Herba ashwagandha merupakan salah satu herba yang berkhasiat dan penting dalam perubatan tradisional India (Ayurveda). Khasiat herba ashwagandha ini bermanfaat kepada lelaki dan wanita.
Nama “ashwagandha” bermaksud “bau kuda”, yang merujuk kepada bau herba dan potensinya dalam meningkatkan kekuatan.
Ashwagandha atau nama saintifiknya Withania sominfera turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Indian Ginseng atau Indian Winter cherry.
Tumbuhan ashwagandha ialah tumbuhan renek yang memiliki bunga berwarna kuning. Tumbuhan ini berasal dari India dan Asia Tenggara.
Ekstrak atau serbuk daripada akar atau daun pokok ini digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan termasuklah yang berkaitan dengan kesuburan, fungsi otak dan masalah kesihatan mental.
Penyelidikan mengenai ashwagandha terus berkembang apabila para saintis di seluruh dunia mengkaji keberkesanannya terhadap pelbagai penyakit.
Berikut adalah khasiat-khasiat herba ashwagandha yang disokong kajian.
1. Ashwagandha Boleh Membantu Mengurangkan Stres dan Keresahan
Ashwagandha terkenal dengan khasiatnya yang boleh melegakan stres dan keresahan (anxiety). Terdapat kajian-kajian yang mendapati herba ashwagandha mempunyai keupayaan untuk mengurangkan stres dan keresahan.
Satu kajian kecil yang melibatkan 58 orang peserta mendapati mereka yang mengambil ekstrak ashwagandha selama 8 minggu berjaya mengurangkan stres dan paras hormon stres (hormon kortisol) dengan ketara.
Tambahan lagi, peserta yang mengambil suplemen ashwagandha itu juga turut mengalami penambahbaikkan dari segi kualiti tidur. [1]
Kajian lain pula mendapati peserta yang mengambil 240 mg ekstrak ashwagandha sehari selama 60 hari juga mengalami pengurangan terhadap keresahan dengan ketara berbanding mereka yang menerima plasebo. [2]
2. Ashwagandha Boleh Meningkatkan Kekuatan Otot
Selain itu, herba ashwagandha juga boleh membantu meningkatkan kekuatan otot.
Khasiat herba ashwagandha ini dibuktikan dalam satu kajian kecil yang melibatkan 57 orang lelaki muda yang mengambil 600 mg ashwagandha setiap hari dan menjalani latihan rintangan selama 8 minggu.
Hasil kajian ini menunjukkan peserta yang mengambil herba ashwagandha mengalami kenaikan saiz dan kekuatan otot berbanding mereka yang mengambil plasebo. [3]
3. Ashwagandha Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Ashwagandha juga dilihat boleh memberikan manfaat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau mereka yang ingin mengawal paras gula darah.
Kajian klinikal kecil yang dijalankan terhadap penghidap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati pengambilan serbuk akar ashwagandha selama 30 hari boleh mengurangkan paras gula darah yang setanding dengan ubat diabetes. [4]
4. Ashwagandha Boleh Meningkatkan Fungsi Seksual Wanita
Bagi wanita, herba ashwagandha juga boleh membantu meningkatkan fungsi seksual wanita.
Khasiat herba ashwagandha ini dilaporkan dalam kajian klinikal yang melibatkan 50 orang wanita. Hasil kajian ini mendapati mereka yang mengambil 300 mg herba ashwagandha setiap hari selama 8 minggu mengalami peningkatan dari segi keghairahan, pelinciran, orgasma dan kepuasan. [5]
5. Ashwagandha Boleh Meningkatkan Paras Testosteron dan Kesuburan Lelaki
Herba ashwagandha juga turut popular dalam kalangan lelaki kerana khasiatnya yang boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
Khasiat ashwagandha ini dibuktikan dalam beberapa kajian. Satu kajian yang melibatkan 43 orang lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan mendapati pengambilan tablet ashwagandha selama 8 minggu berjaya meningkatkan hormon seks sebanyak 18%.
Hormon seks ini melibatkan penghasilan testosteron. Peserta yang mengambil herba ini juga turut mengalami peningkatan paras testosteron sehingga 14.7% berbanding mereka yang mengambil plasebo. [6]
Satu analisis yang melibatkan 4 kajian mendapati herba ashwagandha boleh meningkatkan kepekatan sperma, isipadu air mani dan pergerakan sperma dalam kalangan lelaki yang mempunyai bilangan sperma yang rendah.
Di samping itu, herba ini juga boleh membantu meningkatkan kepekatan sperma dan pergerakan sperma dalam kalangan lelaki yang mempunyai bilangan sperma yang normal. [7]
6. Ashwagandha Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan. Ia adalah proses di mana sistem imun bertindak balas terhadap jangkitan atau kecederaan dan memulakan proses penyembuhan.
Keradangan terdiri daripada akut atau kronik. Keradangan akut adalah tindak balas terhadap kecederaan yang tiba-tiba. Contohnya seperti luka.
Manakala, keradangan kronik pula merujuk kepada keradangan jangka panjang yang perlahan dan berpanjangan selama beberapa bulan hingga bertahun-tahun. Contohnya seperti sakit sendi.
Ashwagandha juga mengandungi sebatian yang dikenali sebagai Withaferin A (WA) yang mempunyai ciri-ciri antiradang.
Kajian terhadap haiwan mendapati sebatian WA mempunyai ciri-ciri antiradang terhadap penyakit keradangan kronik seperti sakit sendi (artritis), diabetes, obesiti dan gangguan kemerosotan neuro. [8]
Satu kajian yang melibatkan 125 individu yang mengalami sakit sendi mendapati herba ashwagandha berpotensi untuk digunakan dalam merawat artritis reumatoid. [9]
7. Ashwagandha Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Pengambilan herba ashwagandha juga didapati mempunyai kesan yang baik terhadap fungsi otak.
