Sebilangan individu mungkin pernah mengalami keadaan yang menyebabkan mereka bercakap sendirian, mendengar suara yang tidak didengari oleh orang lain atau mempercayai sesuatu yang salah dan tidak berasaskan realiti.
Situasi ini sering dikaitkan dengan gejala halusinasi dan delusi yang berpunca daripada masalah kesihatan mental atau penyakit neurologi.
Persoalannya, adakah halusinasi dan delusi merupakan dua keadaan yang sama?
Definisi Halusinasi dan Delusi
Halusinasi ialah pengalaman deria yang tidak wujud dalam realiti sebenar. Individu yang mengalaminya mungkin melihat, mendengar, merasa atau menghidu sesuatu yang sebenarnya tidak berlaku.
Halusinasi boleh disebabkan oleh masalah mental (contohnya seperti skizofrenia), gangguan neurologi atau pengambilan bahan tertentu.
Delusi pula merupakan kepercayaan yang salah dan berterusan, walaupun terdapat bukti jelas yang menolak kepercayaan tersebut.
Individu yang mengalami delusi selalunya tidak dapat diyakinkan bahawa kepercayaan mereka itu adalah salah. Sebilangan kes delusi turut disebabkan oleh masalah kesihatan mental dan gangguan neurologi.
Faktor Risiko
Terdapat pelbagai keadaan atau tingkah laku yang boleh menjadi faktor risiko bagi halusinasi dan delusi. Secara umumnya, faktor risiko tersebut termasuklah:
- Masalah kesihatan mental seperti skizofrenia, kecelaruan bipolar dan kemurungan.
- Gangguan neurologi seperti penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan epilepsi.
- Penggunaan dadah dan alkohol seperti LSD (asid lisergik dietilamida), kokain atau pengambilan alkohol secara berlebihan.
- Kesan sampingan ubat, contohnya ubat untuk penyakit Parkinson, steroid dan antidepresan.
- Tekanan dan masalah tidur yang boleh mengakibatkan gejala halusinasi sementara.
- Sejarah masalah kesihatan mental dalam keluarga (faktor genetik).
Adakah Halusinasi dan Delusi Keadaan yang Sama?
Halusinasi dan delusi merupakan dua keadaan yang berbeza.
Halusinasi berkait dengan gangguan persepsi deria tanpa rangsangan sebenar manakala delusi pula berkait dengan kepercayaan yang salah dan tidak berasaskan realiti.
Seseorang individu boleh mengalami halusinasi tanpa delusi, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, individu yang menghidap Alzheimer mungkin mengalami halusinasi visual tanpa delusi manakala individu dengan gangguan paranoid mungkin mengalami delusi tanpa sebarang halusinasi.
Meskipun kedua-duanya boleh berlaku serentak dalam sesetengah keadaan, rawatan dan pendekatan untuk menanganinya mungkin berbeza dan bergantung kepada keadaan setiap individu.
Halusinasi dan Delusi Sebagai Kesan Sampingan Ubat dan Bahan Psikoaktif
Halusinasi dan delusi juga merupakan kesan sampingan bagi ubat-ubatan tertentu, terutamanya apabila diambil secara berpanjangan.
Sebagai contoh, ubat opioid yang biasa digunakan untuk merawat kesakitan kronik boleh menyebabkan halusinasi visual atau pendengaran.
Ubat penenang seperti benzodiazepine pula mempengaruhi keseimbangan kimia otak sehingga mampu mengakibatkan delusi.
Selain itu, sesetengah ubat untuk merawat penyakit Alzheimer juga dilaporkan menyebabkan halusinasi, terutamanya dalam kalangan warga emas yang sensitif terhadap perubahan dos ubat.
Ubat-ubatan untuk Mengawal Gejala Halusinasi dan Delusi
Beberapa jenis ubat telah terbukti berkesan dalam mengawal gejala halusinasi dan delusi, ia juga bergantung pada punca dan keadaan pesakit.
