Salah satu cara untuk membakar lemak badan adalah meningkatkan kadar metabolisme. Selain suplemen, terdapat makanan dan minuman semula jadi yang boleh membantu anda membakar lemak melalui peningkatan metabolisme.
Berikut adalah 10 makanan atau minuman semula jadi yang boleh membantu membakar lemak:
1. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah sumber protein yang sedap dan berkhasiat.
Ikan berlemak seperti ikan salmon, ikan sardin, ikan mackerel, ikan kembung atau ikan tuna kaya dengan kandungan asid lemak Omega-3 yang boleh mengurangkan keradangan dan risiko penyakit jantung. [1, 2]
Tambahan lagi, asid lemak Omega-3 juga boleh membantu anda membakar lemak.
Satu kajian yang melibatkan 44 orang dewasa yang mengambil suplemen minyak ikan (Omega-3) melaporkan bahawa secara puratanya, peserta kehilangan 0.5 kg lemak dan mengalami penurunan paras hormon kortisol iaitu hormon stres yang berkaitan dengan penyimpanan lemak. [3]
Selain itu, ikan juga adalah sumber protein berkualiti yang boleh meningkatkan rasa kenyang dan meningkatkan kadar metabolisme dengan ketara. [4]
2. Kopi
Kopi adalah minuman yang popular di dunia. Ia adalah sumber utama kepada kafein yang boleh menambah baik mood serta prestasi mental dan fizikal.
Kopi juga boleh menjadi minuman yang membantu anda membakar lemak.
Dalam satu kajian kecil yang melibatkan 9 individu, mereka yang mengambil kafein sejam sebelum bersenam membakar hampir dua kali lebih banyak lemak dan dapat bersenam 17% lebih lama daripada kumpulan yang tidak mengambil kafein. [5]
Terdapat juga ujian klinikal yang menunjukkan bahawa pengambilan kafein boleh meningkatkan kadar metabolisme. [6]
3. Teh Hijau
Teh hijau juga merupakan minuman yang berkhasiat dan boleh membantu anda membakar lemak badan.
Selain kandungan kafein, teh hijau turut mengandungi sejenis antioksidan yang dikenali dengan nama “epigallocatechin gallate” (EGCG).
Antioksidan ini boleh menggalakkan pembakaran lemak badan dan lemak perut. [7, 8]
Satu kajian kecil terhadap 12 orang lelaki dewasa mendapati pembakaran lemak semasa berbasikal meningkat sebanyak 17% dalam kalangan mereka yang mengambil ekstrak teh hijau berbanding mereka yang mengambil plasebo. [9]
4. Telur
Telur juga adalah makanan yang boleh membantu anda membakar lemak atau menurunkan berat badan.
Selain tinggi dengan pelbagai nutrien, telur juga dilaporkan boleh membantu mengurangkan rasa lapar dan menggalakkan rasa kenyang selama beberapa jam bagi individu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan. [10]
Dalam satu kajian selama 8 minggu yang melibatkan 21 lelaki yang makan 1,000 kalori kurang daripada biasa setiap hari, mereka yang makan tiga biji telur untuk sarapan pagi mempunyai pengurangan lemak badan sebanyak 16% lebih banyak, berbanding kumpulan yang makan sarapan bagel. [11]
5. Protein Wei
Protein wei sememangnya popular dalam kalangan atlet bina badan atau mereka yang sering ke gimnasium.
Protein wei boleh membantu menggalakkan pertumbuhan otot apabila digabung dengan senaman dan membantu memelihara otot semasa menurunkan berat badan.
Tambahan itu lagi, protein wei juga didapati berkesan untuk mengurangkan selera makan berbanding sumber protein yang lain.
Hal ini demikian kerana protein wei ini boleh merangsang pelepasan “hormon kenyang.” [12]
6. Greek Yogurt
Greek yogurt penuh lemak juga adalah makanan yang boleh membantu anda membakar lemak badan.
Selain membekalkan nutrien seperti protein, kalsium dan kalium, Greek yogurt juga dipercayai boleh membantu meningkatkan pembakaran lemak dan penurunan berat badan.
Ini disebabkan kandungan asid konjugat lenoleik dalam Greek yogurt yang dilaporkan boleh menggalakkan penurunan berat badan dan pembakaran lemak dalam kalangan orang yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan. [13]
7. Teh Oolong
Teh oolong juga mempunyai banyak khasiat seperti teh hijau.
