Insomnia atau gangguan tidur adalah gangguan yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk tidur, sukar untuk kekal tidur atau terjaga terlalu awal dan sukar untuk tidur kembali.
Gangguan ini boleh terjadi pada satu jangka masa pendek (akut) atau dalam satu jangka masa yang panjang (kronik).
Gangguan tidur ini boleh mendatangkan kesan negatif terhadap emosi, kesihatan, prestasi kerja serta kualiti hidup mereka yang mengalaminya.
Setiap orang dewasa memerlukan tidur sebanyak 7 hingga 8 jam sehari. Manakala, remaja dan kanak-kanak di alam persekolahan memerlukan tidur masing-masing sekitar 8-10 jam dan 9-12 jam.

Insomnia akut hanya berlaku dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu dan ia lazimnya tidak melibatkan masalah kesihatan lain.
Insomnia kronik pula berlaku sekurang-kurangnya selama sebulan atau lebih dan berkait rapat dengan masalah kesihatan yang lain. Contohnya seperti kemurungan, asma, kanser dan lain-lain.
Simptom-simptom Insomnia
Selain sukar untuk melelapkan mata, beberapa simptom lain yang mungkin turut dialami oleh mereka yang mengalami gangguan ini adalah seperti:
- Terjaga ditengah-tengah malam.
- Terjaga terlalu awal.
- Rasa letih sewaktu bangun tidur.
- Mengantuk dan letih di siang hari.
- Kemurungan, keresahan dan rasa tidak selesa.
- Sukar untuk memberi tumpuan atau sering lupa.
- Sentiasa rasa bimbang mengenai tidur.
Punca atau Penyebab
Punca atau penyebab kepada gangguan tidur ini bergantung kepada jenis yang dialami.
Bagi insomnia akut atau jangka pendek, beberapa perkara yang boleh menjadi punca adalah:
- Tekanan (stres).
- “Jet lag“.
- Perubahan kepada tabiat tidur atau syif kerja.
- Mengalami peristiwa besar seperti kematian, perceraian atau kehilangan kerja.
- Kesakitan anggota badan.
Manakala, punca bagi insomnia kronik pula adalah seperti:
- Tekanan (stres).
- Jadual kerja dan perjalanan rentas negara yang berbeza zon waktu.
- Tabiat tidur yang tidak mengikut waktu yang tetap.
- Makan terlalu banyak sebelum tidur.
Insomnia kronik juga boleh berkait rapat dengan masalah kesihatan atau penggunaan ubat-ubat tertentu. Antara beberapa perkara yang boleh menjadi punca tambahan kepada gangguan tidur ini adalah:
- Kecelaruan keresahan, kemurungan atau kecelaruan tekanan pasca-trauma
- Penggunaan ubat tertentu seperti ubat asma atau tekanan darah.
- Masalah kesihatan seperti kanser, asma, penyakit jantung, kencing manis, tiriod, GERD, Parkinson dan Alzheimer.
- Apnea tidur.
- Minum arak dan kopi sebelum tidur.
- Merokok sebelum tidur.
Golongan Yang Berisiko
Semua orang pada asasnya berisiko untuk mengalami masalah gangguan tidur ini, namun terdapat beberapa golongan yang lebih berisiko untuk mengalami insomnia.
Antaranya adalah:
- Warga tua yang berusia lebih 60 tahun.
- Wanita haid atau putus haid (menopaus).
- Mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan fizikal.
- Pekerja yang mempunyai syif tidak teratur.
- Mereka yang mengalami tekanan (stres).
Rawatan Insomnia
Terdapat beberapa kaedah rawatan yang diberikan berdasarkan jenis insomnia yang dialami oleh pesakit.
Bagi insomnia akut, lazimnya pesakit tidak memerlukan rawatan. Cukup sekadar mengamalkan langkah-langkah berikut:
- Mengubah tabiat tidur.
- Menguruskan tekaan atau masalah yang dihadapi.
- Meninggalkan minuman atau makanan yang boleh menganggu tidur.
Sekiranya gangguan ini mengakibatkan keletihan atau keletihan kepada pesakit di siang hari untuk menjalani aktiviti harian, doktor mungkin akan mempreskripsikan pil tidur.
Rawatan Terapi
Bagi insomnia kronik pula, doktor mungkin akan berbincang dengan pesakit untuk rawatan yang sesuai. Pesakit mungkin perlu menjalani beberapa kaedah rawatan sebelum menemui kaedah yang paling berkesan.
Terapi tingkah laku kognitif adalah salah satu kaedah rawatan insomnia kronik yang utama bagi orang dewasa.
Terapi ini melibatkan pendidikan dan latihan yang membantu pesakit mengubah cara hidup yang boleh mengganggu tidur mereka. Terapi ini boleh membantu menyingkirkan pemikiran negatif dan kebimbangan yang membuatkan pesakit berjaga malam.
Bagi gangguan tidur yang melibatkan masalah psikologi, rawatan yang bersesuai boleh menangani masalah ini.
Rawatan Ubat-ubatan
Kadang-kadang ubat-ubatan mungkin diperlukan untuk merawat insomnia.
Pil tidur yang dipreskripsi boleh membantu pesakit untuk tidur. Namun begitu, pesakit tidak disarankan untuk bergantung kepada ubat ini pada jangka masa yang lama.
Antara ubat-ubatan yang boleh digunakan adalah:
- Eszopiclone (Lunesta)
- Ramelteon (Rozerem)
- Zaleplon (Sonata)
- Zolpidem (Ambien, Edluar, Intermezzo, Zolpimist)
Harus diingat juga bahawa ubat-ubatan yang dipreskripsi ini mempunyai kesan sampingan. Berbincanglah dengan doktor sebelum menggunakannnya.
Rawatan di Rumah Untuk Insomnia
Insomnia adalah gangguan yang boleh diubati. Resepi asasnya adalah disiplin dan konsisten.
Beberapa petua atau rawatan dirumah yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
- Tidur dan bangun pada waktu yang sama. Amalan tidur dan bangun pada waktu yang sama pada setiap hari boleh mengelakkan gangguan pada kitaran tidur.
- Kenalpasti ubat anda. Rujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan pengesahan sekiranya anda mengesyaki ubat anda menyebabkan anda sukar tidur.
- Hindari minuman berkafein, arak dan rokok. Hindari atau kurangkan 3 perkara ini pada waktu malam untuk memudahkan anda tidur malam.
- Jangan makan berat sebelum tidur. Sila makan malam sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur.
- Kurangkan tidur disiang hari.
- Jadikan bilik tidur selesa untuk tidur.
- Menggunakan kaedah aromaterapi. Aromaterapi menggunakan minyak pati lavender boleh membantu tidur yang lebih lama.
Sukar Tidur Ketika Hamil
Insomnia ketika hamil adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi ketika kandungan berada pada fasa trimester pertama dan ketiga.
Perubahan hormon, loya, sakit belakang, kejang otot dan kerap membuang air kecil juga merupakan beberapa faktor yang sering dialami oleh wanita hamil.
Adalah normal bagi seseorang wanita hamil mengalami insomnia kerana dalam tempoh ini badan mengalami banyak perubahan. Beberapa amalan yang boleh membantu menangani masalah sukar tidur ini adalah seperti berikut:
- Kekal aktif seperti melakukan senaman ringan.
- Mengamalkan diet yang sihat.
- Minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
- Tidur pada waktu yang sama setiap hari.
Rumusan
Insomnia adalah gangguan tidur yang boleh dirawat. Bagi insomnia akut, beberapa perubahan terhadap gaya hidup boleh membantu mengatasi masalah ini.
Manakala bagi insomnia kronik, rawatan seperti terapi dan ubat-ubatan boleh membantu pesakit untuk pulih daripada gangguan ini.
Selain itu, pesakit boleh mengambil beberapa inisiatif sendiri untuk pulih daripada gangguan ini.
Contohnya mewujudkan suasana positif dan berdisiplin dalam melakukan perubahan dalam diri. Melalui cara ini, peratusan untuk pesakit sembuh adalah tinggi.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2017). How Much Sleep Do I Need?
- Peir Hossein Koulivand,Maryam Khaleghi Ghadiri & Ali Gorji. (2013). Lavender and the Nervous System. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine .
- Roth T. (2007). Insomnia: definition, prevalence, etiology, and consequences. Journal of clinical sleep medicine : JCSM : official publication of the American Academy of Sleep Medicine.