secara ringkasnya, paras maksimum pengambilan vitamin D yang boleh diterima adalah:
Kumpulan Usia | Vitamin D (mikrogram/hari) |
---|---|
Bayi (0-6 bulan) | 25 |
Bayi (6-12 bulan) | 37.5 |
Kanak-kanak (1-13 tahun) | 100 |
Remaja (14-18 tahun) | 100 |
Dewasa (18 tahun ke atas) | 100 |
Wanita mengandung | 100 |
Wanita menyusukan anak | 100 |
Bagi pengguna yang beragama Islam, produk makanan tambahan yang mempunyai pensijilan halal merupakan salah satu bonus dalam membuat pemilihan.
Selain itu, produk makanan tambahan yang berkualiti tinggi biasanya dikilangkan di kilang yang mengamalkan amalan pengilangan baik (GMP) serta mematuhi piawaian-piawaian farmaseutikal yang telah ditetapkan.
Rumusan
Vitamin D adalah salah satu vitamin penting untuk fungsi badan manusia. Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit berkaitan tulang.
Mendapatkan vitamin D terbaik semestinya menjadi matlamat buat kita semua. Panduan pemilihan dan senarai produk makanan tambahan vitamin D dalam artikel ini diharap dapat membantu anda membuat pemilihan.
Rujukan
- National Institutes of Health. (2021). Fact Sheet for Health Professional: Vitamin D.
- Bahagian Regulatori Farmasi Negara. (2021). Sistem Pendaftaran Produk & Perlesenan.
- Portal Rasmi Halal Malaysia. https://www.halal.gov.my/v4/