Proses penyembuhan luka adalah satu proses yang kompleks. Tidak kira ia luka luaran pada kulit, luka pembedahan atau luka melecur. Selain ubat-ubatan, makanan juga mempunyai peranan tersendiri dalam membantu mempercepatkan luka untuk sembuh.
Banyak makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, lemak sihat dan protein boleh membantu mengurangkan keradangan, menguatkan sistem imun, menggalakkan penyembuhan dan menyediakan nutrien yang diperlukan oleh badan.
Penyembuhan luka mempunyai 4 fasa atau peringkat iaitu:
- Pengumpalan / pemberhentian darah
- Keradangan
- Proliferatif
- Pemodelan semula
Berikut adalah 10 makanan yang mempercepatkan luka sembuh yang anda boleh cuba bagi merawat luka yang anda hadapi.
1. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau seperti kailan, sawi, bayam, bayam brazil atau bok choy adalah sayur-sayuran yang padat dengan nutrien yang boleh membantu mengurangkan keradangan, menguatkan sistem imun dan mempercepatkan penyembuhan luka.
Kandungan sebatian polifenol dalam sayur-sayuran ini boleh mengurangkan keradangan dan menguatkan sistem imun bagi mencegah jangkitan semasa proses penyembuhan.
Kandungan vitamin C, vitamin A, folat, selenium dan zat besi adalah antara nutrien yang boleh menguatkan sistem imun, bertindak sebagai antioksidan dan membantu menyembuhkan luka.
2. Kekacang
Kekacang seperti kacang badam, kacang walnut, kacang pekan,kacang gajus atau kacang hazel adalah antara kekacang yang baik untuk mempercepatkan luka sembuh.
Kekacang ini boleh membekalkan protein berasaskan tumbuhan, vitamin C, vitamin E, zink, zat besi, selenium dan juga antioksidan.
Sebagai contoh, vitamin E boleh melindungi sel-sel badan daripada rosak dan juga boleh menguatkan sistem imun badan. [1]
Secara tidak langsung, ia boleh melindungi badan daripada jangkitan semasa proses penyembuhan luka.
3. Ikan Berlemak
Ikan berlemak seperti ikan salmon, ikan sardin, ikan haruan, ikan patin atau ikan keli adalah antara sumber yang baik untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 atau turut dipanggil minyak ikan.
Asid lemak Omega-3 ini boleh membantu penyembuhan luka, mengurangkan keradangan dan meningkatkan kekuatan sistem imun. [2, 3]
Selain itu, ikan-ikan ini juga merupakan sumber protein yang baik dan boleh menampung keperluan asid amino semasa proses penyembuhan luka.
4. Daging Ayam atau Daging Lembu
Daging ayam atau daging lembu adalah sumber protein yang mengandungi asid amino perlu yang lengkap.
Pemakanan daging ayam atau daging lembu perlu kerana makanan ini membekalkan asid amino seperti arginina dan glutamina. Kedua-dua asid amino ini mempunyai peranan dalam proses penyembuhan luka.
Arginina diperlukan semasa proses keradangan dalam penyembuhan luka. Arginina juga berguna dalam penghasilan kolagen. Selain itu, arginina juga boleh merangsang penghasilan hormon pertumbuhan dan mengaktifkan sel-sel imun. [4]
Manakala, glutamina pula boleh mengurangkan komplikasi jangkitan dan mengurangkan keradangan pada luka. Selain itu, glutamina juga turut menjadi sumber tenaga untuk sel-sel dalam badan. [4]
5. Tiram atau Kepah
Tiram, kepah atau kupang adalah makanan laut yang kaya dengan mineral zink.
Mineral zink mempunyai peranan yang penting dalam penyembuhan luka. Zink bertindak sebagai antioksidan serta membantu pembaikan tisu, pertumbuhan tisu dan memodulasi replikasi sel. [4]
Selain itu, zink juga turut membantu meningkatkan sistem imun dan mengurangkan keradangan. Kekurangan mineral zink boleh membantutkan proses penyembuhan luka. [5]
6. Jambu Batu atau Pucuk Ubi
Jambu batu dan pucuk ubi kayu adalah makanan yang sangat tinggi dengan vitamin C, malah lebih tinggi daripada buah oren.
Vitamin C turut memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan luka. Vitamin C boleh mempengaruhi pembentukan kolagen, mengawal selia fungsi imun badan dan bertindak sebagai antioksidan. [4]
7. Madu
Madu lebah biasa, Madu Tualang, Madu Gelam, Madu Manuka atau madu kelulut adalah makanan yang boleh membantu mempercepatkan luka sembuh. Madu boleh digunakan secara sapuan atau dimakan.
Kajian mendapati madu boleh membantu penyembuhan luka melalui perangsangan pertumbuhan tisu, mengurangkan pembentukan parut dan meningkatkan epitelialisasi iaitu proses dimana tisu-tisu kulit bermigrasi ke permukaan kulit untuk menyembuhkan luka. [6]
Selain itu, madu juga bersifat antibakteria yang turut boleh mencegah jangkitan bakteria di kawasan luka.
8. Kunyit
Kunyit yang biasa digunakan dalam pelbagai masakan juga turut boleh menjadi makanan yang mempercepatkan luka sembuh.
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai kurkumin. Kurkumin ini mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antiradang. Kurkumin boleh membantu mengurangkan keradangan dan mencegah kerosakan sel-sel badan yang sihat.
Selain itu, kurkumin juga boleh membantu mempercepatkan luka untuk sembuh melalui pemendekan fasa keradangan. [7]
9. Hati ayam atau lembu
Hati ayam atau hati lembu adalah makanan yang turut boleh membantu mempercepatkan luka untuk sembuh.
Makanan jenis ini tinggi dengan kandungan mineral zink, zat besi, vitamin A dan vitamin B. Nutrien-nutrien ini diperlukan oleh badan untuk menghasilkan kolagen dan tisu-tisu baru.
Kekurangan vitamin A akan melambatkan proses penyembuhan luka kerana kekurangan vitamin ini akan mengurangkan penghasilan antibodi, penghasilan kolagen, epitelialisasi dan pembentukan tisu granulasi pada fasa proliferatif dan pemodelan semula. [7]
10. Pegaga
Pegaga atau daun pegaga juga adalah makanan yang mempunyai ciri-ciri yang boleh mempercepatkan luka untuk sembuh. Daun pegaga lazimnya dijadikan ulam atau jus.
Pegaga boleh membantu penyembuhan luka melalui pembentukan kolagen, memulakan fasa proliferatif melalui proliferasi atau migrasi sel-sel tisu fibroblas dan bertindak sebagai antioksidan. [8]
Selain dimakan, daun pegaga juga boleh dijadikan pes untuk digunakan secara sapuan.
Rumusan
Penyembuhan luka adalah satu proses yang kompleks yang berlaku pada badan manusia. Ia melibatkan 4 fasa iaitu pegumpalan atau pemberhentian darah, keradangan, proliferatif dan pemodelan semula.
Selain ubat, makanan atau diet juga memainkan peranan besar dalam membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Hal ini kerana, makanan boleh membekalkan nutrien-nutrien tertentu yang banyak memainkan peranan dalam penyembuhan luka.
Rujukan
- Lee, G. Y., & Han, S. N. (2018). The Role of Vitamin E in Immunity. Nutrients.
- Zhao, Y., & Wang, C. (2018). Effect of ω-3 polyunsaturated fatty acid-supplemented parenteral nutrition on inflammatory and immune function in postoperative patients with gastrointestinal malignancy: A meta-analysis of randomized control trials in China. Medicine.
- Daly, J. M. et al. (1992). Enteral nutrition with supplemental arginine, RNA, and omega-3 fatty acids in patients after operation: immunologic, metabolic, and clinical outcome. Surgery.
- Quain, A. M., & Khardori, N. M. (2015). Nutrition in Wound Care Management: A Comprehensive Overview. Wounds.
- Lin, P. H. et al. (2017). Zinc in Wound Healing Modulation. Nutrients.
- Al-Waili, N. et al. (2011). Honey for wound healing, ulcers, and burns; data supporting its use in clinical practice. TheScientificWorldJournal.
- Barchitta, M. et al. (2019). Nutrition and Wound Healing: An Overview Focusing on the Beneficial Effects of Curcumin. International journal of molecular sciences.
- Palmieri, B. et al. (2019). Nutrition in wound healing: investigation of the molecular mechanisms, a narrative review. Journal of wound care.