Satu kajian semula yang melibatkan 5 kajian mendapati ashwagandha boleh meningkatkan fungsi kognitif dalam sesetengah populasi termasuklah golongan berusia dan penghidap skizofrenia. [10]
Kajian lain pula mendapati pengambilan ekstrak ashwagandha setiap hari selama 8 minggu boleh meningkatkan memori, tumpuan dan kelajuan memproses maklumat. [11]
8. Ashwagandha Baik untuk Kesihatan Jantung
Herba ashwagandha ini juga mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan jantung.
Ini berdasarkan analisis terhadap 5 kajian yang mendapati pengambilan herba ini boleh meningkatkan penggunaan oksigen maksimum (VO2 max) dalam kalangan orang dewasa dan atlet. [12]
VO2 max ialah jumlah maksimum oksigen yang boleh digunakan oleh seseorang semasa aktiviti berat dan lasak. Ia adalah ukuran kecergasan jantung dan paru-paru.
Selain itu, herba ashwagandha ini juga didapati boleh menurunkan paras kolesterol, trigliserida, kolesterol LDL (kolesterol jahat). Ciri-ciri ini penting bagi mencegah serangan jantung dan strok. [4]
9. Ashwagandha Berpotensi Mencegah Kanser
Kajian-kajian awal juga turut mendapati herba ashwagandha ini mempunyai potensi untuk digunakan dalam pencegahan dan perawatan kanser.
Satu kajian semula mendedahkan bahawa herba ini mempunyai potensi dalam mencegah dan merawat sesetengah kanser seperti kanser paru-paru. [13]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat potensi herba ini dalam perawatan kanser.
Risiko dan Kesan Sampingan
Herba ashwagandha ini selalunya boleh didapati dalam beberapa bentuk seperti kapsul, uncang teh dan serbuk yang boleh dicampurkan dengan air, minyak sapi atau madu.
Secara umumnya, pengambilan herba ini adalah selamat pada dos 250-1,250 mg sehari.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang perlu mengelakkan daripada memakan herba ini. Contohnya seperti wanita mengandung kerana ia boleh menyebabkan keguguran.
Selain itu, mereka yang menghidap kanser prostat dan mengambil ubat seperti ubat antisawan atau ubat merawat keresahan (anxiety) perlu mengelakkan herba ini.
Beberapa kesan sampingan telah dilaporkan pada orang yang mengambil suplemen ashwagandha, termasuk ketidakselesaan perut, mengantuk, dan cirit-birit
Rumusan
Ashwagandha adalah herba perubatan purba yang mempunyai pelbagai khasiat kepada kesihatan.
Penemuan kajian mencadangkan bahawa ia boleh membantu mengurangkan tekanan dan keresahan, meningkatkan kekuatan otot, menurunkan paras gula darah, meningkatkan fungsi otak dan lain-lain lagi.
Umumya, herba ini dianggap agak selamat. Walau bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk semua orang. Oleh itu, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan terlebih dahulu sebelum mengambil herba ini.
Rujukan
- Salve, J. et al. (2019). Adaptogenic and Anxiolytic Effects of Ashwagandha Root Extract in Healthy Adults: A Double-blind, Randomized, Placebo-controlled Clinical Study. Cureus.
- Lopresti, A. L. et al. (2019). An investigation into the stress-relieving and pharmacological actions of an ashwagandha (Withania somnifera) extract: A randomized, double-blind, placebo-controlled study. Medicine.
- Wankhede, S. et al. (2015). Examining the effect of Withania somnifera supplementation on muscle strength and recovery: a randomized controlled trial. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Andallu, B., & Radhika, B. (2000). Hypoglycemic, diuretic and hypocholesterolemic effect of winter cherry (Withania somnifera, Dunal) root. Indian journal of experimental biology.
- Dongre, S. et al. (2015). Efficacy and Safety of Ashwagandha (Withania somnifera) Root Extract in Improving Sexual Function in Women: A Pilot Study. BioMed research international.
- Lopresti, A. L. et al. (2019). A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled, Crossover Study Examining the Hormonal and Vitality Effects of Ashwagandha ( Withania somnifera) in Aging, Overweight Males. American journal of men’s health.
- Durg, S. et al. (2018). Withania somnifera (Indian ginseng) in male infertility: An evidence-based systematic review and meta-analysis. Phytomedicine.
- Logie, E., & Vanden Berghe, W. (2020). Tackling Chronic Inflammation with Withanolide Phytochemicals-A Withaferin a Perspective. Antioxidants.
- Kumar, G. et al. (2015). Efficacy & safety evaluation of Ayurvedic treatment (Ashwagandha powder & Sidh Makardhwaj) in rheumatoid arthritis patients: a pilot prospective study. The Indian journal of medical research.
- Ng, Q. X. et al. (2020). A systematic review of the clinical use of Withania somnifera (Ashwagandha) to ameliorate cognitive dysfunction. Phytotherapy research.
- Choudhary, D. et al. (2017). Efficacy and Safety of Ashwagandha (Withania somnifera (L.) Dunal) Root Extract in Improving Memory and Cognitive Functions. Journal of dietary supplements.
- Pérez-Gómez, J. et al. (2020). Effects of Ashwagandha (Withania somnifera) on VO2max: A Systematic Review and Meta-Analysis. Nutrients.
- Singh, N. et al. (2011). An overview on ashwagandha: a Rasayana (rejuvenator) of Ayurveda. African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.