Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui dua kenyataan media pada 10 Julai 2023 dan 12 Julai 2023 meminta dan menggesa orang ramai untuk tidak membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Produk-produk kosmetik tersebut adalah seperti berikut:
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Airee Beautycare Night Cream | Merkuri |
2. | BL Ledehh Day Cream 1 | Hidrokuinon dan Tretinoin |
3. | Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster | Betamethasone 17-Valerate |
Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Perihal Racun Berjadual
Merkuri: Merkuri dilarang digunakan dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Hidrokuinon dan Tretinoin: Hidrokuinon dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan
boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Betamethasone 17-Valerate: Betamethasone 17-Valerate juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau
penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan
pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.