Mungkin ada antara kita yang mengalami kesukaran untuk fokus ketika belajar terutamanya ketika musim peperiksaan. Oleh itu, anda mencari sesuatu untuk membantu anda fokus seperti makanan. Ya, terdapat makanan yang boleh membantu anda untuk fokus ketika belajar.
Mungkin ramai yang memilih makanan sebagai teman mereka semasa mengulang kaji pelajaran. Namun, pemilihan makanan yang betul juga penting kerana tidak semua makanan boleh membantu anda untuk fokus.
Bagi membantu anda membuat pemilihan yang betul, kami senaraikan makanan untuk fokus ketika belajar atau mengulang kaji pelajaran.
1. Kopi
Jika kopi adalah minuman kegemaran anda, maka anda beruntung!
Kopi mengandungi kafein dan antioksidan yang boleh membantu menyokong kesihatan otak.
Kafein dalam kopi boleh membantu meningkatkan kepekaan anda. Kafein boleh mengekalkan otak kekal peka dengan menghalang adenosina iaitu pengutus kimia yang membuatkan anda mengantuk. [1]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati mengambil kafein boleh menyebabkan peningkatan dari segi tumpuan dan kecerdasan bagi peserta yang menyelesaikan ujian kognisi. [2]
2. Jus Buah
Glukosa adalah salah satu sumber “minyak” kepada otak anda.
Salah satu cara cepat atau ringkas untuk anda mendapatkan gula ini adalah dengan meminum segelas jus oren atau jus buah yang lain untuk meningkatkan memori, pemikiran dan keupayaan mental.
Tambahan itu, jus buah seperti jus oren atau jus jambu batu adalah tinggi dengan vitamin C. Vitamin C adalah vitamin yang boleh memainkan peranan penting dalam mencegah kemerosotan mental. [3]
Menurut satu kajian, mempunyai paras vitamin C yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan peningkatan dalam tugasan yang melibatkan tumpuan, ingatan, perhatian, dan kelajuan membuat keputusan. [4]
Namun, pengambilan minuman jenis ini perlulah dikawal kerana kandungan gulanya yang tinggi.
3. Ikan
Ikan juga adalah makanan yang baik untuk meningkatkan fokus kerana kandungan asid lemak Omega-3.
Ikan seperti ikan tenggiri, ikan kembung, ikan sardin, ikan bilis atau ikan salmon adalah sumber yang tinggi dengan kandungan Omega-3.
Otak anda menggunakan Omega-3 untuk membina sel otak dan saraf, dan lemak ini penting untuk pembelajaran dan ingatan. [5]
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang makan ikan secara kerap cenderung untuk mempunyai lebih banyak jirim kelabu di dalam otak mereka. [6]
Jirim kelabu mengandungi paling banyak sel-sel saraf yang mengawal memori, emosi dan membuat keputusan.
4. Beri Biru
Beri biru adalah antara makanan yang baik untuk meningkatkan tumpuan atau fokus. Malah, ia boleh dijadikan kudapan (snek) semasa anda mengulang kaji pelajaran.
Beri biru kaya dengan antioksidan dan sesetengah antioksidan ini didapati berkumpul di dalam otak dan membantu meningkatkan komunikasi antara sel-sel otak. [7]
Menurut satu kajian semula yang melibatkan 11 kajian, beri biru boleh membantu meningkatkan memori dan proses kognitif tertentu bagi kanak-kanak dan orang tua. [8]
5. Coklat Pahit
Coklat pahit (dark chocolate) adalah coklat yang mempunyai kandungan koko sebanyak 70% atau lebih.
Coklat pahit mengandungi flavonoid iaitu sebatian antioksidan dalam tumbuhan.
Flavonoid dalam coklat berkumpul di kawasan otak yang berurusan dengan pembelajaran dan ingatan. Penyelidik percaya bahawa sebatian ini boleh meningkatkan ingatan dan juga membantu melambatkan kemerosotan mental yang berkaitan dengan usia. [9,10]
Satu kajian yang melibatkan lebih 900 peserta mendapati mereka yang memakan coklat secara kerap menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam beberapa siri tugasan mental, termasuk yang melibatkan ingatan, berbanding mereka yang jarang memakannya. [11]
6. Telur
Telur juga merupakan sumber makanan yang baik untuk membantu anda fokus semasa belajar atau mengulang kaji pelajaran.
Telur mengandungi pelbagai nutrien yang berkhasiat kepada kesihatan otak seperti vitamin B6, B9, B12 dan kolina.
Kolina adalah nutrien penting yang digunakan oleh badan untuk menghasilkan neurotransmiter yang membantu mengawal emosi dan ingatan.
Kajian turut mendapati pengambilan kolina yang tinggi boleh membantu meningkatkan memori dan fungsi otak. [12]
Pastikan anda memakan kuning telur kerana kolina adalah paling banyak di bahagian ini.
7. Teh Hijau
Selain kopi, teh hijau juga adalah minuman yang boleh membantu anda meningkatkan tumpuan dan fungsi otak.
Malah, ia telah terbukti boleh meningkatkan kepekaan, prestasi, memori dan fokus. [13]
Tambahan lagi, teh hijau mengandungi asid amino yang dikenali sebagai L-theanine. Asid amino ini didapati boleh membantu mengurangkan stres dan keresahan. [14]
8. Kekacang
Kekacang seperti kacang badam, kacang hazel, kacang pekan, kacang pistasio adalah antara kekacang yang baik jika dijadikan kudapan atau snek.
Satu kajian mendedahkan bahawa mereka yang memakan kekacang secara kerap pada satu jangka masa yang lama mempunyai ingatan yang lebih tajam berbanding mereka yang tidak memakan kekacang. [15]
9. Brokoli
Brokoli adalah antara sayur yang padat dengan pelbagai nutrien dan antioksidan. Sayur ini juga adalah sangat tinggi dengan vitamin K.
Vitamin K adalah vitamin yang penting untuk menghasilkan sejenis lemak yang terkumpul di dalam sel-sel otak.
Satu kajian yang melibatkan golongan berusia mendapati pengambilan vitamin K yang tinggi boleh meningkatkan ingatan dan daya fikir. [16]
Jangan Lupa untuk Bersarapan
Akhir sekali, jika anda ingin mempunyai tumpuan (fokus) yang baik semasa belajar atau melakukan sesuatu, pastikan anda sentiasa bersarapan pagi.
Terdapat kajian yang mendapati mereka yang bersarapan mempunyai mempunyai memori jangka pendek dan tumpuan yang lebih baik. [17]
Walau bagaimanapun, pemilihan makanan semasa sarapan juga penting. Elakkan makanan yang berat atau makanan yang tinggi kalori.
Rujukan
- Cappelletti, S. et al. (2015). Caffeine: cognitive and physical performance enhancer or psychoactive drug?. Current neuropharmacology.
- Pasman, W. J. et al. (2017). Effect of Caffeine on Attention and Alertness Measured in a Home-Setting, Using Web-Based Cognition Tests. JMIR research protocols.
- Travica, N. et al. (2017). Vitamin C Status and Cognitive Function: A Systematic Review. Nutrients.
- Travica, N. et al. (2019). Plasma Vitamin C Concentrations and Cognitive Function: A Cross-Sectional Study. Frontiers in aging neuroscience.
- Rathod, R. et al. (2016). Novel insights into the effect of vitamin B₁₂ and omega-3 fatty acids on brain function. Journal of biomedical science.
- Kokubun, K. et al. (2020). Fish Intake May Affect Brain Structure and Improve Cognitive Ability in Healthy People. Frontiers in aging neuroscience.
- Kalt, W. et al. (2020). Recent Research on the Health Benefits of Blueberries and Their Anthocyanins. Advances in nutrition.
- Hein, S. et al. (2019). Systematic Review of the Effects of Blueberry on Cognitive Performance as We Age. The journals of gerontology.
- Grassi, D. et al. (2016). Flavanol-rich chocolate acutely improves arterial function and working memory performance counteracting the effects of sleep deprivation in healthy individuals. Journal of hypertension.
- Flanagan, E. et al. (2018). Impact of Flavonoids on Cellular and Molecular Mechanisms Underlying Age-Related Cognitive Decline and Neurodegeneration. Current nutrition reports.
- Crichton, G. E. et al. (2016). Chocolate intake is associated with better cognitive function: The Maine-Syracuse Longitudinal Study. Appetite.
- Nurk, E. et al. (2013). Plasma free choline, betaine and cognitive performance: the Hordaland Health Study. The British journal of nutrition.
- Dietz, C., & Dekker, M. (2017). Effect of Green Tea Phytochemicals on Mood and Cognition. Current pharmaceutical design.
- Williams, J. L. et al. (2020). The Effects of Green Tea Amino Acid L-Theanine Consumption on the Ability to Manage Stress and Anxiety Levels: a Systematic Review. Plant foods for human nutrition.
- O’Brien, J. et al. (2014). Long-term intake of nuts in relation to cognitive function in older women. The journal of nutrition, health & aging.
- Soutif-Veillon, A. et al. (2016). Increased dietary vitamin K intake is associated with less severe subjective memory complaint among older adults. Maturitas.
- Adolphus, K. et al. (2013). The effects of breakfast on behavior and academic performance in children and adolescents. Frontiers in human neuroscience.