Antaranya ubat-ubatan yang boleh mengawal gejala-gejala tersebut adalah:
1. Ubat daripada Kumpulan Dopamine Inhibitor
Antara contoh ubat-ubatan ini termasuklah seperti haloperidol, risperidone, quetiapine, clozapine dan olanzapine.
Ubat-ubatan ini berkesan dalam mengawal halusinasi dan delusi dengan menyekat kesan dopamin yang berlebihan di dalam otak.
Keadaan dopamin yang terlalu tinggi atau tidak seimbang menyebabkan pesakit mudah mengalami halusinasi atau delusi.
2. Ubat daripada Kumpulan Cholinesterase Inhibitor
Contohnya seperti donepezil dan rivastigmine.
Ubat-ubatan ini digunakan untuk mengawal gejala demensia yang sering dialami oleh pesakit Alzheimer.
Ubat–ubatan ini membantu mengurangkan risiko halusinasi dan delusi yang sering berlaku dalam kalangan pesakit demensia dengan cara meningkatkan kepekatan bahan (neurotransmiter) yang bertanggungjawab untuk proses penghantaran maklumat di otak.
Nasihat untuk Pesakit dan Orang Awam
Individu yang mula mengalami gejala halusinasi atau delusi, harus mendapatkan pemeriksaan daripada doktor untuk penilaian lanjut.
Sokongan emosi daripada ahli keluarga dan kenalan di sekeliling adalah penting untuk memastikan mereka dapat dirawat dengan berkesan.
Gejala halusinasi dan delusi yang berpunca daripada masalah kesihatan mental seperti skizofrenia dan gangguan psikotik dapat dikawal melalui pematuhan yang baik kepada pengambilan ubat-ubatan.
Jika rawatan dihentikan sendiri atau tidak diambil seperti yang diarahkan, gejala halusinasi dan delusi berkemungkinan untuk berulang.
Sesetengah ubat seperti ubat tahan sakit daripada kumpulan opioid, ubat penenang daripada kumpulan benzodiazepine atau ubat untuk rawatan Alzheimer berisiko menyebabkan halusinasi dan delusi sebagai kesan sampingan.
Sekiranya berlaku perubahan tingkah laku selepas mengambil ubat-ubatan tersebut, pesakit hendaklah merujuk doktor atau ahli farmasi dengan segera.
Pesakit yang pernah mengalami halusinasi atau delusi akibat ubat tertentu, haruslah memaklumkan perkara tersebut kepada doktor atau ahli farmasi semasa mendapatkan rawatan.
Hal ini penting supaya doktor dapat memilih ubat yang kurang berisiko menyebabkan gejala tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, halusinasi dan delusi merupakan gejala yang sering berpunca daripada masalah kesihatan mental, gangguan neurologi atau kesan sampingan ubat.
Walaupun kedua-duanya kerap disalah anggap sebagai keadaan yang sama, namun sebenarnya halusinasi dan delusi berbeza.
Pengambilan ubat yang sesuai berpandukan nasihat ahli profesional kesihatan serta pematuhan terhadap rawatan amat penting untuk mengawal kedua-dua gejala ini.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaaan (National Pharmacy Call Center- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Rujukan
- American Psychiatric Association. Diagnostic and statistical manual of mental disorders (DSM-5). 5th ed. Washington, DC: American Psychiatric Publishing; 2013.
- World Health Organization. International Classification of Diseases 11th Revision (ICD-11). Geneva: WHO; 2019.
- Waters, F., & Fernyhough, C. (2017). Hallucinations: A Systematic Review of Points of Similarity and Difference Across Diagnostic Classes. Schizophrenia bulletin.
- Zmigrod, L. et al. (2016). The neural mechanisms of hallucinations: A quantitative meta-analysis of neuroimaging studies. Neuroscience and biobehavioral reviews.
- Nour, M. M. et al. (2018). The Relationship Between Dopamine Synthesis Capacity and Release: Implications for Psychosis. Neuropsychopharmacology.





