Diabetes jenis 2 adalah penyakit kronik yang menunjukkan trend yang menaik bagi setiap tahun. Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit ini, namun terdapat beberapa tanda awal yang boleh menjadi petunjuk bahawa anda mungkin menghidap diabetes jenis 2.
Diabetes jenis 2 adalah gangguan dalam cara badan mengawal dan menggunakan gula (glukosa) sebagai bahan api (tenaga). Penyakit diabetes ini mengakibatkan terlalu banyak gula beredar dalam aliran darah.
Dalam artikel ini, kita melihat tanda-tanda dan gejala awal diabetes jenis 2.
Tanda-tanda amaran atau tanda-tanda awal diabetes jenis 2 adalah seperti berikut:
1. Kerap Membuang Air Kecil
Apabila paras gula dalam darah tinggi, buah pinggang akan berkerja lebih masa untuk mengeluarkan lebihan gula tersebut dengan menapisnya daripada darah.
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang perlu membuang air kecil dengan lebih kerap, terutamanya pada waktu malam.
2. Lebih Dahaga daripada Biasa
Kerap membuang air kecil akibat daripada mengeluarkan gula yang berlebihan daripada darah boleh menyebabkan badan kehilangan air yang lebih banyak.
Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi dan membuatkan anda berasa lebih dahaga daripada biasa.
3. Cepat Rasa Lapar
Penghidap diabetes selalunya tidak mendapat tenaga yang mencukupi daripada makanan mereka.
Sistem penghadaman mencernakan makanan menjadi gula ringkas yang dipanggil glukosa, yang digunakan oleh badan sebagai tenaga.
Bagi penghidap diabetes, penyakit ini boleh menghalang glukosa daripada digunakan oleh sel-sel badan.
Akibatnya, penghidap diabetes jenis 2 sering berasa lapar, walaupun mereka baru sahaja makan.
4. Kelesuan
Apabila badan anda tidak boleh menggunakan tenaga daripada makanan yang dimakan, anda boleh berasa lesu dan letih.
Tambahan daripada itu, dehidrasi juga boleh menyebabkan anda kelesuan.
5. Penglihatan Kabur
Gula yang berlebihan dalam darah boleh merosakkan saluran darah kecil di mata, yang boleh menyebabkan penglihatan kabur. Ia boleh berlaku pada satu atau kedua-dua belah mata.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kepada penyakit yang dipanggil retinopati diabetes.
Paras gula darah yang tinggi juga boleh menyebabkan bengkak pada kanta mata. Ini boleh menyebabkan penglihatan kabur tetapi akan bertambah baik apabila paras gula dalam darah berkurangan.
6. Luka Lambat Sembuh
Paras gula yang tinggi dalam darah boleh merosakkan saraf dan saluran darah badan, yang seterusnya boleh menjejaskan peredaran darah.
Akibatnya, sekiranya anda cedera atau mengalami luka. Luka tersebut akan lambat sembuh walaupun luka yang kecil.
Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk sembuh.
7. Sering Mendapat Jangkitan
Luka yang lambat sembuh juga mendedahkan anda kepada pelbagai jangkitan lain.
Selain itu, paras gula darah yang tinggi juga menyebabkan tindak balas sistem imun tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Akibatnya, ia gagal untuk mengawal jangkitan dan penyebaran kuman.
8. Kulit Menjadi Gelap (Ketiak dan Leher)
Tompok-tompok kulit yang lebih gelap terbentuk pada lipatan leher, ketiak atau pangkal paha juga boleh menjadi tanda kepada penyakit diabetes. Tompok ini mungkin terasa lembut dan licin seperti baldu.
Keadaan kulit ini dikenali sebagai acanthosis nigricans.
9. Rasa Semut-semut, Kebas atau Sakit di Tangan atau Kaki
Paras gula darah yang tinggi boleh menjejaskan peredaran darah dan merosakkan saraf.
Bagi penghidap diabetes jenis 2, keadaan ini boleh menyebabkan rasa kebas, semut-semut atau sakit pada tangan atau kaki.
Keadaan ini dikenali sebagai neuropati. Ia boleh menjadi lebih teruk dari masa ke masa dan membawa kepada komplikasi yang lebih serius jika penyakit diabetes ini tidak dirawat.
10. Pengurangan Berat Badan yang Tidak Dirancang
Membuang air kecil yang kerap juga boleh menyebabkan anda kehilangan kalori.
Anda mungkin mengalami pengurangan berat badan walaupun anda makan seperti biasa.
Selain itu, insulin yang tidak mencukupi menghalang badan daripada mendapatkan gula daripada darah ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.
Apabila ini berlaku, badan mula membakar lemak dan otot untuk tenaga, menyebabkan pengurangan berat badan secara keseluruhan.
Rujukan
- WebMD Editorial Contributor. (2021). Early Signs and Symptoms of Type 2 Diabetes. WebMD
- Berbudi, A. et al. (2020). Type 2 Diabetes and its Impact on the Immune System. Current diabetes reviews.
- Galan, N. (2022). What are the early signs of type 2 diabetes? MedicalNewsToday
- Centers for Disease Control and Prevention. Diabetes and Nerve Damage.