Kajian semula yang melibatkan beberapa kajian mendapati gabungan katekin dan kafein dalam teh meningkatkan pembakaran kalori secara purata sebanyak 102 kalori setiap hari. [14]
Satu ujian klinikal yang melibatkan 11 orang wanita dewasa mendapati meminum teh oolong boleh meningkatkan kadar metabolisme dan mendorong penurunan berat badan. [15]
8. Cuka Epal
Cuka epal juga dipercayai boleh membantu meningkatkan pembakaran lemak badan dan menurunkan berat badan.
Ia dikatakan boleh mengurangkan selera makan dan menurunkan paras gula darah dan insulin dalam kalangan penghidap diabetes. [16, 17]
Satu kajian yang melibatkan 144 orang lelaki obes melaporkan bahawa pengambilan 2 sudu besar cuka dalam diet harian selama 12 minggu berjaya menurunkan berat sebanyak 1.7 kg dan 0.9% pengurangan lemak badan. [18]
Rumusan
Pemilihan makanan yang betul penting dalam proses untuk membakar lemak dan menurunkan berat badan.
Terdapat makanan dan minuman tertentu yang boleh meningkatkan kadar metabolisme anda secara sederhana di samping memberikan manfaat kesihatan yang lain.
Memasukkan beberapa daripadanya dalam diet harian anda mungkin mempunyai kesan yang akhirnya membawa kepada kehilangan lemak dan kesihatan keseluruhan yang lebih baik.
Rujukan
- Jung, U. J. et al. (2008). n-3 Fatty acids and cardiovascular disease: mechanisms underlying beneficial effects. The American journal of clinical nutrition.
- Ellulu, M. S. et al. (2016). Effect of long chain omega-3 polyunsaturated fatty acids on inflammation and metabolic markers in hypertensive and/or diabetic obese adults: a randomized controlled trial. Food & nutrition research.
- Noreen, E. E. et al. (2010). Effects of supplemental fish oil on resting metabolic rate, body composition, and salivary cortisol in healthy adults. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Halton, T. L., & Hu, F. B. (2004). The effects of high protein diets on thermogenesis, satiety and weight loss: a critical review. Journal of the American College of Nutrition.
- Costill, D. L. et al. (1978). Effects of caffeine ingestion on metabolism and exercise performance. Medicine and science in sports.
- Koot, P., & Deurenberg, P. (1995). Comparison of changes in energy expenditure and body temperatures after caffeine consumption. Annals of nutrition & metabolism.
- Dulloo, A. G. et al. (1999). Efficacy of a green tea extract rich in catechin polyphenols and caffeine in increasing 24-h energy expenditure and fat oxidation in humans. The American journal of clinical nutrition.
- Zhang, Y. et al. (2012). Effects of catechin-enriched green tea beverage on visceral fat loss in adults with a high proportion of visceral fat: A double-blind, placebo-controlled, randomized trial. Journal of Functional Foods.
- Venables, M. C. et al. (2008). Green tea extract ingestion, fat oxidation, and glucose tolerance in healthy humans. The American journal of clinical nutrition.
- Vander Wal, J. S. et al. (2005). Short-term effect of eggs on satiety in overweight and obese subjects. Journal of the American College of Nutrition.
- Vander Wal, J. S. et al. (2008). Egg breakfast enhances weight loss. International journal of obesity.
- Veldhorst, M. A. et al. (2009). Dose-dependent satiating effect of whey relative to casein or soy. Physiology & behavior.
- Blankson, H. et al. (2000). Conjugated linoleic acid reduces body fat mass in overweight and obese humans. The Journal of nutrition.
- Hursel, R. et al. (2011). The effects of catechin rich teas and caffeine on energy expenditure and fat oxidation: a meta-analysis. Obesity reviews.
- Komatsu, T. et al. (2003). Oolong tea increases energy metabolism in Japanese females. The journal of medical investigation.
- Darzi, J. et al. (2014). Influence of the tolerability of vinegar as an oral source of short-chain fatty acids on appetite control and food intake. International journal of obesity.
- Johnston, C. S., & Buller, A. J. (2005). Vinegar and peanut products as complementary foods to reduce postprandial glycemia. Journal of the American Dietetic Association.
- Kondo, T. et al. (2009). Vinegar intake reduces body weight, body fat mass, and serum triglyceride levels in obese Japanese subjects. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.