Tinitus ialah keadaan dimana bunyi berdengung atau berdesing di dalam telinga tanpa ada sumber bunyi dari luar.
Mereka yang mengalami tinitus akan mendengar bunyi berdesing, berdesit, menderam atau berdengung di dalam telinga.
Bunyi ini dihasilkan oleh badan dan bukannya bunyi daripada sumber luar. Tinitus boleh bersifat sementara dan juga boleh menjadi kekal sekiranya gangguan ini berapa di tahap yang kritikal.
Semua orang berisiko untuk menghadapi gangguan ini tidak mengira peringkat umur. Namun kebiasaannya ia lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berumur.
Tinitus ini juga boleh berlaku bersama-sama dengan kemurungan, kebimbangan dan stres. Selain itu, gangguan ini juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur dan memberi tumpuan.
Secara umumnya, tinitus boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu objektif dan subjektif. Tinitus objektif adalah bunyi yang boleh didengari oleh pemeriksa.
Manakala tinitus subjektif pula adalah bunyi yang tidak boleh didengari oleh pemeriksa dan tiada alat yang boleh mengukur atau mendengar bunyi tersebut.
Punca Tinitus
Tinitus sebenarnya tidak mewakili penyakit, sebalik ia merupakan salah satu simptom kepada pelbagai penyakit atau punca sebenar.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan tinitus. Antaranya adalah:
- Kehilangan pendengaran berkaitan usia: Kehilangan pendengaran juga boleh menyebabkan tinitus. Kebiasaanya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
- Terdedah kepada bunyi bising: Terdedah kepada bunyi bising seperti gergaji rantai, senjata api, peralatan berat dan alat pemain muzik yang dipasang terlalu kuat juga boleh menyebabkan tinitus. Konsert dengan sistem bunyi yang kuat juga boleh menyebabkan tinitus, walaupun kebiasaannya akan hilang dengan sendirinya.
- Pertumbuhan tulang telinga yang tidak normal: Pengerasan tulang telinga yang tidak normal juga boleh menyebabkan tinitus.
- Tahi telinga yang tersumbat: Tahi telinga pada asasnya melindungi saluran telinga dengan memerangkap habuk dan melambatkan tumbesaran bakteria. Tahi telinga yang terlalu banyak terkumpul dan gagal disingkirkan secara semulajadi akan menyebabkan kehilangan pendengaran dan radang kepada gegendang telinga. Seterusnya menyebabkan tinitus.
Terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan masalah telinga berdengung ini, namun jarang-jarang berlaku. Contohnya seperti:
- Kecederaan dikepala dan tengkuk
- Penyakit Meniere
- Neuroma akustik
- Disfungsi tiub Eustachia
- Kekejangan otot di dalam telinga sebelah dalam
Dalam kes-kes terpencil, gangguan salur darah juga turut dikaitkan dengan tinitus. Punca-puncanya termasuklah:
- Aterosklerosis (penyakit pada arteri)
- Tumor pada kepala dan tengkuk
- Tekanan darah tinggi
- Kecacatan pada kapilari
- Pengaliran darah yang bergolak
Ubat-ubatan juga boleh menjadi punca kepada gangguan ini. Pengambilan ubat-ubatan tertentu pada dos yang tinggi akan memburukkan lagi keadaan. Ubat-ubatan yang diketahui menjadi punca dan memburukkan lagi tinitus termasuklah:
- Aspirin (dos tinggi)
- Antibiotik (polymyxin B, erythromycin, vancomycin dan neomycin)
- Ubat kanser (methotrexate dan cisplatin)
- Ubat kemurungan
- Ubat kuinina (Ubat antimalaria)
- Ubat diuretik
Rawatan Tinitus
Selepas penilaian dan diagnosis, doktor akan menyarankan rawatan-rawatan yang sesuai untuk merawat masalah telinga berdengung ini.
Panduan amalan klinikal yang dikeluarkan oleh American Academy of Otolaryngology terhadap tinitus adalah seperti berikut:
1. Pengurangan tekanan
Rawatan pengurangan tekanan (stres) seperti biomaklum balas, pengukuran pernafasan dan lain-lain mungkin diberikan buat pesakit.
