Katarak ialah suatu keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Katarak bermula apabila protein dalam mata membentuk gumpalan yang menghalang kanta daripada menghantar imej yang jelas ke retina.
Retina berfungsi dengan menukar cahaya yang datang melalui kanta menjadi isyarat. Ia menghantar isyarat ke saraf optik, yang membawanya ke otak.
Penyakit ini berkembang secara perlahan-lahan dan akhirnya mengganggu penglihatan anda. Anda mungkin mengalami katarak pada kedua-dua mata, tetapi biasanya ia tidak terbentuk pada masa yang sama.
Jenis-jenis
Terdapat 5 jenis katarak yang utama. Ia diklasifikasikan berdasarkan tempat dan cara ia berkembang di mata anda.
- Katarak berkaitan usia: Apabila usia anda meningkat, katarak boleh berkembang kerana perubahan semula jadi pada kanta mata anda.
- Katarak trauma: Terbentuk selepas kecederaan pada mata, tetapi ia boleh mengambil masa beberapa tahun untuk berlaku.
- Katarak radiasi: Terbentuk selepas seseorang menjalani rawatan radiasi untuk kanser atau akibat sinaran UV.
- Katarak kongenital: Wujud semasa lahir atau terbentuk semasa tahun pertama bayi.
- Katarak sekunder (posterior capsule opacification): Selepas pembedahan, sesetengah orang mungkin mengalami keadaan yang dipanggil katarak sekunder yang menjadikan penglihatan mereka kabur semula. Keadaan ini juga dipanggil posterior capsule opacification.
Simptom-simptom Katarak
Simptom-simptom yang biasa dialami oleh pesakit adalah:
- Kabur penglihatan tanpa rasa sakit
- Penglihatan berganda pada sebelah mata
- Rabun ayam (rabun malam)
- Silau (lampu kereta, cahaya lampu atau cahaya matahari)
- Warna kelihatan pudar
- Kerap menukar preskripsi cermin mata.
Punca Katarak
Kebanyakan katarak disebabkan oleh perubahan normal pada mata anda apabila anda semakin tua. Protein dan serat dalam kanta mula rosak, menyebabkan penglihatan menjadi kabur atau keruh.
Terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan penyakit ini. Antaranya adalah:
- Merokok
- Sinaran UV
- Penghasilan oksidan yang berlebihan
- Penyakit tertentu seperti diabetes
- Trauma
- Terapi radiasi
- Penggunaan ubat atau steroid pada jangka masa yang lama
Terdapat juga beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit ini. Antaranya adalah:
- Berumur
- Merokok
- Peminum alkohol tegar
- Obesiti
- Menghidap tekanan darah tinggi
- Menghidap diabetes
- Keturunan
- Terdedah kepada cahaya matahari yang banyak
- Pernah mengalami kecederaan mata
- Terdedah kepada radiasi daripada sinar-X dan rawatan kanser
Rawatan Katarak
Sekiranya sedikit sahaja penglihatan terjejas, pembedahan tidak perlu dilakukan. Menukar preskripsi cermin mata dapat membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu.
Pembedahan disyorkan apabila katarak menghalang anda daripada melakukan aktiviti harian anda, seperti membaca atau memandu
Semasa pembedahan, kanta mata yang berselaput dikeluarkan dari mata. Dalam kebanyakan kes, kanta yang asli ini akan digantikan dengan kanta implan intraokular (IOL) yang kekal.
Komplikasi
Sekiranya katarak yang sudah matang tidak dibedah dengan segera, ia boleh mengakibatkan komplikasi-komplikasi seperti:
- Glaukoma
- Radang mata
- Kebutaan kekal
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa strategi berikut boleh membantu mengurangkan risiko untuk berlakunya katarak:
- Melakukan pemeriksaan mata yang kerap
- Berhenti merokok
- Lindungi mata daripada sinaran UVB dengan memaikai cermin mata
- Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya antioksidan
- Kekalkan berat badan yang sihat
- Pastikan diabetes atau penyakit kronik yang lain terkawal