Terdapat makanan atau ubat-ubatan tertentu yang perlu dielakkan oleh penghidap kekurangan G6PD. Sekiranya anak anda menghidap kekurangan G6PD, senarai makanan dan ubat-ubatan yang disenaraikan dalam artikel ini perlu dielakkan oleh anak anda.
Apa itu G6PD?
Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) adalah enzim dalam badan yang melindungi sel-sel darah merah daripada pecah atau musnah (hemolisis). Walau bagaimanapun, bagi penghidap G6PD, badan mereka hanya menghasilkan G6PD yang sedikit yang boleh menyebabkan anemia (kekurangan darah).
Mujurlah, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami kekurangan G6PD tidak mempunyai masalah pada kebanyakan masa. Tetapi makanan atau ubat-ubat tertentu boleh meningkatkan kadar pecahan sel-sel darah merah dan mencetuskan anemia.
Kekurangan G6PD menjejaskan lebih 400 juta orang di seluruh dunia. [1]
Kekurangan G6PD sangat ketara dalam kalangan masyarakat Asia. Di Malaysia, semua bayi baru lahir akan disaring untuk mengenal pasti kekurangan enzim G6PD dengan menggunakan darah daripada tali pusat.
Kekurangan enzim ini adalah keadaan yang diwarisi melalui keturunan. Penyakit ini berkaitan dengan padanan kromosom yang menentukan jantina individu. Ia ditentukan oleh bahan baka yang dibawa oleh kromosom X.
Oleh itu, kebanyakan mereka yang mempunyai kekurangan enzim G6PD adalah kaum lelaki, manakala kaum perempuan biasanya adalah pembawa.
Makanan yang Perlu Dielakkan Oleh Penghidap G6PD
Kacang fava atau kacang parang (fava beans) merupakan makanan utama yang perlu dielakkan oleh penghidap G6PD.
Kajian yang dijalankan di Mesir yang melibatkan 1000 orang peserta melaporkan bahawa kacang parang menyebabkan hampir 33% hemolisis dalam kalangan penghidap G6PD. [2]
Selain itu, makanan-makanan berikut juga boleh mencetuskan pemecahan sel-sel darah merah (hemolisis):
- Falafel (makanan arab)
- Kacang kuda
- Kacang buncis besar
- Kacang pea
- Kacang tanah
- Lentil
- Kacang mata hitam
Ubat-ubatan yang Perlu Dielakkan Oleh Penghidap G6PD
Selain makanan, ubat-ubatan berikut juga perlu dielakkan oleh penghidap G6PD bagi mengelakkan risiko berlakunya hemolisis.
Antara ubat-ubatan tersebut adalah:
- Ibuprofen: ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
- Aspirin: ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
- Diclofenac sodium: ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
- Co-trimoxazole: Ubat antibiotik
- Nitrofurantoin: Ubat antimikrob
- Dapsone: Ubat antibiotik
- Methylene blue: Ubat antimikrob
- Primaquine: Ubat antimikrob
- Phenazopyridine: Ubat pelega kesakitan
- Rasburicase: Ubat gout
- Doxorubicin: Ubat kemoterapi
- Bactrim: Ubat antibiotik
Selain itu, ubat Cina berikut juga perlu dielakkan:
- Chuen Lin
- San Chi
- 13 herbs
- 12 herbs
Bahan Kimia atau Bahan Lain yang Perlu Dielakkan Oleh Penghidap G6PD
Bahan kimia atau bahan-bahan berikut juga perlu dielakkan oleh penghidap G6PD:
- Ubat gegat: Mengandungi napthalene
- Inai: Pewarna dari tumbuhan
- Ubat nyamuk: Mengandungi pyrethium
- Toluidine blue: Pewarna yang digunakan dalam makmal
Gejala dan Tanda-tanda Kekurangan G6PD
Gejala atau tanda-tanda yang terjadi sekiranya sel darah merah pecah (hemolisis) termasuklah:
- Jaundis
- Air kencing berwarna merah gelap seperti teh O
- Kelihatan pucat
- Tidak bermaya
- Pening
- Degupan jantung yang laju
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Sakit perut
Jika ini berlaku, sila dapatkan rawatan di hospital dengan segera.
Kekurangan enzim G6PD akan berlaku seumur hidup. Walaupun tiada rawatan yang boleh menghilangkannya, ia tidak membawa kesan negatif yang ketara dan tidak menjejaskan perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak.
Rujukan
- Nkhoma, E. T. et al. (2009). The global prevalence of glucose-6-phosphate dehydrogenase deficiency: a systematic review and meta-analysis. Blood cells, molecules & diseases.
- Hagag, A. A. et al. (2018). Study of Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase Deficiency: 5 Years Retrospective Egyptian Study. Endocrine, metabolic & immune disorders drug targets.
- Fazila Kutty (2020). Kekurangan Enzim G6PD. MyHealth KKM
- Alexis, A.C. (2022). G6PD Deficiency: Foods and Supplements to Choose and Avoid. Healthline