Ruam bayi boleh dikatakan masalah kesihatan yang biasa atau sering dialami oleh bayi. Kebanyakannya tidak menyebabkan komplikasi atau masalah yang serius. Walau bagaimanapun, ia mungkin membuatkan bayi anda berasa tidak selesa atau kerengsaan.
Terdapat banyak jenis dan punca yang boleh menyebabkan bayi anda mengalami ruam. Boleh jadi ia disebabkan oleh perkara yang jelas seperti bertukar kepada sabun baru atau bersentuhan dengan sesuatu yang baru.
Bagi kes-kes yang tidak jelas puncanya, ibu bapa atau penjaga disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan ruam tersebut.
Berikut adalah beberapa jenis dan punca yang boleh menyebabkan ruam bayi:
1. Ekzema
Ramai penghidap ekzema yang menghidap penyakit ini menunjukkan gejala-gejala seawal tahun pertama kehidupan mereka.
Ekzema menyebabkan kulit menjadi merah, kering dan selalunya menyebabkan rasa gatal-gatal dan kasar apabila disentuh.
Ibu bapa dan penjaga boleh membantu mengurangkan gejala-gejala dengan penjagaan yang betul, seperti mencuci, melembapkan dan mengurangkan pendedahan kepada pencetus.
2. Ruam Lampin
Ruam lampin biasanya berlaku di bahagian punggung dan kelangkang bayi. Ia biasanya kelihatan merah dikawasan terjejas dan menyebabkan ketidakselesaan.
Menjaga kawasan itu bersih dan kering boleh membantu mengelakkan ruam lampin. Krim untuk merawat ruam lampin boleh didapati secara belian kaunter di farmasi-farmasi berdekatan.
3. Keruping Buaian
Keruping buaian adalah ruam yang muncul pada atau sekitar kulit kepala. Ia menghasilkan tompok-tompok kekuningan, berminyak yang kelihatan bersisik.
Keruping buaian bukanlah sesuatu yang serius dan boleh hilang dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan.
Ia jarang menyebabkan sebarang ketidakselesaan atau gejala lain untuk bayi.
4. Impetigo
Impetigo adalah sejenis jangkitan bakteria dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Ia menyebabkan lepuh dan bonjolan gatal.
Impetigo sangat mudah berjangkit atau menular dan memerlukan rawatan. Bayi yang pergi ke pusat asuhan biasanya perlu tinggal di rumah sehingga mereka tidak lagi berjangkit.
Ruam ini akan berhenti berjangkit selepas 24 jam menerima rawatan antibiotik. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh kekal berjangkit sehingga beberapa minggu.
5. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut
Penyakit tangan, kaki dan mulut adalah penyakit yang sering menyebabkan ruam dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Selain ruam, ia juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Demam
- Sakit tekak
- Hilang selera makan
- Kudis pada mulut
6. Jerawat
Bayi juga boleh mengalami jerawat yang mungkin kelihatan seperti ruam. Ibu bapa atau penjaga mungkin mula-mula menyedari ini apabila bayi berumur kira-kira 2 minggu, tetapi ia boleh berlaku pada bila-bila masa sebelum umur 6 minggu.
Ibu bapa dan penjaga tidak boleh merawat jerawat dengan ubat yang dikhaskan untuk kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa.
Jerawat bayi biasanya hilang dalam masa beberapa minggu tanpa intervensi.
7. Tindak Balas Alahan
Tindak balas alahan juga boleh menyebabkan ruam kepada bayi. Ruam atau gatal-gatal bagi tindak balas alahan selalunya berwarna merah dan berbonjol.
Tindak balas ini mungin berlaku akibat alergen seperti makanan, ubat-ubatan, gigitan serangga atau debunga.
Tindak balas alahan yang ringan biasanya boleh pulih tanpa rawatan.
8. Ruam Panas
Bayi dan orang dewasa boleh mengalami ruam panas. Ruam biasanya muncul sebagai tompokan bintik-bintik kecil, timbul, berwarna merah dan gatal yang berlaku akibat terlalu panas.
Bayi mungkin mengalami lepuh kecil pada ruam. Tiada penyakit atau demam yang berkaitan dengan ruam panas.
9. Cacar Air
Cacar air juga boleh menyebabkan ruam yang boleh berkembang menjadi lepuh berisi cecair dan gatal.
Bayi yang tidak menerima vaksin berisiko tinggi untuk mengalami cacar air berbanding bayi yang telah menerima suntikan vaksin.
Cacar air juga turut menyebabkan demam, hilang selera makan dan kepenatan.
10. Fifth Disease
Fifth Disease adalah antara penyakit yang sering menyebabkan ruam dan demam bagi kanak-kanak.Virus parvovirus B19 adalah penyebab kepada penyakit ini.
Ia turut dikenali sebagai eritema infektiosum.
Fifth disease sering muncul sebagai ruam merah di pipi, tetapi ia boleh muncul di bahagian badan yang lain.
Selain ruam, bayi juga boleh mengalami:
- Sakit kepala
- Hidung berair
- Demam
11. Meningitis
Meningitis adalah penyakit serius yang memerlukan rawatan perubatan segera. Selain ruam, tanda dan gejala meningitis yang lain adalah:
- Demam
- Kekejangan leher
- Bergetar yang tidak terkawal
- Sensitif terhadap cahaya
- Tangan dan kaki sejuk
- Kelihatan seperti kekeliruan
Pencegahan
Adalah mustahil untuk mencegah semua jenis ruam. Walau bagaimanapun, sesetengahnya masih boleh dikawal.
Sebagai contoh, ibu bapa dan penjaga boleh mengelakkan bayi daripada terdedah kepada alergen yang boleh mencetuskan tindak balas alahan, ekzema atau ruam yang lain.
Selain itu, penjagaan kebersihan bayi yang konsisten juga boleh mencegah daripada berlakunya ruam lampin.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika tiada punca ruam yang jelas atau jika bayi menunjukkan tanda-tanda penyakit lain seperti demam, sebaiknya anda berjumpa dengan doktor.
Ibu bapa dan penjaga harus mendapatkan rawatan perubatan segera jika bayi menunjukkan tanda-tanda meningitis yang merupakan jangkitan yang teruk dan boleh mengancam nyawa.
Rujukan
- American Academy of Dermatology Association. How To Treat Eczema in Babies.
- American Academy of Dermatology Association. Is That Acne On My Baby’s Face?
- Centers for Disease Control and Prevention. Fifth Disease.
- Centers for Disease Control and Prevention. Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD).
- Centers for Disease Control and Prevention. Chickenpox (Varicella)