Apnea tidur adalah sejenis keadaan pernafasan yang menyebabkan gejala-gejala seperti berdengkur. Terdapat kemungkinan bahawa apnea tidur mempunyai perkaitan dengan telinga berdengung atau tinitus.
Penyelidik percaya bahawa kerosakan sel akibat kehilangan oksigen pada waktu malam boleh menjadi salah satu sebab apnea tidur boleh meningkatkan risiko terhadap tinitus serta kehilangan pendengaran akibat pendedahan berulang-ulang kepada dengkuran kuat.
Bagi anda yang menghidap kedua-dua keadaan kesihatan ini, merawat kedua-duanya sekali mungkin bermanfaat. Artikel ini menyediakan maklumat lanjut mengenai hubungan antara apnea tidur dan telinga berdengung.
Adakah Terdapat Perkaitan Antara Apnea Tidur dengan Telinga Berdengung (Tinitus)?
Penyelidikan menunjukkan bahawa apnea tidur dan telinga berdengung biasanya wujud bersama.
Contohnya, kajian pada 2016 mendapati bahawa kira-kira 30% penghidap apnea tidur turut mengalami telinga berdengung. [1]
Terdapat kajian yang lebih terkini menunjukkan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan sistem pendengaran bagi penghidap apnea tidur obstruktif turut terkesan akibat daripada penyakit atau keadaan pernafasan ini. [2]
Keadaan ini terjadi mungkin disebabkan beberapa sebab iaitu:
- Teori pertama adalah ia berkaitan dengan kehilangan oksigen apabila penghidap apnea tidur berhenti bernafas pada waktu malam. Keadaan ini menyebabkan penurunan paras oksigen dalam badan yang seterusnya merosakkan sel-sel dalam telinga. Kerosakan ini boleh menyebabkan tinitus.
- Teori kedua adalah disebabkan bunyi dengkuran yang kuat. Kerap terdedah kepada bunyi yang kuat adalah faktor risiko terhadap tinitus. Maka, mendengar dengkuran pada waktu malam boleh menyebabkan tinitus. [3]
Tinitus atau telinga berdengung menyebabkan seseorang itu mendengar bunyi berdengung, berdesing, berkertik atau berdering.
Bunyi ini lebih jelas pada persekitaran yang sunyi seperti pada waktu malam.
Perlu Rawat yang Mana Dahulu? Apnea Tidur atau Telinga Berdengung?
Jawapan kepada keadaan mana yang perlu dirawat dahulu adalah bergantung kepada pemeriksaan oleh doktor.
Walau bagaimanapun, dalam banyak keadaan, merawat apnea tidur boleh membantu mengurangkan gejala tinitus, maka doktor mungkin memulakan rawatan apnea tidur sebelum sebarang rawatan tinitus.
Jika tinitus tidak berkait dengan keadaan yang boleh dirawat, doktor akan menilai gejala anda untuk menentukan apa yang perlu dirawat terlebih dahulu.
Adakah Merawat Telinga Berdengung Turut Memulihkan Apnea Tidur?
Merawat telinga berdengung atau tinitus tidak membantu apnea tidur secara langsung.
Sebaliknya, merawat apnea tidur mungkin mempunyai kesan yang lebih langsung pada tinitus,
Meningkatkan oksigen dalam badan dan tidak lagi berdengkur kadangkala boleh membantu melegakan gejala tinitus. Ini bermakna rawatan apnea tidur juga boleh membantu mengurangkan gejala tinitus.
Antara rawatan apnea tidur adalah:
- Mesin tekanan salur udara positif berterusan (CPAP)
- Berhenti merokok
- Perkakas mulut (oral)
Posisi Tidur Untuk Mengurangkan Telinga Berdengung
Anda tidak boleh menyembuhkan atau menghilangkan telinga berdengung sepenuhnya dengan posisi tidur anda.
Walau bagaimanapun, sesetengah pakar mengesyorkan meninggikan kepala anda semasa tidur.
Ini boleh mengurangkan sebarang kesesakan yang mungkin anda alami dan boleh menyebabkan bunyi berdengung kurang ketara.
Rumusan
Terdapat kaitan antara apnea tidur dan telinga berdengung. Ia mungkin disebabkan oleh kehilangan oksigen yang merosakkan sel-sel di telinga yang berlaku kepada penghidap apnea tidur.
Ia juga mungkin disebabkan oleh terdedah kepada bunyi yang kuat pada tempoh masa yang panjang, seperti berdengkur. Ia boleh menyebabkan kehilangan pendengaran dan mengakibatkan tinitus.
Kaitan yang tepat masih tidak jelas, tetapi merawat apnea tidur kadangkala boleh membantu melegakan gejala telinga berdengung.
Rujukan
- Chopra, A. et al. (2016). Sleep Apnea Is Associated with Hearing Impairment: The Hispanic Community Health Study/Study of Latinos. Journal of clinical sleep medicine.
- Chauhan, P. et al. (2022). Obstructive Sleep Apnea and Hearing Loss: Is There Any Correlation?. International archives of otorhinolaryngology.
- Lu, C. T. et al. (2022). Obstructive Sleep Apnea and Auditory Dysfunction-Does Snoring Sound Play a Role?. Diagnostics.