Kekurangan fosforus pada asasnya adalah jarang-jarang berlaku dan bukannya satu kecemasan. Meskipun begitu, jika kekurangan ini berlaku secara berterusan dan lama, ia boleh menyebabkan komplikasi.
Fosforus ialah mineral yang diperolehi daripada makanan yang mempunyai pelbagai fungsi. Kira-kira 85% kandungan fosforus dalam badan manusia terletak dalam tulang dan gigi.
Fosforus memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan buah pinggang, tulang, salur darah dan sel-sel dalam badan.

Secara khususnya, fosforus terlibat dalam:
- Menguatkan tulang dan gigi.
- Menghasilkan asid ribonukleik (RNA) dan asid deoksiribonukleik (DNA).
- Mengurangkan kesakitan otot selepas senaman.
- Membantu pengecutan otot.
- Mengekalkan paras pH dalam darah.
- Mengawal denyutan jantung,
- Menapis dan menyingkirkan sisa buangan dalam buah pinggang.
- Membantu pertumbuhan, menyelenggara dan membaiki sel-sel dan tisu-tisu badan.
Artikel ini akan membincangkan mengenai tanda-tanda kekurangan fosforus, punca dan rawatan atau cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan fosforus ini.
Tanda-tanda Kekurangan Fosforus
Kekurangan fosforus akan menyebabkan beberapa tanda atau simptom seperti berikut:
- Tulang yang rapuh
- Sakit tulang
- Kekakuan sendi
- Kelesuan
- Rasa lemah, kekebasan atau sesemut di anggota badan
- Masalah pernafasan
- Ketidakseimbangan elektrolit
- Keresahan dan kekeliruan
- Hilang selera makan dan berat badan menurun
- Terbantut dan pertumbuhan tulang serta gigi yang buruk bagi kanak-kanak
Punca Kekurangan Fosforus
Kekurangan fosforus atau turut dikenali dengan istilah hipofosfatemia berlaku boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti:
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Ketagihan alkohol
- Penyakit buah pinggang
- Kecelaruan makan
- Penyakit Crohn
- Penyakit seliak
- Sindrom malserapan
- Muntah-muntah atau cirit-birit
- Kekurangan vitamin D
- Strok haba
- Kecelaruan sistem saraf pusat
Terdapat juga sesetengah ubat-ubatan yang boleh mengurangkan penyerapan dan menyebaban pengurangan paras fosforus dalam badan.
Antara ubat-ubatan yang boleh merendahkan paras fosforus dalam badan adalah:
- Ubat antisawan
- Ubat darah tinggi
- Kortikosteroid
- Ubat pencair darah
- Insulin
- Ibuprofen
Komplikasi Jika Kekurangan Fosforus Berpanjangan
Sekiranya paras mineral fosforus rendah pada satu jangka masa yang panjang tanpa sebarang rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius.
Sekiranya kekurangan fosforus ini pada peringkat yang amat teruk, ia boleh mengancam nyawa.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Riket: Penyakit ini adalah penyakit kecacatan tulang yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang membesar. Penyakit ini urut berkaitan dengan kekurangan vitamin D yang menyebabkan badan tidak mampu menyerap mineral kalsium dan fosforus.
- Osteomalasia: Penyakit ini lazim berlaku kepada orang dewasa. Ia melibatkan tulang menjadi lembut akibat daripada kekurangan vitamin D yang membawa kepada masalah penyerapana nutrien lain seperti fosforus dan kalsium.
Rawatan
Biasanya, kekurangan fosforus tidak memerlukan makanan tambahan atau suplemen untuk menampung kekurangan ini.
Makanan harian lazimnya sudah mencukupi untuk membekalkan keperluan harian mineral fosforus ini.
Sekiranya anda mengesyaki bahawa anda mengalami kekurangan fosforus, dapatkan rawatan daripada doktor. Anda mungkin mengalami masalah lain yang menyebabkan anda mengalami kekurangan ini.
Pemakanan atau diet yang sihat sebenarnya sudah mencukupi untuk membekalkan keperluan mineral fosforus harian yang diperlukan oleh badan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia melalui recommended nutrien intake (RNI), individu di negara ini memerlukan fosforus seperti berikut:
Umur | Jumlah (mg/hari) |
---|---|
Bayi | |
0-6 bulan | 100 |
7-12 bulan | 275 |
Kanak-kanak | |
1-3 tahun | 460 |
4-8 tahun | 500 |
Remaja | |
9-13 tahun | 1250 |
14-18 tahun | 1250 |
Dewasa | |
19-69 tahun | 700 |
> 70 tahun | 700 |
Makanan yang Tinggi dengan Fosforus
Anda juga boleh meningkatkan paras fosforus dalam badan melalui pemakanan yang tinggi dengan kandungan fosforus.
Walau bagamanapun, tidak semua makanan yang tinggi dengan fosforus adalah sihat. Makanan proses juga tinggi dengan kandungan fosforus.
Antara makanan-makanan yang tinggi dengan kandungan fosforus adalah:
- Susu skim
- Keju cheddar
- Udang kering
- Kuning telur ayam
- Kuning telur itik
- Ikan kembung
- Fucok
- Kacang gajus
- Kacang walnut
- Tauhu goreng
- Ayam goreng
- Satay daging
- Papadam
- Kari daging
- Satay ayam
- Koko atau minuman coklat
Rumusan
Kekurangan fosforus adalah sangat jarang berlaku terutamanya bagi mereka yang mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi.
Kekurangan fosforus ini boleh juga berpunca daripada masalah kesihatan yang lain seperti diabetes, ketagihan alkohol, penyakit buah pinggang dan lain-lain.
Sekiranya anda mengesyaki anda mengalami kekurangan fosforus, sila dapatkan rawatan daripada doktor bagi mengenalpasti punca yang sebenar yang menyebabkan kekurangan ini berlaku.
Rujukan
- Radhakrishnan, R. (2021). What Are the Signs of Phosphorus Deficiency? MedicineNet.
- DVM, S.D.F. and Moreland, K.J. (1989). Hypophosphatemia. Journal of Veterinary Internal Medicine.
- National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN) Ministry of Health Malaysia. (2017). Recommended Nutrient Intake for Malaysia.