Kedua-dua penyakit Alzheimer dan Parkinson adalah penyakit neurodegeneratif. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan antara penyakit Alzheimer dan Parkinson dari segi gejala-gejala, rawatan dan faktor risiko.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai perbezaan antara penyakit Alzheimer dan Parkinson sebagai satu panduan umum buat anda.
Penyakit neurodegeneratif ialah penyakit yang menyebabkan kerosakan yang progresif terhadap sel-sel di dalam sistem saraf.
Akibatnya, ia boleh menjejaskan fungsi badan seseorang seperti memori (ingatan), pergerakan dan kelakuan.
Apakah Penyakit Alzheimer?
Penyakit Alzheimer ialah sejenis penyakit demensia (nyanyuk) yang paling lazim berlaku.
Seseorang yang menghidap demensia akan kehilangan fungsi kognitif secara berperingkat. Ini termasuklah kemahiran berfikir, ingatan dan penyelesaian masalah.
Penghidap penyakit Alzheimer mempunyai pengumpulan dua protein yang abnormal di dalam otak mereka iaitu:
- Beta-amiloid di luar sel-sel saraf (plak amiloid)
- Protein tau di dalam sel-sel saraf (kekusutan neurofibril)
Apakah Penyakit Parkinson?
Penyakit Parkinson adalah penyakit di mana sel-sel saraf di bahagian otak yang terlibat dalam pergerakan menjadi rosak dan mula mati.
Akibatnya, ia membawa kepada masalah pergerakan yang semakin meningkat. Penyakit Parkinson juga boleh membawa kepada gejala bukan motor dan perubahan dalam ingatan, pemikiran dan tingkah laku.
Penghidap Parkinson mempunyai pengumpulan protein alpha-synuclein dalam sel saraf mereka yang dipanggil jasad Lewy.
Adalah dipercayai bahawa jasad Lewy menyumbang dalam beberapa cara kepada kerosakan dan kematian sel saraf bagi penyakit Parkinson.
Perbezaan Antara Penyakit Alzheimer dan Parkinson
Perbezaan paling ketara antara penyakit Alzheimer dan Parkinson adalah penyakit Alzheimer menjejaskan pemikiran dan ingatan manakala Parkinson menjejaskan pergerakan.
Namun begitu, bagi penghidap Alzheimer, gejala-gejala berkaitan pergerakan masih boleh berlaku.
Bagi penghidap Parkinson pula, gejala-gejala tidak melibatkan pergerakan juga masih boleh berlaku.
Berikut adalah penjelasan lebih lanjut mengenai perbezaan antara penyakit Alzheimer dan Parkinson:
1. Perbezaan Dari Segi Gejala-gejala atau Simptom
Gejala-gejala penyakit Alzheimer adalah seperti berikut:
- Masalah ingatan
- Kemurungan
- Acuh tak acuh
- Masalah berkomunikasi
- Perubahan tingkah laku atau personaliti
- Penilaian yang buruk
- Sukar bercakap, menelan atau bergerak
- Kekeliruan
Gejala-gejala penyakit Parkinson adalah seperti berikut:
- Tremor (ketar)
- Kekejangan otot
- Pergerakan perlahan
- Masalah koordinasi dan keseimbangan
Penghidap Parkinson masih boleh mengalami gejala-gejala yang tidak berkaitan dengan pergerakan seperti:
- Kekejangan otot
- Kelesuan
- Masalah kencing
- Sembelit
- Disfungsi seksual (mati pucuk)
- Tidur terganggu
- Kemurungan
- Kurang deria bau
- Demensia
- Sukar bercakap atau menelan
- Tekanan darah jatuh tiba-tiba ketika berdiri
2. Perbezaan Dari Segi Rawatan
Gejala-gejala penyakit Alzheimer boleh dirawat menggunakan beberapa ubat. Ubat seperti donepezil dan rivastigmine boleh membantu mengawal selia paras pengutus kimia di dalam otak.
Ubat aducanumab dan lecanemab boleh membantu mengurangkan plak amiloid di dalam otak.
Ubat antipsikotik juga kadangkala boleh membantu menguruskan agitasi bagi sesetengah penghidap Alzheimer.
Gejala-gejala penyakit Alzheimer juga boleh dikurangkan dengan:
- Senaman ringan hingga sederhana
- Melakukan aktiviti merangsang mental
- Berjumpa ahli terapi atau kaunselor
- Mengamalkan diet seimbang dan sihat
- Sokongan orang sekeliling
Manakala, gejala-gejala penyakit Parkinson pula boleh dirawat menggunakan ubat seperti levodopa-carbidopa bagi menguruskan gejala-gejala motor (pergerakan).
Ubat tambahan juga boleh digunakan untuk menguruskan gejala bukan motor. Contohnya seperti antidepresan untuk merawat kemurungan.
Selain itu, beberapa rawatan lain juga bermanfaat untuk merawat Parkinson:
- Terapi pertuturan
- Terapi fizikal dan cara kerja
- Terapi tingkah laku kognitif
- Pemakanan seimbang
- Senaman
3. Perbezaan Dari Segi Faktor Risiko
Beberapa faktor risiko berikut boleh meningkatkan risiko anda kepada penyakit Alzheimer:
- Usia tua
- Sejarah keluarga yang menghidap Alzheimer atau demensia
- Sindrom Down
- Variasi genetik tertentu
- Penyakit jantung
- Tekanan darah tinggi
- Strok
- Obesiti
- Diabetes
- Kecederaan otak
- Merokok
Manakala, faktor risiko berikut boleh meningkatkan risiko anda kepada penyakit Parkinson:
- Usia tua
- Lelaki
- Keturunan atau sejarah keluarga yang pernah menghidap penyakit Parkinson
- Terdedah kepada racun serangga
- Variasi genetik tertentu
Rumusan
Penyakit Alzheimer dan Parkinson adalah dua daripada penyakit neurodegeneratif yang paling biasa berlaku. Kedua-duanya adalah keadaan progresif tanpa penawar yang diketahui.
Walau bagaimanapun, rawatan boleh membantu menguruskan gejala dan meningkatkan kualiti hidup.
Kedua-dua penyakit ini mempunyai perbezaan dari segi gejala-gejala, rawatan dan faktor risiko.