Coklat pahit mempunyai khasiat yang tersendiri. Jika diambil secara bersederhana, ia boleh membekalkan antioksidan dan mineral yang boleh melindungi badan daripada penyakit-penyakit kronik.
Apa itu Coklat Pahit?
Coklat pahit atau mungkin lebih popular dengan nama dark chocolate adalah coklat yang mengandungi 70-85% koko.
Coklat pahit biasanya berwarna lebih gelap kerana kandungan koko yang lebih tinggi daripada coklat biasa. Selain itu, rasanya juga lebih pahit berbanding coklat lain.
Kandungan koko yang lebih tinggi dalam coklat ini menjadi penyumbang utama kepada khasiat dan kebaikannya.
Berikut adalah khasiat-khasiat coklat pahit (dark chocolate) berdasarkan sokongan-sokongan penyelidikan:
1. Kaya dengan Nutrien
Sekiranya anda membeli coklat pahit yang berkualiti dengan kandungan koko yang tinggi, maka ia cukup berkhasiat.
Sebagai contoh, bagi 100 gram coklat pahit yang mengandungi 70-85% kandungan koko, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 598 kcal
- Protein: 7.8 gram
- Karbohidrat: 45.9 gram
- Serat: 10.9 gram
- Kalsium: 73 miligram
- Zat besi: 11.9 miligram
- Magnesium: 228 miligram
- Fosforus: 308 miligram
- Kalium: 715 miligram
- Zink: 3.31 miligram
- Tembaga: 1.77 miligram
- Mangan: 1.95 miligram
- Selenium: 6.8 mikrogram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.08 miligram
- Vitamin B3: 1.05 miligram
- Vitamin B5: 0.42 miligram
- Vitamin B6: 0.04 miligram
- Vitamin B12: 0.28 mikrogram
- Vitamin A: 2 mikrogram
- Vitamin E: 0.59 miligram
- Vitamin K: 7.3 mikrogram
Profil nutrien ini menunjukkan bahawa coklat pahit tinggi dengan kandungan serat, zat besi, fosforus, zink dan selenium.
2. Mengandungi Antioksidan
Coklat pahit juga mengandungi antioksidan yang kuat seperti epikatekin, katekin, kuersetin, antosianin, luteolin, naringenin, asid kafeik dan lain-lain lagi.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
3. Membantu Mengawal Paras Kolesterol
Memakan coklat pahit juga boleh membantu mengawal paras kolesterol seperti menurunkan paras kolesterol jahat.
Berdasarkan satu kajian kecil, memakan coklat pahit yang ditambah dengan antioksidan likopena didapati dapat mengurangkan tahap kolesterol total, kolesterol LDL dan trigliserida dengan ketara. [2]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa menyertakan coklat pahit dalam diet tanpa melebihi keperluan kalori harian boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat). [3]
4. Membantu Merendahkan Tekanan Darah
Coklat pahit juga berkhasiat dalam membantu merendahkan tekanan darah dan meningkatkan aliran darah.
Khasiat ini mungkin disumbang oleh kandungan antioksidan (flavonoid) yang membantu mengendurkan arteri yang seterusnya mengurangkan tekanan darah.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa coklat pahit dan koko boleh menambah baik aliran darah dan merendahkan tekanan darah, walaupun kesannya tidak ketara. [4]
5. Membantu Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Salah satu khasiat terbesar memakan coklat pahit adalah mengurangkan risiko kepada penyakit jantung.
Satu kajian semula mendedahkan bahawa memakan coklat sebanyak 3 kali seminggu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 9%. Walau bagaimanapun, memakan coklat lebih kerap hanya menunjukkan sedikit manfaat tambahan. [5]
Kajian lain menunjukkan bahawa memakan 45 gram coklat setiap minggu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung sebanyak 11%. [6]
Meskipun begitu, mengambil lebih daripada 100 gram setiap minggu tidak mendatangkan manfaat kesihatan.
6. Boleh Melindungi Kulit
Kandungan nutrien dan antioksidan di dalam coklat pahit juga boleh membantu melindungi kulit anda daripada kerosakan akibat sinaran UV.
Satu kajian pada tahun 2009 mendedahkan bahawa memakan coklat yang kaya dengan flavanol (antioksidan) boleh melindungi kulit daripada sinaran UV seperti kemerahan. [7]
Kajian lain turut menunjukkan bahawa pengambilan coklat pahit yang tinggi flavanol atau koko selama 12 minggu boleh meningkatkan perlindungan kulit terhadap sinaran matahari. [8]
Selain itu, coklat pahit turut tinggi dengan mineral seperti zink yang boleh meningkatkan penghasilan kolagen iaitu protein yang membuatkan kulit anda kekal sihat dan anjal.
7. Membantu Meningkatkan Fungsi Otak
Memakan coklat pahit juga turut membantu meningkatkan fungsi otak dan mungkin boleh mencegah penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson.
Kajian kecil pada tahun 2018 menunjukkan bahawa flavanol yang terdapat dalam coklat pahit boleh meningkatkan neuroplasticity, iaitu keupayaan otak untuk menyusun semula dirinya, terutamanya sebagai tindak balas kepada kecederaan dan penyakit. [9]
Selain itu, coklat pahit juga turut mengandungi bahan perangsang seperti kafein dan theobromine yang boleh meningkatkan fungsi otak dalam jangka masa singkat. [10]
8. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Pengambilan coklat pahit juga turut bermanfaat kepada mereka yang mengalami masalah seperti rintangan insulin atau pradiabetes.
Rintangan insulin berlaku apabila sel-sel badan berhenti bertindak balas terhadap hormon insulin. Rintangan insulin boleh menyebabkan paras gula darah yang luar biasa tinggi, yang boleh menyebabkan pradiabetes dan diabetes jenis 2.
Kajian selama 6 bulan oleh pengkaji dari Mexico mendapati pengambilan 2 gram coklat pahit setiap hari boleh membantu menurunkan paras gula darah puasa dan mengurangkan rintangan insulin. [9]
9. Baik untuk Sistem Penghadaman
Coklat pahit juga berkhasiat kepada sistem penghadaman anda. Memakan coklat pahit bermanfaat kepada mikrob yang terdapat di dalam usus anda.
Khasiat ini dilaporkan oleh pengkaji dari Korea mendapati bahawa memakan coklat pahit dikaitkan dengan peningkatan dalam kepelbagaian mikrobiom usus. [11]
Syarat Pengambilan Coklat Pahit (Dark Chocolate)
Walaupun mempunyai banyak khasiat, pengambilan coklat pahit yang dijual secara komersial perlu terkawal.
Hal ini demikian kerana, coklat pahit ini turut tinggi dengan kalori, lemak dan gula.
Walaupun kandungan gulanya lebih rendah berbanding coklat susu atau coklat putih, namun pengambilannya pada kadar yang banyak mungkin boleh memberikan kesan yang tidak baik.
Kaedah terbaik untuk mengambil coklat pahit adalah pada kadar yang sederhana. Mungkin sekitar 30-60 gram seminggu sudah memadai.
Rumusan
Coklat pahit mempunyai banyak khasiat yang disumbang oleh kandungan koko yang tinggi.
Berdasarkan kajian-kajian, dapat disimpulkan bahawa coklat pahit baik untuk kesihatan jantung, otak, kulit dan usus.
Walau bagaimanapun,ia tidak bermakna anda boleh memakan secara banyak setiap hari kerana ia tinggi dengan kalori dan mudah untuk terlebih makan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Chocolate, dark, 70-85% cacao solids.
- Petyaev, I. M. et al. (2014). Reduction in blood pressure and serum lipids by lycosome formulation of dark chocolate and lycopene in prehypertension. Food science & nutrition.
- Lee, Y. et al. (2017). Effects of Dark Chocolate and Almonds on Cardiovascular Risk Factors in Overweight and Obese Individuals: A Randomized Controlled-Feeding Trial. Journal of the American Heart Association.
- Hooper, L. et al.(2012). Effects of chocolate, cocoa, and flavan-3-ols on cardiovascular health: a systematic review and meta-analysis of randomized trials. The American journal of clinical nutrition.
- Yuan, S. et al. (2017). Chocolate Consumption and Risk of Coronary Heart Disease, Stroke, and Diabetes: A Meta-Analysis of Prospective Studies. Nutrients.
- Ren, Y. et al. (2019). Chocolate consumption and risk of cardiovascular diseases: a meta-analysis of prospective studies. Heart.
- Williams, S. et al. (2009). Eating chocolate can significantly protect the skin from UV light. Journal of cosmetic dermatology.
- María Ángeles Martin & Sonia Ramos. (2021). Impact of cocoa flavanols on human health. Food and Chemical Toxicology
- Leyva-Soto, A. et al. (2018). Daily Consumption of Chocolate Rich in Flavonoids Decreases Cellular Genotoxicity and Improves Biochemical Parameters of Lipid and Glucose Metabolism. Molecules.
- Martínez-Pinilla, E. et al. (2015). The relevance of theobromine for the beneficial effects of cocoa consumption. Frontiers in pharmacology.
- Ji-Hee Shin, et al. (2022). Consumption of 85% cocoa dark chocolate improves mood in association with gut microbial changes in healthy adults: a randomized controlled trial. The Journal of Nutritional Biochemistry.