Tidur yang berkualiti adalah penting untuk menjamin kesihatan fizikal dan mental. Meskipun begitu, masalah tidur menghantui ramai rakyat Malaysia.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2023, dua daripada lima orang dewasa di Malaysia didapati tidur kurang daripada tujuh jam sehari.
Satu kajian lain yang dilaksanakan pada Januari 2024 turut melaporkan bahawa sembilan daripada sepuluh orang dewasa di Malaysia mengalami masalah tidur, termasuk insomnia.

Insomnia merupakan masalah tidur yang melibatkan kesukaran untuk memulakan atau meneruskan tidur walaupun individu yang mengalaminya mempunyai peluang dan masa yang sewajarnya untuk tidur.
Gejala-gejala dan Faktor Risiko Insomnia
Gejala-gejala yang lazim dikaitkan dengan dengan insomnia adalah seperti:
- Kesukaran untuk lena
- Kerap terjaga di tengah malam
- Berasa letih atau tidak segar selepas bangun tidur.
Sekiranya gejala-gejala ini berlarutan, ia boleh mengakibatkan kesan negatif kepada tumpuan dan fokus seseorang untuk melakukan aktiviti harian.
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk insomnia terjadi, antaranya adalah:
- Golongan wanita, khususnya semasa kehamilan, menopaus atau semasa haid
- Golongan warga emas (disebabkan proses penuaan)
- Masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan
- Jadual kerja yang tidak menentu dan syif kerja pada waktu malam
- Penggunaan gajet secara berlebihan sebelum tidur
- Pengambilan kafein secara berlebihan terutamanya pada waktu malam
- Faktor persekitaran seperti tekanan kerja, masalah kewangan dan konflik keluarga
Ubat-ubatan untuk Merawat Insomnia
Terdapat beberapa pilihan rawatan untuk individu yang mengalami insomnia. Antaranya adalah:
- Intervensi perubahan gaya hidup dan terapi tingkah laku kognitif (Cognitive Behavioral Therapy)
- Teknik relaksasi
- Penggunaan ubat-ubatan
- Pengambilan suplemen kesihatan.
Doktor lazimnya akan berbincang dengan pesakit berkaitan pilihan dan hasil yang ingin dicapai agar strategi rawatan yang dipilih dapat memberi kualiti tidur yang lebih baik.
Dari segi rawatan farmakoterapi, terdapat beberapa jenis ubat yang boleh diberikan kepada pesakit.
Ubat-ubatan hipnotik seperti:
- Diazepam
- Lorazepam
- Clonazepam
- Zolpidem daripada kumpulan benzodiazepine
berkesan secara klinikal untuk menenangkan pesakit dan merangsang tidur jika diambil pada dos yang betul di bawah pemantauan doktor.
Penggunaan ubat-ubatan hipnotik yang tidak wajar tanpa pemantauan berisiko menyebabkan ketagihan dan kebergantungan individu terhadap ubat tersebut.
Individu yang mengalami insomnia dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan produk yang dipromosikan untuk mengatasi masalah insomnia.
Salah satu produk yang sering diiklankan ialah produk suplemen kesihatan yang mengandungi melatonin.
Sehingga kini, tiada produk yang mengandungi melatonin yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Oleh sebab itu, penjualan dan penggunaan produk yang mengandungi melatonin di Malaysia tidak dibenarkan.
Namun begitu, masih terdapat segelintir individu yang menjual produk-produk ini di sesetengah premis atau secara dalam talian.
Nasihat untuk Orang Awam
Terdapat beberapa suplemen kesihatan yang dikatakan dapat membantu mengekalkan kitaran tidur individu.
Walau bagaimanapun, orang awam disaran untuk menyemak terlebih dahulu sama ada produk kesihatan yang ingin diambil adalah tulen dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penggunaan produk tidak berdaftar dikhuatiri mengandungi kuantiti bahan aktif yang tidak bertepatan dengan label produk dan boleh menyebabkan kesan mudarat.
Misalnya, pengambilan melatonin tanpa kawalan boleh menyebabkan sembelit, cirit-birit, keresahan, sawan dan gangguan pernafasan.
Amalan gaya hidup sihat juga dapat membantu mengurangkan masalah tidur. Jadual tidur yang konsisten dan persekitaran tidur yang selesa boleh meningkatkan kualiti tidur.
Selain itu, penggunaan alat elektronik dan gajet perlu dielakkan sebelum waktu tidur. Pengambilan kafein dan alkohol pada waktu petang dan malam juga hendaklah dikawal bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.
Pesakit insomnia juga boleh mempraktikkan teknik relaksasi seperti meditasi atau pernafasan untuk menenangkan minda sebelum tidur.
Tidur Berkualiti, Hidup Sihat
Masalah tidur seperti insomnia harus diberi perhatian sewajarnya kerana dapat memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental.
Individu yang mengalami insomnia dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Soo Pei Pei
Puan Soo Pei Pei merupakan pegawai farmasi yang sedang berkhidmat di Bahagian Perkhidmatan Farmasi,
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis