Floaters mata atau eye floaters membuatkan anda nampak seperti bintik-bintik kecil yang hanyut pada penglihatan anda. Ia mungkin lebih menonjol apabila anda melihat sesuatu yang terang, seperti kertas putih atau langit biru.
Floaters mata ini mungkin menjengkelkan anda, tetapi ia tidak sepatutnya mengganggu penglihatan anda. Floaters ini juga akan meluncur pergi apabila anda cuba melihatnya secara langsung.
Apa itu Floaters Mata?
Floaters mata ialah bahagian pepejal bahan seperti gel dalam bahagian tengah mata anda yang dipanggil gelemaca atau vitreous humor.

Apabila umur anda meningkat, gelemaca mula mengecut dalam mata anda, menghasilkan zarah-zarah kecil ini. Floaters perlahan-lahan hanyut melalui gelemaca.
Semasa ia bergerak, ia melintas di hadapan makula anda (pusat retina), yang membolehkan anda melihatnya.
Floaters adalah perkara biasa dan bagi kebanyakan orang,ia adalah sebahagian daripada proses penuaan semula jadi.
Dalam kebanyakan kes, anda tidak perlu merawatnya. Ia boleh menjengkelkan pada mulanya, tetapi lama-kelamaan anda tidak akan perasan bahawa ia berada di situ lagi.
Kadang-kadang ini anda mungkin menanggap bahawa ia sudah hilang sepenuhnya tetapi sebenarnya tidak. Floaters boleh menjadi kurang jelas, tetapi ia kekal dan kekal di dalam mata.
Bagaimana Floaters Mata Kelihatan?
Terdapat banyak cara untuk menggambarkan floaters mata. Sekiranya anda mempunyai floaters, anda mungkin melihat:
- Bintik-bintik
- Bentuk seperti labah-labah
- Bentuk seperti cacing kerawit
- Bentuk seperti selembar benang
- Bentuk bayangan kecil
- Bintik hitam atau sangat gelap
Punca yang Menyebabkan Floaters Mata
Floaters mata mungkin disebabkan oleh perubahan gelemaca yang berkaitan dengan penuaan atau daripada penyakit atau keadaan lain:
1. Perubahan mata berkaitan usia
Gelemaca ialah bahan seperti jeli yang dibuat terutamanya daripada air, kolagen dan hyaluronan (sejenis karbohidrat). Gelemaca mengisi ruang dalam mata antara kanta dan retina dan membantu mata mengekalkan bentuk bulatnya.
Apabila anda meningkat usia, gelemaca berubah. Lama-kelamaan, ia mencair dan mengecut menyebabkan ia terumpil dari permukaan dalam bola mata.
Apabila gelemaca berubah, gentian kolagen dalam gelemaca membentuk gumpulan dan untaian. Potongan yang bertaburan ini menghalang sebahagian daripada cahaya yang melalui mata. Ini memberikan bayang-bayang kecil pada retina anda yang dilihat sebagai floaters.
2. Keradangan pada belakang mata
Uveitis adalah keradangan pada lapisan tengah tisu di dinding mata (uvea). Uveitis posterior menjejaskan bahagian belakang mata, yang merangkumi retina dan lapisan mata yang dipanggil koroid. Keradangan menyebabkan floaters dalam gelemaca.
3. Perdarahan dalam mata
Sel-sel darah boleh kelihatan seperti floaters. Perdarahan ke dalam gelemaca boleh disebabkan oleh banyak punca seperti koyakan retina,diabetes dan tekanan darah tinggi.
4. Retina koyak
Koyakan retina boleh berlaku apabila gelemaca yang mengecut menarik retina dengan daya yang cukup untuk mengoyakkannya.
5. Pembedahan mata atau ubat mata
Ubat-ubatan tertentu yang disuntik ke dalam gelemaca boleh menyebabkan gelembung udara terbentuk. Gelembung ini dilihat sebagai bayang-bayang sehingga mata anda menyerapnya.
Gelembung minyak silikon yang ditambah semasa pembedahan tertentu pada gelemaca dan retina juga boleh dilihat sebagai floaters.
Siapakah Berisiko untuk Mengalami Floaters Mata?
Hampir semua orang boleh mengalami floaters apabila mereka semakin tua, tetapi sesetengah orang berisiko lebih tinggi.
Anda berisiko lebih tinggi jika anda:
- Rabun jauh
- Menghidap diabetes
- Pernah menjalani pembedahan merawat katarak
Bagaimana Floaters Dirawat?
Kebanyakan floaters mata tidak memerlukan rawatan. Jika ia mengganggu anda, cuba keluarkan mereka dari bidang penglihatan anda.
Gerakkan mata anda, ini mengalihkan bendalir ke sekeliling. Lihat ke atas dan ke bawah.
Walau bagaimanapun, sebarang keadaan perubatan yang menjadi punca floaters, seperti perdarahan akibat diabetes atau keradangan, harus dirawat.
Jika anda mempunyai terlalu banyak floaters sehingga menghalang penglihatan anda, doktor mata mungkin mencadangkan pembedahan yang dipanggil vitrectomy.
Pembedahan ini akan mengeluarkan gelemaca dan menggantikannya dengan larutan garam.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda hanya mempunyai beberapa floaters mata yang tidak berubah dari semasa ke semasa, jangan risau.
Namun, sila berjumpa doktor dengan segera sekiranya:
- Peningkatan jumlah floaters dengan tiba-tiba
- Kehilangan penglihatan sebelah sisi
- Kilatan cahaya
- Wujudnya floaters selepas pembedahan atau kecederaan mata
- Sakit mata
- Perubahan yang datang secara tiba-tiba dan semakin teruk
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Eye floaters. MayoClinic
- Rick Ansorge. (2021). Eye Floaters: Causes, Symptoms, and Treatment. WebMD
- Cleveland Clinic medical. (2020). Eye Floaters & Flashes. Cleveland Clinic