Diet yang seimbang dan gaya hidup yang sihat adalah mencukupi bagi kebanyakan orang. Namun, bagi atlet mereka menekan diri mereka ke tahap maksimum. Justeru itu, atlet mungkin memerlukan bantuan suplemen untuk mencapai tahap terbaik mereka.
Terdapat beberapa jenis suplemen yang boleh membantu atlet untuk mencapai prestasi terbaik mereka serta mengatasi kelesuan dan kesakitan otot.
Dalam artikel ini, kami senaraikan 8 jenis suplemen terbaik untuk atlet yang boleh membantu pelbagai aspek termasuklah dari segi tenaga, otot dan prestasi.
1. Protein
Bagi atlet yang bertanding dalam bidang sukan yang memerlukan kekuatan, pembinaan otot adalah penting.
Mengekal dan meningkatkan jisim otot boleh membantu seseorang atlet untuk mengekalkan prestasi dan kekuatan mereka dan seterusnya menjadi lebih kompetitif.
Sekiranya membina jisim otot adalah matlamat anda, anda memerlukan protein untuk mencapai matlamat tersebut.
Pengambilan protein yang tinggi melengkapkan badan dengan asid amino yang diperlukan untuk membangunkan dan membaiki jisim otot.
Mengambil suplemen protein seperti serbuk protein, boleh membantu meningkatkan jisim otot dan juga boleh membantu badan anda membaiki otot dengan lebih cepat selepas sesi mengangkat berat.
2. Kreatina (Creatine)
Kreatina adalah asid amino yang terdapat dalam otak dan otot. Anda juga boleh mendapatkan kreatina melalui makanan seperti makanan laut dan daging merah.
Kreatina boleh membantu anda untuk berada pada tahap terbaik untuk membina jisim otot.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan suplemen kreatina boleh memberikan kesan positif terhadap kekuatan, prestasi dan menggalakkan penyesuaian latihan yang lebih baik. Kreatina juga boleh membantu meningkatkan jisim otot dan memendekkan tempoh pemulihan otot. [1]
3. BCAA
BCAA atau nama panjangnya “Branched chain amino acid” adalah tiga jenis asid amino perlu iaitu leusina, isoleusina dan valina. Ketiga-tiga asid amino ini diperlukan untuk membina protein.
Kepada atlet, asid amino boleh menggalakkan pertumbuhan otot selepas bersenam dan membenarkan badan membina otot.
Kajian turut menunjukkan bahawa BCAA boleh membantu mengurangkan kesakitan otot sementara akibat daripada senaman. [2]
Ini bermakna, pengambilan suplemen BCAA boleh membantu anda untuk dapat kembali melakukan latihan atau ke gimnasium dalam jangka masa yang pendek.
4. Vitamin B
Vitamin B adalah vitamin yang penting untuk menghasilkan tenaga di dalam badan dan membantu memetabolismekan karbohdirat, protein dan lemak.
Kekurangan vitamin B seperti vitamin B12 boleh menyebabkan seseorang itu berasa letih atau lemah.
Bagi atlet wanita, mereka berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin B seperti: [3]
- Vitamin B3 (niasin)
- Vitamin B6 (piridoksina)
- Vitamin B12 (kobalamin)
Bagi atlet yang disahkan mengalami kekurangan vitamin B, pengambilan vitamin B boleh membantu meningkatkan kembali tenaga dan pretasi mereka.
5. Zat Besi
Kekurangan mineral zat besi juga boleh menjejaskan prestasi atlet.
Walaupun kekurangan zat besi lebih lazim berlaku kepada wanita, tetapi lelaki juga masih berisiko untuk mengalami kekurangan mineral ini.
Terdapat kajian yang mendapati bahawa paras zat besi yang rendah boleh menyebabkan banyak gejala buruk pada atlet wanita, termasuk mengurangkan daya tahan dan meningkatkan jumlah tenaga yang digunakan oleh badan. [4]
Para atlet boleh mengambil suplemen zat besi sekiranya pemakanan harian tidak dapat menampung keperluan harian zat besi.
Walau bagaimanapun, atlet dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk menilai paras zat besi dalam darah mereka.
Hal ini demikian kerana pengambilan zat besi yang berlebihan juga boleh menyebabkan kesan sampingan dan ketidakselesaan.
6. Koenzim Q10
Koenzim Q10 (CoQ10) adalah nutrien yang terdapat dalam badan secara semula jadi. CoQ10 juga terdapat dalam kebanyakan makanan yang kita makan.
CoQ10 bertindak sebagai antioksidan yang melindungi sel-sel, tisu dan organ daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas dan tekanan oksidatif.
Terdapat kajian-kajian yang mengaitkan CoQ10 dengan pengurangan kesakitan, kelesuan dan letih pada waktu pagi dalam kalangan mereka yang mengalami sakit seluruh badan (fibromyalgia). [5]
Satu kajian semula yang diterbitkan pada 2022 melaporkan bahawa terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan CoQ10 boleh meningkatkan prestasi fizikal dan kesan positif dengan mengoptimumkan tindak balas sistem berkaitan senaman. [6]
7. Kalsium dan Vitamin D
Kalsium dan vitamin D adalah dua nutrien yang membantu badan membina dan mengekalkan tulang, gigi dan otot yang sihat.
Nutrien-nutrien ini boleh membantu atlet mengekalkan jisim otot dan mengurangkan risiko kecederaan, seperti patah tulang.
Anda boleh mengambil suplemen kalsium dan vitamin D sekiranya anda kekurangan kalsium dan vitamin D.
8. Ashwagandha
Ashwagandha adalah herba yang digunakan dalam perubatan Ayurveda dan kini boleh diperolehi dalam bentuk suplemen kesihatan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap atlet mendapati ekstrak akar Ashwagandha boleh meningkatkan ketahanan fizikal dalam kalangan atlet dengan ketara selepas 8 dan 12 minggu rawatan. [7]
Satu analisis terkini turut mendedahkan bahawa suplemen ashwagandha adalah berkesan untuk meningkatkan prestasi fizikal dalam kalangan lelaki dan wanita sihat. [8]
Rujukan
- Cooper, R. et al. (2012). Creatine supplementation with specific view to exercise/sports performance: an update. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Weber, M. G. et al. (2021). The use of BCAA to decrease delayed-onset muscle soreness after a single bout of exercise: a systematic review and meta-analysis. Amino acids.
- Woolf, K. et al. (2017). Nutrition Assessment of B-Vitamins in Highly Active and Sedentary Women. Nutrients.
- Rogerson D. (2017). Vegan diets: practical advice for athletes and exercisers. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Sood B, Keenaghan M. Coenzyme Q10. [Updated 2022 Jan 19]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from:NCBI
- Drobnic, F. et al. (2022). Coenzyme Q10 Supplementation and Its Impact on Exercise and Sport Performance in Humans: A Recovery or a Performance-Enhancing Molecule?. Nutrients.
- Choudhary, B. et al. (2015). Efficacy of Ashwagandha (Withania somnifera [L.] Dunal) in improving cardiorespiratory endurance in healthy athletic adults. Ayu.
- Bonilla, D. A. et al. (2021). Effects of Ashwagandha (Withania somnifera) on Physical Performance: Systematic Review and Bayesian Meta-Analysis. Journal of functional morphology and kinesiology.