Impetigo atau turut dikenali sebagai kudis api adalah jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus atau Staphylococcus. Bakteria tersebut memasuki bahagian kulit yang rosak disebabkan menggaru, luka atau masalah kulit yang lain.
Impetigo menyumbang kira-kira 10% daripada aduan kulit dalam populasi kanak-kanak. Ia paling kerap berlaku kepada kanak-kanak berumur 2-5 tahun tetapi boleh juga berlaku pada sebarang umur. Bagi orang dewasa pula, golongan lelaki adalah lebih kerap terkena jangkitan ini.
Jangkitan biasanya berlaku dibahagian muka tetapi boleh juga berlaku di mana-mana bahagian lain badan yang mempunyai lelasan, luka, gigitan serangga atau trauma lain.
Tanda-tanda dan Gejala Impetigo
Secara amnya, impetigo atau kudis api adalah jangkitan yang ringan yang boleh berlaku di mana-mana bahagian badan terutamanya bahagian kulit yang terdedah seperti sekitar mulut, hidung, lengan atau kaki.
Tanda-tanda dan gejala bagi impetigo atau kudis api adalah seperti berikut:
- Kudis yang berwarna merah yang mudah pecah dan mengeluarkan cecair atau nanah.
- Cecair yang keluar akan kering dan menghasilkan kulit keras (kuping) yang berwarna coklat kekuningan.
- Gatal-gatal pada tempat berkudis.
Biasanya, ia mengambil masa kira-kira 10 hari untuk kudis terbentuk selepas seseorang itu dijangkiti oleh bakteria Streptococcus.
Keadaan jangkitan yang jarang-jarang berlaku dipanggil impetigo bula menyebabkan lepuh yang lebih besar pada anggota badan bayi dan kanak-kanak kecil.
Ektima pula adalah bentuk impetigo atau kudis api yang serius yang menyebabkan kudis yang menyakitkan berisi cecair atau nanah.
Punca Impetigo
Impetigo atau kudis api berpunca daripada salah satu atau kedua-dua jenis bakteria berikut:
- Kumpulan A Streptococcus
- Staphylococcus aureus
Jangkitan bakteria Staphylococcus aureus adalah lebih lazim berbanding bakteria Kumpulan A Streptococcus.
Bagaimana Ia Berjangkit?
Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan boleh berjangkit melalui beberapa cara iaitu:
- Bersentuhan badan dengan orang yang dijangkiti penyakit ini termasuklah menyentuh kudis atau hingus mereka.
- Berkongsi pakaian, tuala, tempat tidur atau barang mainan dengan orang yang dijangkiti.
Golongan Berisiko Tinggi
Semua orang boleh dijangkiti tetapi terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu dijangkiti dengan kudis ini. Antaranya adalah:
- Usia: Kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun.
- Kecederaan atau jangkitan yang melukakan kulit: Mereka yang dijangkiti kudis buta berisiko tinggi untuk turut dijangkiti impetigo.
- Kontak rapat: Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan orang yang telah dijangkiti berisiko tinggi untuk turut dijangkiti.
- Cuaca: Impetigo adalah lebih biasa berlaku di kawasan yang mempunyai cuaca yang panas dan lembap atau kawasan tropika.
- Kebersihan diri yang kurang baik: Kurang mencuci tangan, mencuci badan dan kebersihan muka boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan.
Rawatan Impetigo (Kudis Api)
Impetigo atau kudis api boleh dirawat dengan menggunakan krim sapuan atau antibiotik. Bawa anak atau pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Bagi krim sapuan, penyapuan pada kudis secara terus 2-3 kali sehari selama 5-10 hari boleh membantu merawat penyakit ini.
Sekiranya, doktor mempreskripsi salap antibiotik mupirocin, ia boleh terus disapukan pada kudis sebanyak 2-3 kali sehari selama 5-10 hari.
Sebelum menggunakan ubat tersebut, rendam kawasan jangkitan di dalam air suam atau sapukan kain basah selama beberapa minit.
Kemudian, tepuk kering dan perlahan-lahan keluarkan sebarang keruping atau kuping supaya antibiotik boleh masuk ke dalam kulit. Letakkan pembalut tidak melekat pada kawasan itu untuk membantu mengelakkan kudis daripada merebak.
Sekiranya penyakit ini tersebar luas dan lebih teruk, ubat antibiotik melalui mulut mungkin diperlukan. Pastikan anak anda atau anda menghabiskan ubat antibiotik tersebut walaupun kudis api tersebut telah sembuh.
Selain itu, anda juga boleh membasuh dengan cermat bahagian kulit yang keras dengan sabun atau larutan antiseptik dan air sebanyak 3-4 kali sehari. Tahan diri daripada menggaru bahagian yang dijangkiti bagi menggelakkan ia merebak ke bahagian lain.
Komplikasi
Sekiranya impetigo ini tidak dirawat, komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Demam.
- Sepsis.
- Selulitis (keradangan tisu bersel atau tisu penghubung yang merebak).
- Osteomielitis (keradangan tulang).
- Penyakit buah pinggang yang serius dipanggil Glomerulonefritis.
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan jangkitan tersebut adalah:
- Cuti atau elakkan menghantar kanak-kanak ke sekolah atau pusat jagaan sehingga sembuh.
- Elakkan berkongsi tuala, pakaian dan cadar.
- Basuh tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air selepas bersentuhan dengan kulit yang dijangkiti.
- Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih.
- Pastikan ubat diambil mengikut preskripsi doktor.
- Gunakan sarung tangan semasa menyapukan ubat dan basuh tangan dengan bersih selepas itu.
- Basuh pakaian individu yang dijangkiti dengan air panas.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Impetigo. MayoClinic https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/impetigo/symptoms-causes/syc-20352352
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Impetigo: All You Need To Know.
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Impetigo. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15134-impetigo
- Nardi NM, Schaefer TJ. Impetigo. [Updated 2021 Aug 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI