Kematian Berkaitan dengan Apnea Tidur
Gangguan tidur seperti apnea tidur tidak harus dipandang ringan kerana terdapat data yang menunjukkan bahawa apnea tidur mempunyai kaitan dengan kematian.
Di Amerika Syarikat, Persatuan Apnea Tidur Amerika menanggarkan kira-kira 38,000 orang di Amerika Syarikat mati setiap tahun akibat penyakit jantung dengan apnea tidur sebagai faktor yang merumitkan.
Di Malaysia, gangguan tidur seperti apnea tidur semakin meruncing di mana sekitar 15% hingga 30% rakyat di Malaysia menghidapi apnea tidur.
Kajian yang diterbitkan oleh Jurnal Perubatan Respiratori Lancet 2019 pula menunjukkan kira-kira 77.2% rakyat Malaysia dianggarkan mengalami apnea tidur obstruktif ringan dan 33.8% rakyat Malaysia mengalami apnea tidur obstruktif yang teruk. [1]
Penghidap apnea tidur mengalami kesukaran bernafas atau pernafasan terhenti buat seketika semasa tidur. Gangguan tidur ini boleh dirawat tetapi selalunya ia tidak didiagnosa.
Apnea tidur ini lebih banyak berlaku kepada orang lelaki berbanding wanita. Kanak-kanak juga boleh mengalami apnea tidur.
Sekiranya tidak dirawat, apnea tidur boleh membawa kepada komplikasi yang serius seperti:
- Tekanan darah tinggi
- Strok
- Asma
- Penyakit jantung
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD)
Bahaya Apnea Tidur yang Tidak Dirawat
Apnea tidur menyebabkan paras oksigen dalam badan menjadi rendah. Apabila keadaan ini berlaku, badan anda menjadi tertekan dan bertindak dengan respons lawan atau lari.
Akibatnya jantung anda akan berdenyut kencang dan arteri akan menyempit.
Kesannya,
- Tekanan darah tinggi
- Kadar jantung tinggi
- Isipadu darah tinggi
- Lebih keradangan dan tekanan
Kesan ini meningkatkan risiko masalah kardiovaskular.
Satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine mendapati menghidap apnea tidur boleh meningkatkan risiko terhadap strok sebanyak 2 atau 3 kali ganda. [2]
Satu kajian lain yang melibatkan 10,701 individu dewasa mendapati penghidap apnea berisiko tinggi untuk mati akibat daripada komplikasi berkaitan jantung. Kajian ini juga mendapati apnea tidur boleh meningkatkan risiko kematian jantung secara tiba-tiba. [3]
Gejala-gejala atau Simptom-simptom Apnea Tidur
Apnea tidur mempunyai gejala-gejala atau simptom seperti berikut:
- Berdengkur dengan kuat
- Pernafasan terhenti
- Mendengus
- Mulut kering
- Batuk atau sakit tekak
- Insomnia
- Mengantuk dan kelesuan pada waktu siang
- Perlu tidur dengan kepala perlu ditinggikan
- Perubahan mood
- Masalah ingatan
- Kerengsaan atau kemurungan
Berdengkur Tidak Semestinya Anda Menghidap Apnea Tidur
Berdengkur adalah gejala yang paling popular atau diketahui ramai.
Walau bagaimanapun, tidak semua penghidap apnea tidur berdengkur. Begitu juga sekiranya anda berdengkur, tidak semestinya anda menghidap apnea tidur.
Berdengkur juga boleh disebabkan masalah lain seperti hidung tersumbat, jangkitan hidung atau tonsil besar.
Rawatan Apnea Tidur
Rawatan untuk apnea tidur menggunakan peranti perubatan yang memberikan tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) boleh membantu merawat apnea tidur.
Selain itu, peranti lain yang boleh membantu merawat apnea tidur adalah peranti yang membekalkan tekanan salur udara dwipositif (BIPAP).
Bagi kes-kes yang teruk, doktor atau pegawai perubatan mungkin akan mengesyorkan pembedahan untuk merawat gangguan tidur ini.
Selain itu, beberapa pendekatan lain yang boleh membantu merawat apnea tidur adalah:
- Mengurangkan berat badan
- Berhenti merokok
- Berhenti meminum alkohol (arak)
- Bersenam
- Elakkan ubat pelali atau sedatif
- Elakkan pil tidur
- Ubah posisi tidur
- Menggunakan pelembap udara
- Menggunakan dekongestan hidung
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Besar kemungkinan, anda tidak menyedari bahawa anda mengalami apnea tidur.
Pasangan anda atau ahli keluarga lain mungkin menyedari bahawa anda berdengkur, berdengus, atau berhenti bernafas semasa tidur atau anda bangun secara tiba-tiba.
Jadi, sila berjumpa doktor sekiranya anda mengesyaki anda menghidap apnea tidur. Maklumkan kepada doktor gejala-gejala yang anda alami.
Rujukan
- Benjafield, A. V. et al. (2019). Estimation of the global prevalence and burden of obstructive sleep apnoea: a literature-based analysis. The Lancet. Respiratory medicine.
- Redline, S. et al. (2010). Obstructive sleep apnea-hypopnea and incident stroke: the sleep heart health study. American journal of respiratory and critical care medicine.
- Gami, A. S. et al. (2013). Obstructive sleep apnea and the risk of sudden cardiac death: a longitudinal study of 10,701 adults. Journal of the American College of Cardiology.