Fosforus ialah nutrien yang penting untuk fungsi badan manusia. Terdapat banyak kebaikan atau khasiat fosforus untuk kesihatan badan. Tanpa mineral ini, badan mungkin tidak dapat berfungsi pada tahap yang terbaik.
Fosforus adalah mineral kedua paling banyak dalam badan anda selepas kalsium. Kebanyakan orang mendapat jumlah fosforus yang mereka perlukan melalui diet (pemakanan) harian mereka.
Seperti sesetengah nutrien yang lain, badan manusia juga tidak dapat menghasilkan fosforus sendiri. Maka, anda perlu mendapatkan mineral ini melalui makanan seperti daging, ikan berlemak atau bijian.
Bagi sesetengah orang, mereka mungkin perlu mendapatkan fosforus dalam bentuk suplemen (makanan tambahan).
Kekurangan fosforus mungkin kurang berlaku, sebaliknya terlalu banyak fosforus lebih lazim berlaku.
Penyakit buah pinggang atau makan fosforus terlalu banyak dan kurang memakan kalsium adalah antara faktor yang menyumbang kepada fosforus yang berlebihan. [1]
Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan atau ubat tertentu boleh menyebabkan tahap fosforus dalam badan anda turun terlalu rendah.
Fosforus wujud secara semula jadi dalam banyak makanan. Anda boleh mendapatkan keperluan fosforus harian dengan mengambil pelbagai jenis makanan seperti:
- Daging lembu atau kambing
- Ayam atau itik
- Ikan
- Telur
- Yogurt
- Susu
- Keju
- Beras perang
- Roti
- Oatmil
- Kacang gajus
- Bijan
- Kacang ginjal
- Kacang pea
- Ubi kentang
- Asparagus
Kebanyakan orang mendapat fosforus yang cukup dalam diet mereka, terutamanya jika mereka makan banyak makanan yang mengandungi protein dan kalsium.
Melihat kepada kepentingannya, berikut adalah kebaikan atau khasiat fosforus untuk kesihatan tubuh badan:
1. Membantu Mengekalkan Kekuatan Gigi dan Tulang
Kira-kira 85% kandungan fosforus dalam badan terletak di dalam gigi dan tulang. Selebihnya, mineral ini beredar bebas dalam aliran darah untuk digunakan dalam fungsi biologi yang lain.
Mineral fosforus boleh membantu mengekalkan kekuatan gigi dan tulang. Fosforus bergandingan dengan kalsium untuk ditukarkan menjadi garam kalsium fosfat yang menguatkan tulang.
Fosforus juga adalah penting untuk permineralan semua komponen struktur gigi seperti enamel, dentin, simentum, dan tulang alveolar.
2. Membantu Pergerakan Otot
Fosforus juga boleh membantu pergerakan otot seperti pengecutan otot serta membantu pemulihan otot selepas bersenam.
Selain itu, fosforus juga turut mengawal selia fungsi-fungsi saraf dan otot.
3. Menghasilkan DNA dan RNA
Deoxyribonucleic acid (DNA) ialah juzuk utama yg membentuk bahan genetik iaitu bahan penentu ciri-ciri kebakaan bagi kebanyakan organisma hidup.
Manakala, ribonucleic acid (RNA) pula ialah sejenis asid nukleik yang terdapat dalam semua sel organisma hidup. Ia memainkan peranan penting dalam sintesis protein dan juga merupakan bahan genetik.
Fosforus adalah salah satu nutrien yang membantu dalam penghasilan DNA dan RNA tersebut.
4. Membantu Penghasilan Tenaga
Kebaikan fosforus yang seterusnya dapat dilihat dalam penghasilan tenaga.
Fosforus terlibat dalam penghasilan adenosine triphosphate (ATP) iaitu sumber tenaga kepada sel-sel badan manusia serta mengaktifkan enzim, mengekalkan keseimbangan pH, dan menyimpan tenaga. [2]
5. Membantu Merawat Jangkitan Saluran Kencing
Jangkitan saluran kencing ialah jangkitan yang menjejaskan mana-mana bahagian dalam sistem kencing.
Jangkitan saluran kencing banyak berlaku kepada kaum wanita terutamanya bagi mereka yang mempunyai paras kalsium dalam darah yang terlalu tinggi (hiperkalsemia).
Hal ini demikian kerana air kencing mengandungi kalsium menggalakkan pertumbuhan bakteria.
Pengambilan fosforus termasuklah suplemen fosforus boleh membantu mengurangkan risiko ini dengan mengikat dengan mineral kalsium di dalam darah dan menyingkirkannya di dalam najis.
Rumusan
Kebanyakan orang mendapat mineral fosforus yang mencukupi daripada diet harian mereka seperti daging, ikan, telur atau produk tenusu.
Walau bagaimanapun, malnutrisi dan masalah perubatan tertentu boleh menyebabkan anda mengalami kekurangan atau terlebih fosforus di dalam badan.
Akibatnya, ia boleh membawa kepada gejala-gejala seperti sakit sendi atau keletihan, dan menyumbang kepada penyakit jantung dan keadaan kesihatan yang lain.
Rujukan
- Goyal R, Jialal I. Hyperphosphatemia. [Updated 2023 Jun 12]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Dunn J, Grider MH. Physiology, Adenosine Triphosphate. [Updated 2023 Feb 13]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI