Demensia atau dalam bahasa Inggerisnya, dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan keupayaan untuk mengingati, berfikir atau membuat keputusan dalam menjalankan aktiviti harian.
Sebahagian daripada pesakit demensia juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.
Kadar kekerapan demensia yang berlaku adalah di antara 2% hingga 20%. Ianya berganda setiap 5 tahun peningkatan usia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Penyakit Alzheimer adalah jenis demensia yang paling lazim berlaku.
Jenis-jenis Demensia
Terdapat beberapa jenis demensia yang lazim berlaku iaitu:
- Penyakit Alzheimer: Penyakit ini disebabkan oleh perubahan di dalam otak.
- Demensia vaskular: Penyakit ini dikaitkan dengan strok atau isu lain dengan aliran darah ke otak.
- Demensia jasad Lewy: Penghidap penyakit ini mungkin mengalami masalah pergerakan atau keseimbangan seperti kekakuan atau menggeletar.
- Fronto-temporal dementia: Demensia jenis ini paling kerap membawa kepada perubahan dalam personaliti dan tingkah laku kerana bahagian otak yang terjejas.
- Demensia bercampur: Kadang-kadang lebih daripada satu jenis demensia terdapat di dalam otak pada masa yang sama, terutamanya pada orang yang berumur 80 tahun ke atas.
Golongan yang Berisiko Mendapat Demensia
Golongan-golongan berikut berisiko tinggi untuk mendapat demensia:
- Setengah jenis demensia lebih tinggi berlaku dalam kalangan wanita.
- Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tidak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi.
- Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson.
- Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.
Gejala-gejala dan Tanda
Gejala-gejala atau tanda mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Antara gejala-gejala dan tanda-tanda yang boleh diperhatikan adalah:
- Hilang daya ingatan yang menyebabkan masalah dalam pekerjaan atau perjalanan kehidupan harian.
- Hilang keupayaan membuat penilaian.
- Sukar mencari perkataan yang mudah, sukar menerangkan sesuatu, atau kerap mengulangi percakapan (echolalia).
- Masalah dengan aktiviti yang biasa dilakukan, seperti memasak, mandi dan mengenakan pakaian.
- Meletak barang di tempat lain atau kerap tertinggal barang.
- Masalah dalam pemikiran abstrak, misalnya mengalami masalah menentukan apa yang ingin di beli semasa keluar membeli belah.
- Perubahan emosi secara tiba-tiba, biasanya dengan tidak bersebab. Mereka mungkin mengalami perubahan dalam tingkah laku.
- Perubahan dalam perwatakan, daripada seseorang yang peramah kepada seseorang yang cepat marah, cemburu atau penakut.
- Hilang minat dan kecenderungan dalam pekerjaan dan hobi mereka.
Rawatan
Pada masa ini demensia tiada penyembuhnya. Namun, terdapat beberapa cara untuk menguruskan gejala-gejala yang berlaku.
Ubat-ubatan
Ubat-ubat berikut boleh menambah baik gejala-gejala demensia secara sementara:
- Cholinesterase inhibitors. Ubat ini berfungsi dengan meningkatkan paras pengutus kimia yang terlibat dalam ingatan dan pertimbangan.
- Memantine. Memantine bertindak dengan mengawal selia aktiviti glutamat iaitu pengutus kimia yang terlibat dalam fungsi otak seperti pembelajaran dan memori.
- Ubat-ubatan lain. Doktor anda mungkin menetapkan ubat untuk merawat gejala atau keadaan lain, seperti kemurungan, gangguan tidur, halusinasi, Parkinson atau agitasi.
Terapi
Gejala-gejala demensia dan masalah tingkah laku boleh dirawat pada peringkat awal menggunakan terapi seperti:
- Terapi cara kerja: Tujuan terapi ini adalah untuk mengelakkan kemalangan seperti terjatuh, mengurus tingkah laku dan menyediakan anda untuk kemajuan demensia.
- Mengubah suai persekitaran: Mengurangkan kekacauan dan bunyi bising boleh memudahkan seseorang yang mengalami demensia untuk fokus dan berfungsi. Anda mungkin perlu menyembunyikan objek yang boleh mengancam keselamatan seperti pisau dan kunci kereta.
- Memudahkan tugas: Pecahkan tugas kepada langkah yang lebih mudah dan fokus pada kejayaan, bukan kegagalan. Struktur dan rutin juga membantu mengurangkan kekeliruan pada penghidap demensia.
Komplikasi
Jika tidak dikesan awal, beberapa komplikasi yang mungkin terjadi adalah seperti:
- Masalah pemakanan yang tidak baik yang menjejaskan pengambilan nutrien.
- Ketidakupayaan untuk melaksanakan tugas penjagaan diri.
- Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental.
- Peningkatan dalam kadar kematian.
- Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental dalam kalangan penjaga.
- Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.
Langkah-langkah Pencegahan
Aktiviti-aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya demensia.
Amalan gaya hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat demensia.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2019). What is Dementia?
- Mayo Clinic Staff. (2021). Dementia. MayoClinic
- Yusoff, S. (2012). Demensia. MyHealth KKM
- World Health Organization. (2021). Dementia.