Khasiat ikan haruan telah lama dimanfaatkan oleh orang-orang tua kita. Mereka mempercayai ikan haruan dapat memberi banyak manfaat termasuklah mempercepatkan penyembuhan luka.
Adakah benar tanggapan ini? Teruskan membaca.
Ikan haruan ialah spesies ikan air tawar yang terkenal di Asia Tenggara. Nama saintifik bagi ikan haruan ialah Channa striatus.
Banyak kajian saintifik mendapati potensi perubatan ikan ini seperti antiradang, antimikrob (antibiotik), antikanser dan antinosiseptif.
Berikut adalah beberapa khasiat ikan haruan untuk kesihatan berdasarkan kajian saintifik:
1. Boleh Membantu Penyembuhan Luka
Sejak dahulu lagi ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat dalam penyembuhan luka.
Kajian pada tahun 2015 yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia mendapati ekstrak ikan haruan mempunyai kesan penyembuhan luka yang sama dengan ubat. Tambahan lagi,ekstrak ikan haruan ini menjadikan mengurangkan kesan parut luka. [1]
Dalam satu kajian lain yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah, ekstrak ikan haruan menunjukkan pengurangan dari segi tahap kesakitan terhadap luka pembedahan dan kesan parut juga adalah lebih baik. [2]
Selain itu, ikan haruan ini juga mengandungi arginine yang didapati meningkatkan jumlah kolagen terkumpul dikawasan luka yang seterusnya mempercepatkan penyembuhan luka. [3]
2. Boleh Mencegah Sakit Sendi
Sakit sendi yang melibatkan kehilangan rawan di antara tulang sendi (osteoartritis) adalah antara masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan orang berumur.
Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2019, ekstrak ikan haruan menunjukkan tindakan perlindungan yang boleh melambatkan pengurangan ruang antara tulang sendi. Contohnya seperti menghalang atau melambatkan degradasi rawan. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Kulit
Masalah kulit seperti jerawat, alahan, proriasis dan jangkitan pada kulit adalah antara masalah kulit yang sering menyerang masyarakat di negara-negara Asia Tenggara.
Ikan haruan dipercayai boleh membantu menambah baik masalah atau penyakit kulit ini.
Ikan haruan mengandungi decosahexaenoic acid (DHA) yang mampu merawat kulit. Asid lemak perlu (essential fatty acid) ini penting untuk mengurangkan keradangan pada kulit. [5]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antinosiseptif
Nosiseptif ialah kesakitan yang disebabkan oleh adanya rangsangan noksius seperti trauma, penyakit atau radang.
Ciri-ciri antinosiseptif dalam ikan haruan dipercayai disebabkan oleh kandungan glisina (glycine) dan asid arakidonik (arachidonic acid).
Ekstrak ikan haruan setara dengan morfin dari segi mengurangkan kesakitan dan ciri-ciri anti-nosiseptif yang tidak menyebabkan ketagihan. [6]
5. Berpotensi Menjadi Ubat Kemurungan
Kemurungan menjadi satu masalah atau gangguan mental yang membimbangkan pada masa kini.
Kemurungan membawa kepada bunuh diri. WHO menganggarkan kira-kira 800 000 orang mati akibat bunuh diri setiap hari.
Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014 mendapati ekstrak kulit ikan haruan mempengaruhi sistem reseptor serotonergik, maka ekstrak ini boleh bertindak sebagai antidepresi atau ]antikemurungan. [7]
Kajian makmal juga menunjukkan kesan seperti antikemurungan dalam ekstrak lipid (lemak) ikan haruan. [8]
6. Mempunyai Ciri-ciri Antiradang
Ikan haruan juga mempunyai ciri-ciri antiradang.
Khasiat ikan haruan ini boleh mengurangkan keradangan berlebihan yang berlaku dalam badan. Keradangan berlebihan dan berterusan boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik.
Kajian makmal juga menunjukkan, krim sapuan yang diperbuat daripada ikan haruan juga menunjukkan keberkesannya sebagai agen antiradang terhadap radang kulit yang dicetuskan pada haiwan. [9]
Rumusan
Ikan haruan ialah ikan air tawar atau “ikan darat” yang mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan.
Keupayaannya merawat luka, mengurangkan kesakitan dan manfaat lain harus dimanfaat dalam dunia perubatan.
Rujukan
- Ab Wahab, S. Z. et al. (2015). The Effect of Channa striatus (Haruan) Extract on Pain and Wound Healing of Post-Lower Segment Caesarean Section Women. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Sahid, N. A. et al. (2018). Snakehead Consumption Enhances Wound Healing? From Tradition to Modern Clinical Practice: A Prospective Randomized Controlled Trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Barbul, A. et al. (1990). Arginine enhances wound healing and lymphocyte immune responses in humans. Surgery.
- Abdul Kadir, A. et al. (2019). Evaluation of Chondroprotective Activity of Channa striatus in Rabbit Osteoarthritis Model. BioMed research international.
- Mohd, S. M., & Abdul Manan, M. J. (2012). Therapeutic potential of the haruan (Channa striatus): from food to medicinal uses. Malaysian journal of nutrition.
- Mat Jais, A. M. et al. (1997). Antinociceptive activity of Channa striatus (haruan) extracts in mice. Journal of ethnopharmacology.
- Haniffa, M. A. et al. (2014). Salutary value of haruan, the striped snakehead Channa striatus – a review. Asian Pacific journal of tropical biomedicine.
- Abdul Shukkoor, M. S. et al. (2016). Antidepressant-Like Effect of Lipid Extract of Channa striatus in Chronic Unpredictable Mild Stress Model of Depression in Rats. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Zakaria, Z. A. et al. (2008). Antinociceptive, antiinflammatory and antipyretic properties of Channa striatus fillet aqueous and lipid-based extracts in rats. Methods and findings in experimental and clinical pharmacology.
- Mohamad Isa, I. I. et al. (2016). Channa striatus cream down-regulates tumour necrosis factor (TNF)-alpha gene expression and alleviates chronic-like dermatitis in mouse model. Journal of ethnopharmacology.