Malaria merupakan antara penyakit berjangkit yang menjadi masalah kesihatan awam di kebanyakan negara di seluruh dunia. Di Malaysia, status sifar kes malaria tempatan yang melibatkan penularan dalam kalangan manusia telah berjaya dicapai untuk enam tahun berturut-turut bermula tahun 2018 hingga 2023.
Walau bagaimanapun, kes malaria import dan malaria zoonotik pula telah merekodkan peningkatan bilangan kes. Daripada 404 kes malaria yang dilaporkan pada tahun 2022, sebanyak 89.2% terdiri daripada malaria zoonotik manakala selebihnya pula ialah kes malaria import.
Punca, Faktor Risiko dan Gejala bagi Malaria
Penyakit malaria disebabkan oleh jangkitan parasit protozoa daripada genus Plasmodium. Parasit ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles betina.

Terdapat empat spesis Plasmodium yang boleh disebarkan daripada manusia kepada manusia, iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium ovale dan Plasmodium malariae.
Namun kebelakangan ini, spesis P. knowlesi yang pada asalnya hanya menjangkiti monyet telah didapati menjangkiti manusia dan kadar jangkitannya dilaporkan semakin meningkat.
Risiko untuk jangkitan malaria berlaku dapat dipengaruhi oleh tingkah laku manusia dan faktor persekitaran.
Sebagai contoh, kaedah perlindungan kendiri seperti penggunaan kelambu, produk penghalau serangga serta semburan racun serangga dapat mengelakkan gigitan nyamuk dan sekali gus mengurangkan risiko penularan malaria.
Suhu persekitaran, kadar taburan hujan, kadar kelembapan, dan keadaan di sekitar kediaman pula merupakan antara faktor persekitaran yang perlu diberi perhatian.
Gejala malaria lazimnya bermula dengan individu yang dijangkiti mengalami kesejukan dan menggigil atau dikenali sebagai ‘fasa sejuk’.
Fasa ini akan diikuti oleh ‘fasa panas’ iaitu individu yang dijangkiti akan mengalami demam panas (melebihi 40°C), loya, kegelisahan dan ketidakselesaan badan.
Seterusnya, mereka akan mengalami ‘fasa berpeluh’ yang menyebabkan mereka berpeluh dengan banyak apabila suhu badan mula menurun.
Keadaan ini boleh berlaku antara enam hingga sepuluh jam dan sekiranya tidak dirawat, keadaan ini akan berulang serta berisiko menjadi lebih teruk.
Gejala lain malaria termasuklah:
- Sakit kepala
- Keletihan
- Rasa tidak selesa secara umum
- Sakit otot dan sendi
- Ketidakselesaan perut
Ubat-ubatan untuk Rawatan Malaria
Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan antimalaria yang digunakan untuk rawatan malaria. Pemilihan ubat bergantung kepada beberapa perkara, seperti:
- Tahap keseriusan jangkitan
- Spesis protozoa Plasmodium yang menyebabkan jangkitan
- Sejarah kerintangan terhadap ubat tertentu
Doktor akan membuat penilaian yang menyeluruh dan mempertimbangkan faktor-faktor tersebut untuk memastikan ubat antimalaria yang paling sesuai diberikan kepada pesakit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penggunaan Artemisinin-based Combination Therapy (ACT) sebagai rawatan standard untuk malaria.
Selain itu, kombinasi ubat turut menjadi pilihan utama untuk mengelakkan kerintangan protozoa yang mudah terjadi kepada individu yang hanya diberikan hanya satu jenis ubat.
Antara ubat-ubatan antimalaria yang lazim digunakan termasuklah:
1. Kombinasi Artesunate dan Mefloquine
Kombinasi artesunate dan mefloquine merupakan satu contoh ACT yang diberikan dalam bentuk fixed dose combination (FDC).
Kombinasi ini berkesan untuk rawatan malaria yang disebabkan oleh spesis P. falciparum, P. malariae dan P. knowlesi.
Tablet FDC ini perlu diambil sekali sehari untuk tempoh 3 hari. Kombinasi ini tidak boleh digunakan untuk wanita hamil.
Kesan sampingan yang disebabkan oleh kandungan mefloquine di dalam kombinasi termasuklah loya, muntah, vertigo, gangguan tidur dan gangguan psikiatri.
