Tidak semua ibu yang bersalin dapat bersalin normal. Sesetengah ibu terpaksa menjalani pembedahan czer (Caesarean). Berpantang boleh membantu ibu bersalin sembuh dengan lebih cepat dan mengurangkan sebarang risiko komplikasi. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan makanan berpantang czer yang boleh dimakan semasa fasa pemulihan.
Pembedahan Caesarean atau turut dipanggil czer atau c-section melibatkan pembedahan perut major. Prosedur ini boleh menjadi penyelamat kepada ibu dan bayi tetapi ia turut membawa risiko serta memerlukan masa yang panjang untuk pemulihan.
Salah satu aspek yang perlu dititikberatkan semasa pemulihan adalah pemakanan atau nutrisi.
Lazimnya, kira-kira 8 jam selepas pembedahan,ibu bersalin biasanya diberikan makanan yang bersifat cecair. Pada hidangan berikutnya, makanan tersebut beralih kepada makanan yang bersifat separa pepejal. Seterusnya, barulah mereka dibenarkan untuk memakan makanan yang biasa dimakan.
Berbanding cara tradisional yang melarang wanita mengambil makanan secara oral dalam masa 24 jam selepas pembedahan czer, kajian-kajian terkini menunjukkan kaedah pemberian makanan secara oral dalam masa 8 jam selepas pembedahan adalah selamat.
Malah, kajian-kajian ini turut mendapati pemberian makan awal selepas pembedahan ini boleh mengurangkan tempoh berada di hospital, lebih cepat membuang angin, tidak menyebabkan sembelit dan memerlukan cecair intravena yang lebih sedikit berbanding biasa. [1, 2, 3]
Berikut adalah makanan berpantang yang boleh diambil oleh anda selepas dibenarkan untuk memakan makanan yang bersifat pepejal.
Makanan yang Boleh Diambil Selepas Pembedahan Czer (Caeserean)
Matlamat makanan berpantang czer adalah membantu mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan tenaga dan membekalkan nutrien-nutrien yang diperlukan oleh badan.
1. Bijirin penuh
- Roti wholemeal atau whole grain
- Oatmil
- Beras perang
- Quinoa
Makanan yang terdiri daripada bijirin penuh adalah sumber yang baik untuk mendapatkan tenaga dan makanan jenis ini kaya dengan serat. Ia dapat mencegah daripada berlakunya sembelit.
2. Sayur-sayuran dan Buah-buahan
Makanan-makanan seperti ini baik untuk membekalkan vitamin dan mineral yang penting untuk proses penyembuhan luka.
Sebagai contoh, sayur-sayuran berdaun hijau kaya dengan vitamin C, vitamin A, zat besi, magnesium dan folat yang penting untuk membantu menghasilkan sel-sel darah merah, membantu meningkatkan sistem imun, mempercepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan keradangan.
3. Daging ayam dan telur
Daging ayam dan telur adalah makanan yang boleh membekalkan sumber protein dan zat besi yang penting untuk menghasilkan sel-sel darah merah dan menyembuhkan luka.
4. Ikan berlemak
- Ikan siakap
- Ikan kembung
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Ikan tongkol/aya
- Ikan keli
- Ikan patin
Ikan berlemak adalah ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
Kajian menunjukkan Omega-3 boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan sistem imun badan dan mengurangkan keradangan. [4]
5. Ubi keledek
Ubi keledek adalah salah satu makanan yang tinggi dengan karbohidrat. Karbohidrat juga penting dalam proses penyembuhan luka kerana membekalkan tenaga kepada badan dan enzim-enzim yang membantu menyembuhkan luka. [5]
Kekurangan pengambilan karbohidrat boleh menyebabkan penyembuhan luka menjadi lambat.
Selain itu, ubi keledek juga kaya dengan vitamin C, vitamin A dan mangan yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan kekuatan sistem imun badan.
6. Halia
Halia sangat bermanfaat sekiranya anda mengalami angin atau kembung perut selepas pembedahan.
Selain itu, halia juga turut diiktiraf oleh ahli profesional perubatan sebagai makanan yang boleh membantu mengurangkan loya, terutamanya dalam mencegah dan mengurangkan mual dan muntah pascabedah (PONV).
Halia kini mudah untuk didapati dalam bentuk serbuk, kapsul, teh, ekstrak atau minyak.
7. Kunyit
Kunyit yang lazimnya digunakan dalam masakan juga merupakan rempah yang sangat membantu dalam proses penyembuhan luka pembedahan.
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai kurkumin. Kurkumin ini didapati boleh mempercepatkan penyembuhan luka dengan memendekkan fasa keradangan, membantu penghasilan kolagen dan membantu proses penyembuhan luka yang lain. [6]
Selain digunakan dalam masakan, kunyit juga boleh diminum sebagai teh.
