Apa itu Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut?
Penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand,foot and mouth disease (HFMD) adalah penyakit jangkitan virus yang sering berlaku kepada kanak-kanak dibawah umur 10 tahun. Jangkitan tersebut selalunya melibatkan tangan, kaki, mulut dan kadang-kadang pada kemaluan dan punggung.
Jangkitan virus ini tidak berasal dari satu kawasan khusus sahaja tetapi berlaku di seluruh dunia. Walaupun kanak-kanak adalah golongan yang paling banyak dijangkiti, tetapi virus ini juga boleh menjangkiti orang dewasa.
Biasanya, penyakit ini bersifat sederhana dan ruam yang berlaku boleh sembuh dalam masa 5 hingga 7 hari.
Tanda-tanda dan Gejala
Penyakit tangan, kaki dan mulut boleh menyebabkan kesemua tanda-tanda atau gejala berikut atau sebahagian daripadanya.
Antaranya adalah:
- Demam
- Sakit tekak
- Berasa tidak sihat
- Lepuh berwarna merah dan menyakitkan pada lidah, gusi atau bahagian dalam pipi
- Ruam merah tanpa rasa gatal tetapi kadang-kadang dengan lepuh pada tapak tangan, tapak kaki atau punggung
- Hilang selera makan
- Kerengsaan pada bayi dan kanak-kanak kecil
Tempoh inkubasi (masa awal jangkitan sehingga wujud tanda dan gejala) adalah antara 3 hingga 6 hari. Biasanya, ia bermula dengan demam, diikuti dengan sakit tekak, hilang selera makan atau berasa tidak sihat.
Satu atau dua hari selepas demam bermula, lesi yang menyakitkan mungkin timbul di bahagian depan mulut atau tekak. Ruam pada tangan dan kaki dan mungkin pada punggung boleh berlaku dalam masa satu atau dua hari.
Punca atau Penyebab
Penyakit tangan, kaki dan mulut ini berpunca daripada jangkitan virus yang dikenali sebagai Coxsackie. Virus Coxsackie ini tergolong dalam kumpulan virus yang dipanggil “nonpolio enteroviruses“.
Di Malaysia, wabak HFMD yang berlaku pada tahun 2022 berpunca daripada 3 jenis virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti. Virus tersebut adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6), dan Coxsackie A16 (CA16).
Pemakanan dan minuman adalah sumber utama jangkitan virus Coxsackie dan HFMD. Penyakit ini merebak melalui kontak rapat dengan orang yang dijangkiti seperti melalui:
- Air liur
- Cecair daripada lepuh
- Hingus atau kahak
- Najis
- Titisan pernafasan daripada bersin atau batuk
Rawatan
Tiada rawatan khusus untuk penyakit tangan, kaki dan mulut. Tanda-tanda dan gejala penyakit ini biasanya hilang dalam masa 7 hingga 10 hari.
Anestetik oral boleh membantu melegakan kesakitan lesi mulut. Ubat belian kaunter selain aspirin, seperti paracetamol (Panadol, Uphamol) atau ibuprofen boleh membantu melegakan ketidakselesaan umum.
Langkah-langkah Pencegahan
Ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan bagi mencegah jangkitan penyakit ini terhadap anak mereka. Beberapa langkah pencegahan boleh diambil bagi mengelakkan jangkitan.
Antaranya adalah:
- Membudayakan amalan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, menukar lampin atau merawat lepuh.
- Tidak membawa anak-anak ke tempat-tempat awam seperti sekolah, taska atau tadika jika mempunyai tanda-tanda atau gejala HFMD.
- Menjaga kebersihan diri dan anak-anak.
- Pengasuh dan guru hendaklah melakukan saringan di pintu masuk premis bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.
- Ibu bapa, pengusaha, pengasuh, dan guru perlu memastikan premis termasuk permukaan yang kerap disentuh dan lantai rumah termasuk tandas serta peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak dibersihkan dan dibasmikuman setiap hari dengan menggunakan larutan campuran klorin.
- Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup
Komplikasi
Penyakit tangan, kaki dan mulut tidak seharusnya diambil ringan kerana ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Antara komplikasi yang boleh berlaku akibat penyakit ini adalah:
- Dehidrasi
- Jangkitan kuman pada otak dan selaputnya
- Masalah penglihatan atau buta
- Keradangan otot jantung
- Kematian
Rujukan
- Guerra AM, Orille E, Waseem M. Hand Foot And Mouth Disease. [Updated 2022 May 10]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2020). Hand-foot-and-mouth disease. MayoClinic
- Ellis,R.R. (2022). Hand, Foot, and Mouth Disease (HFMD). WebMD.
- DG of Health. (2022). Kenyataan Akhbar KPK 21 Jun 2022 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia (ME 24 2022). From the Desk of the Director-General of Health Malaysia