Selain itu, kombinasi ini juga berisiko menyebabkan sawan kepada pesakit kanak-kanak.
2. Kombinasi Artemether dan Lumefantrine
Kombinasi ini juga merupakan ACT dan turut diberikan dalam bentuk tablet FDC untuk pesakit malaria yang berpunca daripada P. falciparum, P. malariae dan P. knowlesi.
Kombinasi ini perlu diambil dalam tempoh 3 hari dengan dos keseluruhan sebanyak 6 dos.
Lazimnya, waktu pengambilan yang khusus bagi setiap dos sepanjang tempoh 3 hari tersebut akan diterangkan oleh doktor atau ahli farmasi dengan lebih terperinci bagi memastikan pesakit mengambil ubat ini pada waktu yang betul.
Tablet FDC bagi kombinasi artemether dan lumefantrine hendaklah diambil bersama-sama makanan yang tinggi lemak agar penyerapannya di dalam badan lebih tinggi.
Dari segi risiko kesan sampingan, kombinasi ini boleh mengakibatkan kegatalan kulit, batuk, sakit perut, cirit-birit, mengantuk atau gangguan tidur serta jantung berdebar-debar.
3. Primaquine
Ubat primaquine digunakan sebagai tambahan kepada ubat-ubatan yang tergolong sebagai ACT, khususnya bagi kes malaria yang disebabkan oleh P. vivax dan P. ovale.
Ubat primaquine perlu diambil untuk tempoh 14 hari.
Kombinasi ubat ini perlu digunakan dengan berhati-hati oleh pesakit yang mengalami kekurangan enzim glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) kerana berisiko boleh menyebabkan kekurangan sel darah merah.
Kesan advers primaquine termasuklah sakit perut dan anemia.
Langkah-langkah Pencegahan
Langkah-langkah pencegahan penularan malaria di peringkat individu, khususnya kepada golongan yang berisiko dijangkiti seperti pengembara atau pelawat ke kawasan endemik, anggota tentera, individu yang bekerja di ladang atau hutan serta pekerja di kawasan empangan adalah sangat digalakkan.
Mereka disaran untuk mengamalkan perlindungan kendiri seperti memakai pakaian yang dapat melindungi keseluruhan badan atau menggunakan produk penghalau nyamuk yang mengandungi diethyltoluamide (DEET) pada kepekatan 20-50% sebagai usaha menghalang gigitan nyamuk.
Di samping itu, penggunaan kelambu dan semburan racun serangga di kawasan tempat tinggal juga dapat membantu.
Individu yang ingin memasuki kawasan berisiko harus berbincang dengan doktor untuk mendapatkan ubat-ubatan yang berkesan sebagai pencegahan bagi jangkitan malaria.
Pemilihan ubat yang bersesuaian akan dilakukan oleh doktor berpandukan beberapa perkara seperti tempoh perjalanan, sejarah perubatan dan tahap penularan di kawasan yang dituju.
Ubat bagi tujuan pencegahan ini perlu dimulakan sebelum perjalanan, diteruskan sepanjang tempoh berada di kawasan endemik dan selepas meninggalkan kawasan itu untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan.
Selain itu, menjaga kebersihan kawasan persekitaran juga dapat membantu mengurangkan tapak pembiakan nyamuk dan seterusnya menghalang penularan malaria.
Sekiranya mengalami sebarang gejala, individu yang disyaki dijangkiti hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan kadar segera.
Dengan cara ini, rawatan yang bersesuaian dapat diberikan agar jangkitan tidak menjadi lebih serius.
Penutup
Malaria ialah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat. Setiap individu disaran untuk mengambil tahu tentang jangkitan ini terutamanya berkaitan gejala yang lazim dialami, risiko penularan, langkah pencegahan dan cara pengambilan ubat antimalaria yang betul.
Dengan pemahaman yang baik, risiko jangkitan dapat dikurangkan dan membantu menurunkan bilangan kes yang berlaku dalam komuniti.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM. (2005). Malaria: Status Penyakit Malaria di Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- WHO. (2021). World Health Organization World malaria report 2021.
- Rejeki, D. S. S. et al. (2021). Risk Factors Analysis of Malaria Transmission at Cross-Boundaries Area in Menoreh Hills, Java, Indonesia. Iranian journal of public health.
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Management Guidelines of Malaria in Malaysia First Edition 2014.