8. Makanan untuk membanyakkan susu badan
Makanan-makanan yang bersifat galaktagog adalah makanan yang boleh membantu membanyakkan susu badan bagi ibu yang baru bersalin.
Antaranya adalah:
- Halba
- Pucuk cekur manis
- Jintan hitam
- Daun remunggai
9. Air kosong
Ibu yang baru lepas menjalani pembedahan czer juga perlu meminum air kosong secukupnya bagi mengelakkan sembelit dan membantu penghasilan susu badan.
Makanan yang Perlu Dielakkan Semasa Berpantang Czer
Selepas pembedahan czer, aktiviti fizikal si ibu adalah terhad. Oleh itu, makanan yang boleh menyebabkan keletihan, kelesuan atau melambatkan penyembuhan harus dielakkan.
Berikut adalah makanan dan minuman yang harus dielakkan semasa berpantang czer.
1. Makanan diproses dan makanan segera
Makanan yang diproses dan makanan segera (fast food) seperti burger, sosej, nuget, piza dan kentang goreng biasanya tinggi dengan kandungan garam dan minyak.
Makanan yang tinggi garam boleh menyebabkan penahanan cecair di dalam badan yang boleh menjurus kepada sembab. Ini akan memburukkan lagi keadaan sembab yang mungkin berlaku bagi ibu yang bersalin melalu pembedahan Caesarean (czer).
2. Daging merah
Daging merah juga harus dihadkan atau dielakkan semasa dalam proses pantang. Hal ini kerana daging merah berpotensi tinggi untuk menyebabkan sembelit.
Sembelit boleh menyebabkan kesakitan dan tekanan pada bahagian luka pembedahan akibat terpaksa meneran semasa membuang air besar.
3. Makanan dan minuman manis
Makanan dan minuman manis juga boleh melambatkan penyembuhan luka kerana diet yang tinggi dengan gula boleh meningkatkan keradangan dan melemahkan sistem imun badan. [7]
Selain itu, minuman manis seperti air berkarbonat juga boleh menyebabkan kembung perut.
4. Minuman berkafein
Minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat pahit, soda atau minuman tenaga boleh menyebabkan gangguan tidur.
Maka, minuman jenis ini tidak sesuai buat anda yang baru sahaja menjalani pembedahan czer yang memerlukan rehat yang banyak.
6. Makanan pedas
Makanan pedas juga perlu dielakkan semasa berpantang czer. Makanan pedas boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam perut atau cirit-birit.
Tips untuk Cepat Sembuh Bagi Ibu Bersalin Czer
Selain berpantang, beberapa amalan atau tips berikut boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka pembedahan czer.
- Banyakkan berehat: Berikan masa selama 6 hingga 8 minggu kepada badan anda untuk sembuh sepenuhnya.
- Berjalan-jalan: Dalam masa proses penyembuhan, anda tidak disarankan untuk melakukan senaman berat. Oleh itu, aktiviti berjalan-jalan boleh membantu anda kekal sihat, cergas dan mengekalkan kesihatan mental yang baik.
- Awasi tanda-tanda jangkitan: Sentiasa peka dengan tanda-tanda jangkitan seperti bengkak, sakit yang teruk, bintik-bintik merah yang datang dari hirisan luka atau menggigil.
- Dapatkan bantuan: Dapatkan bantuan daripada pasangan atau ahli keluarga untuk membantu dapat menjaga dan menguruskan bayi.
Rumusan
Ibu bersalin melalui pembedahan czer memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama berbanding ibu yang bersalin normal.
Berpantang atau menjaga pemakanan selepas pembedahan boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka pembedahan. Makanan berpantang czer yang disenaraikan dalam artikel ini sedikit sebanyak boleh membantu anda untuk pulih dengan lebih cepat dan sihat.
Rujukan
- Burrows, W. R. et al. (1995). Safety and efficacy of early postoperative solid food consumption after cesarean section. The Journal of reproductive medicine.
- Orji, E. O. et al. (2009). A randomised controlled trial of early initiation of oral feeding after cesarean section. The journal of maternal-fetal & neonatal medicine.
- Chantarasorn, V., & Tannirandorn, Y. (2006). A comparative study of early postoperative feeding versus conventional feeding for patients undergoing cesarean section; a randomized controlled trial. Journal of the Medical Association of Thailand .
- Yu, J. et al. (2017). Effects of omega-3 fatty acids on patients undergoing surgery for gastrointestinal malignancy: a systematic review and meta-analysis. BMC cancer.
- Demling R. H. (2009). Nutrition, anabolism, and the wound healing process: an overview. Eplasty.
- Barchitta, M. et al. (2019). Nutrition and Wound Healing: An Overview Focusing on the Beneficial Effects of Curcumin. International journal of molecular sciences.
- Collier, B. et al. (2008). Glucose control and the inflammatory response. Nutrition in clinical practice.