Menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran mereka. Terdapat pelbagai cara untuk membantu anak anda dan salah satunya adalah melalui pemberian makanan yang boleh menguatkan ingatan.
Selain makanan yang meningkatkan fokus belajar, terdapat juga makanan yang boleh membantu meningkatkan ingatan atau memori. Makanan jenis ini boleh membantu menguatkan daya ingatan dan mencegah kemerosotan ingatan.
Justeru itu, penjagaan makanan juga perlu dititikberatkan sekiranya anda ingin membantu anda untuk menjadi pelajar yang cemerlang.
Berikut adalah makanan-makanan yang boleh membantu menguatkan ingatan atau memori seseorang tidak kira pada usia kanak-kanak, remaja atau dewasa:
1. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah kumpulan ikan yang mengandungi asid lemak Omega-3 (minyak ikan) yang tinggi.
Asid lemak Omega-3 ini adalah lemak taktepu yang sihat yang boleh membantu menambahbaik struktur sel-sel otak yang dipanggil neuron.
Satu kajian terkini yang melibatkan kanak-kanak dan remaja melaporkan bahawa pengambilan suplemen Omega-3 (DHA dan EPA) pada dos 450 mg dan ke atas boleh meningkatkan kognisi. [1]
Antara ikan-ikan yang tinggi dengan Omega-3 adalah:
- Ikan salmon
- Ikan tuna atau ikan tongkol
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Ikan lolong
- Ikan tenggiri
- Ikan bilis
Kosa Kata: Kognisi
Kognisi adalah istilah yang merujuk kepada proses mental yang terlibat dalam memperoleh pengetahuan dan kefahaman. Beberapa proses kognitif adalah seperti berfikir, mengetahui, mengingat, menilai, dan menyelesaikan masalah.
2. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Mungkin ramai kanak-kanak yang tidak menyukai sayur-sayuran hijau kerana rasa pahit atau tidak enak.
Walau bagaimanapun, sayur-sayuran berdaun hijau adalah makanan yang baik untuk menguatkan daya ingatan.
Sayur-sayuran berdaun hijau ini kaya dengan pelbagai nutrien seperti antioksidan, vitamin K, vitamin C, folat, lutein dan lain-lain.
Satu kajian pada tahun 2018 melaporkan bahawa pengambilan 1 hidangan sayur-sayuran berdaun hijau setiap hari boleh memperlahankan kemerosotan kognitif yang seiring dengan peningkatan usia. [2]
Antara contoh sayur-sayuran berdaun hijau adalah:
- Kailan
- Bayam
- Brokoli
- Kubis
- Salad Rom (Romaine lettuce)
- Bok choy
3. Buah Strawberi dan Beri Biru
Buah strawberi dan beri biru adalah antara buah yang kaya dengan flavonoid. Flavonoid adalah pigmen yang memberi warna kepada buah-buah ini. Flavonoid juga turut bertindak sebagai antioksidan.
Flavonoid juga boleh membantu meningkatkan ingatan atau memori.
Kajian pada tahun 2007 telah menyediakan bukti kukuh bahawa pengambilan flavonoid dikaitkan dengan evolusi kognitif yang lebih baik, iaitu pemeliharaan prestasi kognitif selari dengan penuaan. [3]
Selain itu, terdapat juga bukti-bukti yang menunjukkan bahawa flavonoid yang terdapat dalam buah-buahan dan jus buah-buahan ini mempunyai kapasiti untuk meningkatkan daya ingatan. [4, 5, 6]
4. Kacang Walnut
Kekacang terutamanya kacang walnut juga adalah makanan atau snek yang baik untuk menguatkan ingatan.
Kacang walnut mengandungi pelbagai vitamin, mineral, antioksidan dan lemak yang sihat. Nutrien dan antioksidan ini menyumbang kepada kebaikan walnut kepada memori pemakannya.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati kacang walnut boleh meningkatkan ingatan (memori) dan pembelajaran bagi haiwan yang memakan kacang ini. [7]
Manakala, satu kajian semula pada tahun 2020 turut melaporkan bahawa pengambilan kacang walnut boleh meningkatkan fungsi kognitif dan ingatan (memori) dengan ketara. [8]
5. Teh dan Kopi
Minuman seperti teh dan kopi boleh membantu meningkatkan tumpuan dan menghilangkan rasa mengantuk.
Meminum kopi pada awal pagi bagi remaja dan belia didapati mempunyai kesan yang baik terhadap ingatan jangka panjang, tetapi kesan ini tidak berlaku pada waktu tengah hari. [9]
Walau bagaimanapun, pengambilan kopi atau minuman berkafein yang lain tidak digalakkan bagi kanak-kanak.
6. Coklat Pahit
Coklat pahit (dark chocolate) juga adalah makanan yang baik untuk menguatkan ingatan.
Kandungan koko dalam coklat pahit ini boleh memberi kesan positif terhadap daya ingatan. Koko ini mengandungi flavonoid yang memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan otak.
Satu kajian melaporkan bahawa flavonoid dalam koko boleh menggalakkan pertumbuhan neuron dan saluran darah di bahagian otak yang terlibat dengan ingatan dan pembelajaran. Mereka juga boleh merangsang aliran darah di dalam otak. [10]
Rumusan
Penjagaan makanan juga boleh membantu menguatkan ingatan bagi kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
Terdapat banyak makanan yang boleh membantu menguatkan daya ingatan atau memori dan antaranya adalah ikan berlemak, sayur-sayuran berdaun hijau, buah beri dan lain-lain lagi.
Bagi pelajar atau sesiapa sahaja yang ingin menguatkan ingatan dan ingin mencegah kemerosotan memori, amalkan makanan-makanan yang disenaraikan dalam artikel ini.
Rujukan
- van der Wurff, I. S. M. et al. (2020). Effect of Omega-3 Long Chain Polyunsaturated Fatty Acids (n-3 LCPUFA) Supplementation on Cognition in Children and Adolescents: A Systematic Literature Review with a Focus on n-3 LCPUFA Blood Values and Dose of DHA and EPA. Nutrients.
- Morris, M. C. et al. (2018). Nutrients and bioactives in green leafy vegetables and cognitive decline: Prospective study. Neurology.
- Letenneur, L. et al. (2007). Flavonoid intake and cognitive decline over a 10-year period. American journal of epidemiology.
- Spencer J. P. (2008). Food for thought: the role of dietary flavonoids in enhancing human memory, learning and neuro-cognitive performance. The Proceedings of the Nutrition Society.
- Shukitt-Hale, B. et al. (2008). Berry fruit supplementation and the aging brain. Journal of agricultural and food chemistry.
- Joseph, J. A. et al. (1999). Reversals of age-related declines in neuronal signal transduction, cognitive, and motor behavioral deficits with blueberry, spinach, or strawberry dietary supplementation. The Journal of neuroscience.
- Haider, S. et al. (2011). Effects of walnuts (Juglans regia) on learning and memory functions. Plant foods for human nutrition.
- Chauhan, A., & Chauhan, V. (2020). Beneficial Effects of Walnuts on Cognition and Brain Health. Nutrients.
- Sherman, S. M. et al. (2016). Caffeine Enhances Memory Performance in Young Adults during Their Non-optimal Time of Day. Frontiers in psychology.
- Nehlig A. (2013). The neuroprotective effects of cocoa flavanol and its influence on cognitive performance. British journal of clinical pharmacology.