Dalam dunia yang semakin terhubung hari ini, bahasa internet berkembang pantas, menghasilkan istilah-istilah baru yang padat tetapi penuh makna. Salah satu istilah yang kini tular dan digunakan secara meluas ialah brain rot atau brainrot.
Sekali dengar, ia mungkin kedengaran seperti gurauan dan memang sering digunakan secara lawak tetapi sebenarnya ia mengandungi makna yang lebih mendalam.
Di sebalik jenaka itu terselit kritikan terhadap tabiat penggunaan media yang keterlaluan, lari dari dunia nyata dan kemerosotan daya tumpuan serta pemikiran kritikal.
Artikel ini akan menghuraikan maksud sebenar brain rot, asal-usulnya dan mengapa ia begitu relevan dalam kalangan generasi yang dibesarkan dengan internet.

Apa Itu Brain Rot?
“Brain rot” atau “rosot minda” ialah istilah slanga internet yang digunakan untuk menggambarkan keadaan kemerosotan mental akibat terlalu banyak atau terlalu lama mengonsumsi kandungan media terutamanya kandungan yang bodoh, melampau atau tidak masuk akal.
Contohnya, video TikTok yang sengaja dibuat tidak masuk akal, kompilasi YouTube yang pelik, atau drama dalam komuniti fandom yang hanya difahami oleh segelintir sahaja.
Orang ramai menggunakan frasa seperti “aku dah kena brainrot” atau “video ni bagi aku brainrot” untuk menggambarkan bahawa sesuatu kandungan itu terlalu gila atau kacau sampai membuatkan otak terasa beku.
Ia gabungan antara jenaka diri sendiri dan komentar jujur tentang betapa aneh dan pelik dunia digital sekarang.
Ia juga boleh jadi kata kerja dan kata sifat; seseorang boleh “terkena brain rot” atau kandungan itu sendiri boleh digambarkan sebagai “brain rot-inducing“.
Asal-Usul dalam Budaya Meme
Istilah “brain rot” sudah lama wujud di ruang internet, tetapi mula popular sekitar tahun 2021–2022, khususnya di platform seperti TikTok, Twitter (kini X), dan Tumblr.
Ia menjadi kata kunci untuk menggambarkan pengalaman menonton kandungan internet yang bukan sekadar bodoh, tapi secara sengaja dibuat bodoh, pelik dan ketagihan dalam cara yang nihilistik dan sedar diri.
Ia sering digunakan bersama komuniti fandom (contoh: orang yang menulis teori panjang tentang watak sampingan dalam anime) atau kandungan yang dijana oleh AI yang kelihatan seperti mimpi buruk.
Contohnya, video suara SpongeBob yang diubah suai bertengkar tentang falsafah atau kompilasi gambar pelik dengan muzik gila dan tiada konteks.
Brain rot bukan hanya tentang menonton terlalu banyak, ia tentang sedar kandungan itu menjahanamkan otak tetapi tetap menikmatinya.
Kenapa Brainrot Menarik?
1. Melarikan Diri yang Tidak Berpura-pura
Kebanyakan hiburan arus perdana cuba jadi “berkualiti”, emosional dan bermakna. Kandungan brain rot tidak peduli semua itu.
Ia pantas, kacau dan selalunya tidak masuk akal tapi ia mengisi ruang hiburan yang lain. Ia tak minta anda ambil peduli. Ia bagi hiburan segera, lawak gila dan rasa “masuk geng” dalam komuniti internet.
Ia tidak berpura-pura menjadi kandungan cerdik dan itu yang membuatkan ia seronok.
2. Reaksi Terhadap Rangsangan Berlebihan
Dengan notifikasi yang tidak putus, berita 24 jam dan algoritma yang asyik menjamu otak, perhatian menjadi mangsa.
Brain rot ialah simptom dan ubat sementara. Bila terlalu penat untuk fokus, tetapi masih mahu “isi masa”, anda pun skrol, gelak, lupa dan ulang balik.
3. Ironi Sebagai Mekanisme Pertahanan
Brainrot hidup dalam lapisan ironi. Orang ramai menonton kandungan bodoh, kemudian berpaling dan menyebut diri mereka brain rot.
