Glaukoma ialah kumpulan penyakit mata yang boleh menyebabkan hilang penglihatan atau buta akibat daripada saraf mata (saraf optik) yang rosak. Kerosakan ini biasanya disebabkan tekanan yang tinggi dalam mata.
Glaukoma adalah antara penyebab utama kepada buta bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Namun, penyakit ini boleh juga terjadi kepada mereka yang berusia lebih muda atau kanak-kanak.
Secara umumnya, terdapat 4 kategori utama penyakit glaukoma bagi orang dewasa iaitu:
- Glaukoma sudut terbuka primer
- Glaukoma sudut tertutup primer
- Glaukoma sudut terbuka sekunder
- Glaukoma sudut tertutup sekunder
Glaukoma sekunder ini biasanya berkaitan dengan kecederaan mata atau penyakit mata yang berlaku sebelum terjadinya glaukoma ini.
Simptom-simptom
Simptom-simptom penyakit ini bermula sangat perlahan sehinggakan pesakit tidak menyedari sebarang perubahan terhadap penglihatan mereka.
Simptom-simptom mula kelihatan atau dirasai apabila penyakit ini berada di peringkat yang sudah teruk. Simptom-simptom juga berbeza-beza mengikut jenis glaukoma.
Glaukoma sudut terbuka
Glaukoma jenis ini biasanya tidak mempunyai simptom sehinggalah saraf optik telah rosak kecuali ia dikesan lebih awal semasa pemeriksaan mata.
Antara simptom-simptom yang boleh diperhatikan adalah:
- Titik buta bertompok pada bahagian sisi (pinggir mata terutamanya berdekatan hidung) atau tengah mata
- Tidak dapat melihat pada bahagian sisi (peringkat teruk)
Glaukoma sudut tertutup akut
Glaukoma sudut tertutup akut boleh menyebabkan simptom-simptom yang tiba-tiba dan mengakibatkan kemerosotan penglihatan yang cepat.
Antara simptom-simptomnya adalah:
- Sakit mata yang amat sangat
- Loya dan muntah-muntah
- Mata merah
- Penglihatan kabur
- Sakit kepala
- Kornea mata bengkak
Punca
Glaukoma adalah hasil daripada kerosakan saraf optik. Kerosakan saraf ini diakibatkan oleh tekanan yang terbina dalam mata.
Peningkatan tekanan ini disebabkan oleh pengumpulan bendalir yang mengalir ke seluruh bahagian dalam mata. Bendalir ini selalunya akan mengalir melalui ruang yang dipanggil kebuk anterior dan keluar di bahagian pertemuan antara iris (mata hitam) dan kornea.
Sekiranya bendalir ini berlebihan atau sistem pengaliran ini tidak berfungsi dengan baik, bendalir ini tidak dapat keluar pada kadar normal dan meningkatkan tekanan dalam mata.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap glaukoma. Antaranya adalah:
- Bangsa
- Umur (peningkatan umur)
- Sejarah keluarga
- Masalah kesihatan yang lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kecederaan mata dan lain-lain lagi
Rawatan
Kerosakan akibat glaukoma tidak dapat dipulihkan. Tetapi rawatan boleh memperlahankan atau mencegah kehilangan penglihatan.
Beberapa pilihan rawatan adalah seperti berikut:
1. Ubat titis mata
Ubat titis mata yang dipreskripsi boleh membantu mengurangkan tekanan dalam mata dengan cara membantu bendalir keluar daripada mata atau mengurangkan penghasilan bendalir oleh mata.
Ubat titis mata yang membantu bendalir keluar daripada mata. Antaranya adalah:
- Prostaglandin (seperti Xalatan, Travatan Z, Zioptan)
- Rho kinase inhibitor (seperti Rhopressa)
- Nitric oxides (seperti Vyzulta)
- Miotic atau cholinergic agents (seperti Isopto Carpine)
Ubat titis mata yang mengurangkan jumlah bendalir yang dihasilkan oleh mata. Contohnya:
- Alpha-adrenergic agonists (seperti Iopidine dan Alphagan P)
- Beta blockers (seperti Betoptic dan Betimol)
- Carbonic anhydrase inhibitors (seperti Trusopt dan Azopt)
Biasanya kebanyakan orang tidak mengalami sebarang masalah dengan ubat-ubatan ini. Tetapi, sesetengah orang mungkin mengalami kesan sampingan seperti:
- Penglihatan kabur
- Mata menjadi gatal-gatal dan merah
- Sakit kepala
- Mulut menjadi kering
- Perubahan pada warna mata atau kulit sekeliling mata
- Perubahan terhadap tenaga, denyutan jantung atau pernafasan
2. Rawatan laser
Rawatan laser yang dipanggil “trabeculoplasty” digunakan untuk merawat glaukoma sudut terbuka. Terdapat beberapa rawatan laser yang lain yang boleh merawat jenis-jenis glaukoma yang lain.
Rawatan laser ini akan menggunakan laser dalam membantu mengeluarkan bendalir dalam mata.
3. Pembedahan
Pembedahan atau rawatan laser tidak dapat menyembuhkan glaukoma tetapi membantu melindungi penglihatan atau mengelakkannya daripada bertambah teruk.
Terdapat beberapa jenis pembedahan untuk glaukoma yang membantu merendahkan tekanan dalam mata. Antaranya adalah:
- Trabeculectomy : Kaedah pembedahan ini selalunya digunakan untuk merawat glaukoma sudut terbuka. Pakar bedah akan membuatkan bukaan kecil di atas mata dibawah kelopak mata bagi membolehkan lebihan bendalir mengalir keluar.
- Pembedahan implan glaukoma: Kaedah pembedahan ini digunakan untuk merawat beberapa jenis glaukoma seperti glaukoma kongenital, glaukoma neovaskular dan glaukoma akibat kecederaan.Pakar bedah akan menanam tiub halus pada mata putih untuk mengalirkan bendalir keluar daripada mata seterusnya menurunkan tekanan mata.
- Minimally invasive glaucoma surgery (MIGS) : MIGS ini merupakan kaedah baru yang sesuai bagi penghidap glaukoma ringan. Ia lebih selamat dan cepat sembuh.
Langkah Pencegahan
Langkah-langkah pencegahan ini boleh membantu anda mengenalpasti glaukoma pada peringkat awal atau mencegahnya daripada menjadi lebih teruk.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil adalah:
- Dapatkan pemeriksaan mata secara rutin
- Ketahui sejarah keluarga yang melibatkan penyakit mata
- Pakai pelindung mata semasa melakukan kerja-kerja berbahaya
- Bersenam secara bersederhana
- Menggunakan ubat titis mata yang dipreskripsi mengikut ketetapan yang ditentukan oleh ahli profesional kesihatan