Tujuan rawatan ini adalah untuk mengurangkan tekanan (stres) dan keresahan (anxiety) yang boleh menyebabkan telinga berdengung ini bertambah parah.
2. Terapi kognitif
Terapi ini akan memberi pendedahan dan pendidikan kepada pesakit mengenai tinitus. Lebih banyak pesakit faham mengenai gangguan ini. Apabila pesakit benar-benar memahami berkenaan tinitus ini, maka simptom-simptomnya boleh dikurangkan.
3. Penopengan
Kaedah penopengan (masking) adalah untuk mengurangkan kepekaan telinga daripada bunyi tinitus kepada bunyi yang lebih menenangkan.
Contohnya apabila telinga mendengar bunyi yang sama daripada telefon atau peranti, ia boleh mengurangkan simptom.
Terdapat beberapa bentuk penopengan iaitu:
- Pengenalan kepada bunyi yang sama
- Pengenalan kepada bunyi yang diubah
- Muzik dengan bunyi tinitus yang disingkirkan
- Hingar putih atau bunyi yang menyenangkan
4. Perbaikan tidur
Tinitus boleh memberi kesan terhadap tidur yang normal. Terapi harus mengarah kepada tidur yang lebih baik.
5. Ubat-ubatan
Panduan rasmi menekankan agar ubat-ubatan tidak digunakan untuk merawat tinitus. Meskipun begitu, bagi sesetengah kes, ubat didapati boleh melindungi daripada telinga berdengung.
Antara ubat-ubat yang boleh mengurangkan tinitus ini adalah:
- Ubat anti-kemurungan trisiklik seperti amitriptyline dan nortriptyline
- Ubat Alprazolam (Xanax)
- Gabungan magnesium, asid alfa-lipoik dan N-acetyl cysteine.
- Diazepam
- Flurazepam
Namun, ubat-ubat ini boleh mendatangkan kesan sampingan seperti loya, keletihan, mulut kering, kabur penglihatan dan sembelit.
6. Alat bantuan pendengaran
Rawatan menggunakan alat bantu juga mungkin berkesan untuk mengatasi gangguan ini sekiranya ia melibatkan kehilangan pendengaran. Antaranya ialah:
- Alat bantuan pendengaran: penguat atau pembesar bunyi boleh membantu mereka yang sukar mendengar bunyi normal akibat bunyi berdengung, berdesing atau bersiul.
- Implan koklea: alat ini boleh membantu otak anda melintasi bahagian telinga yang rosak bagi membolehkan anda mendengar dengan baik.
7. Urutan dan regangan
Urutan atau regangan di leher atau otot dirahang didapati boleh mengurangkan masalah telinga berdengung atau berdesing ini.
Cara Mencegah Telinga Berdengung
Lindungi telinga anda daripada bunyi yang kuat dapat mencegah daripada berlakunya tinitus atau telinga berdengung ini.
- Jauhi kawasan pembinaan atau kawasan peralatan berat yang mempunyai bunyi yang bising.
- Memakai pelindung telinga sekiranya memasuki kawasan yang mempunyai bunyi bising melebihi 85 decibel.
- Memakai pelindung telinga sekiranya memasuki bilik yang mempunyai bunyi bising yang tinggi seperti bilik enjin.
- Hindari ubat-ubatan yang boleh menyebabkan tinitus.
- Memakai pelindung telinga sekiranya menghadiri konsert-konsert yang mempunyai bunyi yang amat kuat.
- Kurangkan jam atau kekerapan penggunaan fon telinga (earphone) atau fon kepala (headphone) pada kelantangan yang tinggi.
Rumusan
Tinitus atau telinga berdengugn bukanlah penyakit. Ia adalah simptom yang memberitahu kita bahawa sistem pendengaran kita mempunyai masalah.
Sekiranya masalah ini berulang-ulang dan berlaku pada kadar masa yang lama, sila dapatkan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Grossan M, Peterson DC. Tinnitus. [Updated 2021 Jun 3]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Han, B. I. et al. (2009). Tinnitus: characteristics, causes, mechanisms, and treatments. Journal of clinical neurology.
- Beebe Palumbo, D. et al. (2015). The Management and Outcomes of Pharmacological Treatments for Tinnitus. Current neuropharmacology.