Mata adalah antara organ paling penting dalam badan dan apabila ada masalah, ia boleh menimbulkan rasa cemas. Salah satu keadaan yang perlu diberi perhatian ialah uveitis.
Uveitis ialah keradangan di dalam mata yang, jika tidak dirawat segera, boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius.
Artikel ini akan menerangkan apa itu uveitis, puncanya, tanda-tandanya, dan bagaimana ia boleh dirawat.
Apa Itu Uveitis?
Di dalam mata, terdapat satu lapisan tengah yang dipanggil uvea. Ia terdiri daripada tiga bahagian:
- Iris (bahagian berwarna pada mata)
- Badan siliari (membantu mata fokus)
- Koroid (lapisan salur darah yang memberi nutrien kepada retina di belakang mata)
Bila uvea meradang, keadaan itu dipanggil uveitis. Keradangan boleh berlaku di bahagian depan, tengah, belakang atau di seluruh mata.
Doktor biasanya mengelaskan uveitis seperti berikut:
- Uveitis anterior: Keradangan di bahagian depan, selalunya iris.
- Uveitis pertengahan: Keradangan di bahagian tengah, biasanya gel vitreous.
- Uveitis posterior: Keradangan di bahagian belakang mata.
- Panuveitis: Keradangan di semua bahagian uvea.
Uveitis boleh berlaku secara tiba-tiba dan sembuh dengan rawatan atau berpanjangan serta berulang.
Tanda-Tanda dan Gejala Uveitis
Uveitis boleh menyerang satu atau kedua-dua belah mata. Tanda-tanda atau gejala biasa termasuk:
- Sakit mata (berdenyut atau berasa bertekanan)
- Kemerahan (biasanya di sekitar iris)
- Penglihatan kabur
- Sensitif terhadap cahaya (silau menyebabkan rasa sakit)
- Floaters (bintik hitam atau garisan beralun dalam penglihatan)
- Penglihatan berkurangan (dalam kes yang lebih teruk)
Tanda-tanda dan gejala ini boleh muncul dengan cepat atau perlahan-lahan. Hal ini demikian kerana ia menyerupai masalah mata lain, jangan cuba buat diagnosis sendiri.
Sila berjumpa doktor mata segera jika anda mengalami gejala-gejala ini.
Punca Uveitis
Kadang-kadang, punca sebenar tidak diketahui. Namun, beberapa faktor boleh mencetuskan uveitis:
- Penyakit autoimun (sistem imun menyerang tisu badan sendiri)
- Contoh: artritis reumatoid, ankylosing spondylitis, penyakit Crohn, psoriasis, sarcoidosis.
- Jangkitan
- Virus seperti herpes atau CMV
- Bakteria seperti tuberkulosis atau sifilis
- Parasit seperti toksoplasmosis
- Kecederaan atau pembedahan mata
- Kanser (jarang berlaku, contohnya limfoma)
- Tidak diketahui punca (idiopatik)
Siapa Berisiko?
Uveitis boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tetapi paling kerap menyerang orang dewasa berumur 20 hingga 50 tahun.
Mereka yang ada penyakit autoimun atau pernah mengalami kecederaan mata serius lebih berisiko. Merokok juga boleh meningkatkan risiko uveitis kronik.
Bagaimana Ia Didiagnosis?
Jika doktor mengesyaki uveitis, beberapa pemeriksaan mungkin dilakukan. Ia melibatkan:
- Pemeriksaan slit-lamp: Melihat bahagian depan mata dengan mikroskop khas.
- Oftalmoskopi: Memeriksa bahagian belakang mata (retina dan koroid).
- Ujian tekanan mata: Kerana uveitis boleh menyebabkan glaukoma.
- Ujian darah atau imbasan: Untuk mengesan jangkitan atau penyakit autoimun.
Tujuannya bukan hanya untuk mengesahkan uveitis, tetapi juga mencari punca asasnya.
Komplikasi Jika Tidak Dirawat
Tanpa rawatan, uveitis boleh merosakkan mata dan menyebabkan:
- Katarak (kekaburan kanta mata)
- Glaukoma (tekanan mata tinggi yang merosakkan saraf optik)
- Edema makula (bengkak di pusat retina yang penting untuk penglihatan jelas)
- Kehilangan penglihatan kekal
Rawatan Uveitis
Rawatan bergantung kepada punca keradangan, tetapi matlamat utama ialah mengurangkan bengkak, mengurangkan sakit dan melindungi penglihatan.
1. Kortikosteroid
- Titisan mata untuk keradangan ringan dan di depan mata.
- Tablet, suntikan atau infusi untuk kes yang lebih teruk.
- Rawatan ini sangat berkesan, tetapi penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti katarak atau glaukoma.
2. Ubat Penekan Imun
- Jika uveitis berkaitan dengan penyakit autoimun atau tidak sembuh dengan steroid, ubat seperti methotrexate atau biologik (contoh: adalimumab) boleh digunakan.
3. Antibiotik, Antivirus atau Antikulat
- Jika punca uveitis adalah jangkitan ubat antibiotik, antivirus atau antikulat akan digunakan.
4. Pembedahan
- Jarang diperlukan, tetapi boleh dilakukan untuk membuang tisu rosak atau merawat komplikasi.
Hidup dengan Uveitis
Bagi ramai pesakit, menguruskan uveitis adalah perjalanan jangka panjang. Beberapa langkah yang membantu termasuk:
- Pemeriksaan berkala: Penting untuk pantau keradangan dan kesan sampingan ubat.
- Patuh kepada ubat: Jangan berhenti tanpa arahan doktor, walaupun gejala reda.
- Pakai cermin mata hitam: Mengurangkan rasa silau dan sakit mata.
- Lindungi mata: Gunakan cermin keselamatan bila buat kerja yang berisiko mencederakan mata.
- Gaya hidup sihat: Berhenti merokok, kawal penyakit kronik dan amalkan pemakanan seimbang.
Prognosis dan Harapan
Berita baiknya, dengan diagnosis awal dan rawatan yang betul, kebanyakan pesakit uveitis boleh mengekalkan penglihatan yang baik.
Jangan abaikan gejala seperti sakit mata, kemerahan atau penglihatan kabur.
Walaupun tidak semua kes boleh dicegah, menjaga kesihatan keseluruhan dan mendapatkan rawatan awal boleh membuat perbezaan besar.
Ringkasan
- Uveitis ialah keradangan di dalam mata yang boleh menjejaskan penglihatan.
- Gejala-gejala termasuk sakit mata, kemerahan, floaters, penglihatan kabur dan sensitif cahaya.
- Punca termasuk penyakit autoimun, jangkitan, kecederaan atau tidak diketahui.
- Rawatan melibatkan ubat titisan, steroid, ubat penekan imun atau pembedahan jika perlu.
- Dengan rawatan awal, kebanyakan pesakit boleh mengekalkan penglihatan normal.
Jika anda mengalami sakit mata tiba-tiba, kemerahan atau perubahan penglihatan, jangan tunggu. Jumpa doktor mata segera. Penglihatan anda terlalu berharga untuk dipertaruhkan.
Rujukan
- National Eye Institute. (2022). Facts about uveitis. U.S. Department of Health & Human Services.
- Duplechain A, Conrady CD, Patel BC, et al. Uveitis. [Updated 2023 Aug 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI