Khasiat ikan sardin – Ikan sardin adalah ikan laut daripada keluarga ikan herring, Clupeidea terutamanya daripada genus Sardina, Sadinops dan Sardinella. Nama sardin juga turut merujuk kepada ikan hering biasa atau ikan hering kecil yang ditin.
Ikan sardin dikatakan diberi nama sempena sebuah pulau di Itali iaitu Sardinia berikutan terdapat banyak ikan ini dikepulauan tersebut.
Di Malaysia, ikan sardin ini merujuk kepada ikan tamban bagi nama panggilan tempatan. Terdapat juga ikan selayang yang dipanggil selayang sardin walaupun daripada keluarga yang berbeza daripada ikan tamban.
Terdapat kira-kira 8 spesies ikan tamban iaitu:
- Tamban putih
- Tamban sisik putih
- Tamban sisik pipih
- Tamban sisik tajam
- Tamban sisik jalurmas
- Tamban sisik bali
- Tamban beluru siantan
- Tamban beluru tompok
Ikan sardin biasanya ditangkap untuk pelbagai kegunaan seperti untuk umpan, untuk pasar basah, untuk dikeringkan, dijadikan ikan masin, disalai atau ditinkan.
Di Malaysia, ikan sardin biasanya mudah diperolehi dalam bentuk dalam tin bersama sos tomato. Walaupun ikan ini tidak popular seperti ikan kembung atau ikan tenggiri, tetapi khasiat ikan sardin ini mungkin akan membuatkan anda menggemari ikan ini.
1. Kaya dengan Omega-3
Ikan sardin ialah sumber makanan yang baik untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan. Ini menjadikan ikan sardin tergolong dalam kumpulan ikan berlemak.
Asid lemak Omega-3 yang terdiri daripada EPA dan DHA ini mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan terutamanya dalam mengurangkan risiko penyakit jantung.
Dalam satu metaanalisis yang dijalankan terhadap 38 kajian yang melibatkan 149,051 peserta, asid lemak Omega-3 didapati boleh mengurangkan kematian akibat penyakit kardiovaskular, serangan jantung, penyakit jantung koronari dan jumlah kematian.
Kajian ini turut mendapati risiko penyakit kardiovaskular ini lebih ketara dengan monoterapi EPA sahaja berbanding gabungan EPA dan DHA. [1]
2. Sumber Protein yang Baik
Ikan sardin juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan protein. Bagi setiap 100 gram ikan sardin dalam tin, terdapat kira-kira 21 gram protein yang boleh diperolehi. [2]
Protein ialah nutrien penting yang diperlukan oleh badan untuk membaiki tisu-tisu yang rosak, mengekalkan jisim otot ketika anda berdiet, menguatkan sistem imun badan, dan menghasilkan tenaga.
3. Baik untuk Kesihatan Tulang
Ikan sardin juga berkhasiat kepada kesihatan tulang kerana kandungan mineral kalsium, zat besi, magnesium, fosforus dan kalium.
100 gram ikan sardin dalam tin boleh membekalkan kira-kira 240 miligram kalsium kepada penggunanya iaitu 24% daripada keperluan kalsium harian bagi orang dewasa. [2]
Selain itu, nutrien-nutrien lain yang terkandng dalam ikan sardin seperti zat besi, magnesium, fosforus, kalium dan vitamin D turut mempunyai peranan penting dalam membantu menguatkan tulang.
4. Boleh Membantu Mengurangkan Keradangan
Ikan sardin juga berkhasiat dalam membantu badan melawan keradangan.
Keradangan dipercayai menjadi punca kepada kebanyakan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan penyakit kencing manis (diabetes).
Satu metaanalisis melaporkan bahawa pengambilan asid lemak Omega-3 yang diperolehi daripada haiwan marin seperti ikan sardin boleh mengurangkan paras penanda-penanda keradangan dengan ketara. [3]
Terdaapt juga ulasan kajian yang melaporkan bahawa terdapat kajian terhadap manusia yang menunjukkan pengambilan asid lemak Omega-3 menunjukkan kesan positif terhadap pesakit yang mengalami keradangan seperti reumatoid artritis. [4]
5. Tinggi dengan Selenium
Ikan sardin juga tinggi dengan kandungan mineral selenium. 100 gram ikan sardin dalam tin boleh membekalkan 40 mikrogram mineral selenium iaitu lebih 100% daripada keperluan harian mineral ini. [2]
Walaupun diperlukan pada kuantiti yang sedikit, namun mineral selenium mempunyai peranan yang besar terhadap fungsi tubuh badan manusia.
Selenium berperanan penting untuk fungsi kelenjar tiroid, penghasilan DNA, kesuburan dan melindungi badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
6. Sumber kepada Vitamin D
Salah satu khasiat serta keistimewaan ikan sardin adalah mengandungi vitamin D.
Vitamin D ialah vitamin yang boleh dihasilkan oleh badan manusia melalui pendedahan terhadap cahaya matahari.
Vitamin D juga boleh diperolehi daripada sumber makanan seperti ikan sardin atau suplemen.
Vitamin D mempunyai pelbagai peranan dalam badan manusia dan antaranya adalah:
- meningkatkan kesihatan tulang dan gigi
- mengawal selia paras insulin
- menyokong fungsi paru-paru dan kesihatan kardiovaskular
- menguatkan sistem imun
- menyokong kesihatan otak dan sistem saraf
7. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat ikan sardin yang seterusnya adalah menyokong kesihatan mata.
Kandungan vitamin A dalam ikan sardin penting untuk kesihatan mata.
Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan penyakit mata iaitu xeroftalmia. Penyakit ini boleh menyebabkan rabun malam dan buta sekiranya tidak dibendung.
Selain itu, kandungan sebatian likopena dalam sardin bertin turut boleh mencegah atau melambatkan pembentukan katarak dan mengurangkan risiko degenerasi makular berkaitan usia yang juga boleh menyebabkan buta bagi golongan warga emas. [5, 6]
Bagaimana untuk Memilih Ikan Sardin yang Segar?
Ikan sardin yang dijual dipasaran boleh didapati dalam beberapa bentuk sama ada segar, dipek dalam minyak atau dipek dalam tin bersama sos tomato.
Sekiranya anda ingin membeli ikan sardin yang dipek dalam minyak, pilihlah ikan sardin yang dipek dalam minyak zaitun berbanding minyak kacang soya.
Ikan sardin yang ditinkan bersama sos tomato juga baik kerana anda beroleh manfaat daripada sebatian dalam sos tomato seperti likopena.
Pastikan juga anda memeriksa tarikh luput sebelum membeli produk tersebut.
Sekiranya anda ingin membeli ikan sardin yang segar, beberapa perkara yang perlu anda lihat bagi mendapatkan ikan yang benar-benar segar adalah:
- mata yang cerah
- kulit yang berkilat
- bau masih segar
- tekstur badan yang pejal
Rumusan
Ikan sardin adalah sejenis ikan berlemak yang mempunyai khasiat-khasiat tertentu kepada pemakannya. Ikan ini biasanya dijual dalam bentuk segar atau dipek dalam tin bersama-sama sos tomato bagi pasaran tempatan.
Ikan sardin adalah sumber yang baik untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 serta vitamin dan mineral penting.
Nutrien-nutrien yang terkandung dalam ikan sardin menyumbang kepada khasiatnya yang boleh membantu mengurangkan keradangan, menguatkan tulang dan gigi, mengurangkan risiko penyakit berkaitan mata dan memastikan badan dapat berfungsi dengan baik.
Sardin didalam tin bersama sos tomato mungkin pilihan yang paling mudah untuk didapati. Tetapi pengambilan makanan ini juga harus dikawal kerana kandungan garam yang tinggi di dalamnya.
Rujukan
- Khan, S. U. et al. (2021). Effect of omega-3 fatty acids on cardiovascular outcomes: A systematic review and meta-analysis. EclinicalMedicine.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Li, K. et al. (2014). Effect of marine-derived n-3 polyunsaturated fatty acids on C-reactive protein, interleukin 6 and tumor necrosis factor α: a meta-analysis. PloS one.
- Calder P. C. (2017). Omega-3 fatty acids and inflammatory processes: from molecules to man. Biochemical Society transactions.
- Gupta, S. K. et al. (2003). Lycopene attenuates oxidative stress induced experimental cataract development: an in vitro and in vivo study. Nutrition.
- Schleicher, M. et al. (2013). Diminishing risk for age-related macular degeneration with nutrition: a current view. Nutrients.