Tidak dapat dinafikan tidur semasa hamil boleh menjadi lebih sukar. Keadaan ini bertambah sukar jika anda mengalami apnea tidur semasa hamil.
Sama ada anda sedar atau tidak, anda mungkin mengalami perubahan yang jelas daripada berdengkur lembut kepada kuat, dan juga jeda atau gangguan pernafasan. Keadaan ini dikenali sebagai apnea tidur.
Dianggarkan bahawa 26% wanita hamil mengalami apnea tidur. Walaupun wanita hamil berisiko lebih tinggi untuk mengalami apnea tidur akibat perubahan badan, keadaan ini sering tidak didiagnosis atau tidak dirawat. [1]
Ketahui dengan lebih lanjut apakah punca apnea tidur semasa hamil dan bagaimana ia boleh menjejaskan kehamilan dan perkara yang boleh dilakukan untuk merawat keadaan tersebut dengan berkesan untuk memastikan kesihatan ibu dan anak.
Apa itu Apnea Tidur Obstruktif?
Apnea tidur obstruktif ialah keadaan di mana anda berhenti bernafas secara berulang-ulang semasa tidur. Ia mengganggu tidur anda.
Ia berlaku apabila saluran pernafasan atas anda termasuk pangkal lidah dan lelangit lembut anda tersekat atau runtuh separa atau lengkap pada waktu malam, menghentikan pernafasan anda selama 10 saat atau lebih lama.
Keadaan ini berlaku beratus-ratus kali sepanjang malam. Apabila pernafasan anda bermula semula, anda mungkin berdengkur dengan kuat, tercungap-cungap atau tercekik semasa tidur.
Punca yang Menyebabkan Apnea Tidur Semasa Hamil?
Perubahan hormon boleh menyebabkan apnea tidur semasa hamil.
Hormon estrogen dan progesteron meningkat bagi setiap trimester. Progesteron secara khususnya merangsang reseptor tertentu dalam otak yang membantu memacu pernafasan dan penggunaan oksigen anda.
Hormon progesteron yang lebih tinggi juga mengaktifkan otot, yang boleh mengendurkan saluran pernafasan anda dan menyumbang kepada apnea tidur.
Tambahan daripada itu juga, apabila berat badan anda bertambah, ia boleh memberi lebih tekanan pada saluran pernafasan anda, menjadikannya lebih sukar untuk bernafas pada waktu malam.
Rahim dan bayi anda yang sedang berkembang juga memberi tekanan pada paru-paru anda, mengurangkan jumlah udara dan meningkatkan kadar pernafasan anda.
Apakah Risiko Apnea Tidur Semasa Hamil?
Apnea tidur ialah sejenis gangguan tidur yang menyebabkan anda tidak dapat tidur dengan nyenyak. Akibatnya, anda mungkin berasa mengantuk atau penat pada keesokkan harinya.
Untuk Ibu
Umumnya, jika tidak dirawat, apnea tidur boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan anda kerana apabila pernafasan anda terhenti, tahap oksigen dalam darah anda menurun, dan kadar denyutan jantung anda meningkat.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kepada beberapa masalah kesihatan seperti:
- Penyakit jantung
- Strok
- Diabetes
- Tekanan darah tinggi
- Kemurungan
- Hilang ingatan
- Kolesterol tinggi
- Asma
- Sistem imun lemah
- Refluks asid
Secara khususnya, bagi wanita hamil, apnea tidur boleh meningkatkan risiko kepada hipertensi tinggi semasa hamil dan diabetes semasa hamil. [2]
Untuk Bayi
Oleh sebab jeda semasa bernafas dengan apnea tidur boleh menyebabkan lonjakan tekanan darah, ia boleh menyebabkan perubahan dalam saluran darah anda, mengurangkan jumlah darah yang dipam oleh jantung anda.
Ini boleh menjejaskan aliran darah kepada bayi anda, yang boleh menyebabkan penurunan paras oksigen bayi.
Keadaan ini boleh menyebabkan kadar jantung bayi anda menurun atau asidosis.
Ia juga boleh menyumbang kepada sekatan pertumbuhan janin, keadaan di mana bayi anda tidak membesar di dalam rahim seperti yang dijangkakan, menyebabkan mereka menjadi lebih kecil daripada usia kehamilan mereka.
Selain itu, gangguan tidur semasa kehamilan juga boleh mengurangkan pelepasan hormon tumbesaran. Akibatnya, ia boleh menyebabkan isu tumbesaran seperti kelahiran pramatang atau masalah kesihatan kepada bayi baru lahir.
Siapakah yang Lebih Cenderung untuk Mengalami Apnea Tidur?
Semua wanita hamil boleh mengalami apnea tidur obstruktif.
Walau bagaimanapun, anda lebih berisiko sekiranya anda mengalami obesiti, berat badan naik terlalu laju semasa kehamilan atau menghidap diabetes semasa hamil (diabetes gestasi). [1]
Anda juga cenderung untuk mengalami apnea tidur ini jika memiliki leher yang lebar atau
Gejala-gejala yang Menunjukkan Anda Mengalami Apnea Tidur
Wanita yang mengalami apnea tidur semasa hamil mengalami gejala yang serupa dengan keadaan apabila ia berlaku dalam konteks lain. Gejala-gejala ini termasuklah:
- Berdengkur
- Pernafasan terhenti atau sesak nafas ketika tidur
- Bangun dengan tercekik, mendengus atau tercungap-cungao
- Mengantuk yang berlebihan pada siang hari
- Kerap kencing pada waktu malam
Rawatan Bagi Apnea Tidur Obstruktif Semasa Hamil
Rawatan bagi apnea tidur obstruktif ini bergantung kepada keterukan apnea tidur tersebut dan gejala-gejala yang berlaku kepada anda.
Doktor mungkin akan mengesyorkan anda mulakan dengan jalur pernafasan berpelekat, yang membantu membuka lubang hidung untuk membantu anda bernafas semasa anda tidur.
Mereka juga mungkin mengesyorkan beberapa perubahan diet untuk membantu anda menambah berat badan pada kadar yang sihat sepanjang kehamilan anda.
Bagi kes-kes yang lebih serius, doktor mungkin mempreskripsikan:
- Tampalan apnea tidur
- Alat mulut khas
- Tekanan salur udara positif berterusan (CPAP)
Kajian turut melaporkan bahawa rawatan CPAP terhadap wanita yang mengalami apnea tidur obstruktif ringan hingga sederhana dan kehamilan berisiko tinggi menunjukkan penurunan terhadap tekanan darah tinggi diastolik dan kejadian preeklampsia. [3]
Rujukan
- Dominguez, J. E. et al. (2018). Management of Obstructive Sleep Apnea in Pregnancy. Obstetrics and gynecology clinics of North America.
- Lungeanu-Juravle, L. et al. (2016). The Role of Obstructive Sleep Apnea in Developing Gestational Hypertension and Preeclampsia. Maedica.
- Tantrakul, V. et al. (2023). Treatment of obstructive sleep apnea in high risk pregnancy: a multicenter randomized controlled trial. Respir Res.