Orang awam dan pengguna produk tradisional PS 21 Capsule untuk tidak dan berhenti menggunakan produk ini kerana mengandungi racun berjadual. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan pada 5 Jun menggesa orang ramai agar mengelak daripada membeli dan mengguna produk ini kerana mengandungi racun berjadual.
Produk PS 21 Capsule dikesan mengandungi racun berjadual iaitu simvastatin. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah membatalkan produk ini berikutan pengesanan racun berjadual simvastatin ini di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.
Maklumat Ringkas Produk PS 21 Capsule
Nama Produk (No. Pendaftaran) | Syarikat / Pemegang Pendaftaran | Racun berjadual / Bahan Campurpalsu |
---|---|---|
PS 21 Capsule (MAL 15120007TC) | New Yee Wai Trading | Simvastatin |
Apa itu Simvastatin?
Simvastatin ialah sejenis ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol dan lemak dalam darah. Simvastatin berada dalam kumpulan ubat yang dipanggil “statins“.
Ubat Simvastatin ini mesti diambil melalui preskripsi dan dibawah pengawasan ahli professional kesihatan kerana boleh menyebabkan kesan sampingan.
Kesan Sampingan Simvastatin
Simvastatin boleh menyebabkan kesan sampingan ringan atau serius.
Antara kesan sampingan yang lazim berlaku adalah:
- sakit kepala
- loya
- sakit perut
- sembelit
- sakit atau lemah otot
- sakit sendi
- jangkitan saluran pernafasan
Selain itu, simvastatin boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti:
- sakit atau lemah otot yang teruk
- kekejangan otot
- rabdomiolisis (kerosakan otot)
- kegagalan buah pinggang
- ketoksikan hati
- jaundis
- kekurangan darah yang teruk (anemia)
- alahan yang teruk
- ruam
- terlampau sensitif terhadap cahaya matahari
- cirit-birit
- rasa lemah atau letih
- sakit perut yang teruk
- loya dan muntah-muntah yang teruk
- bengkak yang teruk di kaki, buku lali dan tangan
Saranan kepada Masyarakat
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang kesan sampingan.
Penjual dan pengedar produk ini juga perlu berhenti menjual atau mengedarkan produk ini dengan serta-merta.
Menjual dan mengedarkan produk seperti ini adalah menlanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan:
- denda tidak melebihi RM25,000 atau
- penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama atau
- denda tidak melebihi RM50,000 atau
- penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.