Seolah-olah dengan menamakan masalah, kita jadi lebih terkawal.
Ia seperti makan junk food sambil sedar ianya tidak sihat, tetapi masih teruskan. Kemudian membuat lawak tentangnya di internet.
4. Komuniti dan Lawak Mendalam
Rujukan yang spesifik dan humor pelik membentuk identiti dalam talian.
Tahu apa itu kandungan brain rot dan tahu cara membuat atau memahaminya, ia menjadi satu bentuk kefasihan budaya. Anda sebahagian daripada komuniti.
Anda “faham”. Dan kalau tidak faham? Itu pun sebahagian daripada jenaka.
Bahaya Tersembunyi di Sebalik Brain Rot
Di sebalik meme dan lawak, ada tanda bahaya yang tersembunyi.
Apabila orang bercakap tentang brain rot, mereka sering separuh bergurau tetapi juga separuh sedar bahawa tabiat digital mereka sedang merosakkan minda.
Istilah ini menjadi kritikan diri yang pasif; satu cara untuk akui masalah tanpa benar-benar mengubahnya.
Antara perkara yang brain rot isyaratkan:
- Kehilangan daya tumpuan: Susah untuk fokus pada kandungan panjang atau kompleks.
- Penindasan emosi: Guna jenaka dan kandungan tidak masuk akal untuk elak berdepan dengan perasaan sebenar.
- Identiti berdasarkan media: Bentuk keperibadian berdasarkan apa yang ditonton dan komuniti digital yang disertai.
Ia juga menyentuh pengalaman generasi muda khususnya Gen Z yang arif dalam budaya brain rot, tetapi ramai juga meluahkan keletihan dengannya.
Di sebalik jenaka dan kekacauan itu, ada kerinduan terhadap makna, kedalaman dan ketenangan. Tetapi bila semuanya terasa terlalu cepat dan tidak berguna, brain rot jadi cara hidup.
Gerakan Balas: Kandungan Anti-Brain Rot
Dengan kesedaran terhadap brain rot semakin meningkat, ada pencipta kandungan yang cuba menentangnya bukan dengan ceramah, tetapi dengan niat.
Mereka mencipta kandungan yang perlahan, minimalis dan berfokus pada pemikiran mendalam. Ada video tanpa edit, esei digital tentang minimalisme atau projek lo-fi yang galakkan refleksi.
Ini bukan penolakan sepenuhnya terhadap budaya internet, tetapi satu bentuk penyusunan semula. Cuba kekal dalam talian tanpa membiarkan otak reput sepenuhnya.
Brain Rot: Baik atau Buruk?
Tidak semestinya buruk.
Mudah untuk anggap brain rot sebagai kandungan sampah tetapi itu terlalu cetek. Brain rot bukan satu genre, ia satu keadaan, satu mood, satu cermin budaya.
Ia mencerminkan tekanan, kegelisahan dan cara generasi kini menyesuaikan diri dengan rangsangan yang tidak henti-henti.
Sebahagian kandungan brain rot memang kelakar, kreatif dan bijak secara tidak langsung. Masalahnya bukan brain rot itu sendiri tetapi bila ia jadi satu-satunya jenis kandungan yang kita ambil.
Apabila ironi menggantikan keikhlasan. Apabila perhatian menjadi sangat berpecah-belah sehingga anda tidak boleh duduk diam.
Penutup
“Brain rot” lebih daripada sekadar istilah tular. Ia adalah cerminan cara kita hidup sekarang: sentiasa melekat pada skrin, berpindah dari lawak ke lawak, cari hiburan sambil perlahan-lahan hilang fokus dan makna.
Ia kelakar, ya tetapi ia juga isyarat bahawa kita perlukan sesuatu yang lebih mendalam.
Memahami brain rot bermakna kita sedar tentang pergelutan antara hiburan dan keletihan, antara ironi dan keaslian.
Ia mengajak kita tanya bukan sahaja apa kita tonton, tetapi kenapa dan apa kesannya terhadap minda dan jiwa kita.