Pemilihan makanan yang baik selepas pulih daripada serangan strok adalah penting untuk pesakit strok. Memilih makanan yang sihat boleh membantu anda mengawal tekanan darah, berat badan dan paras kolesterol yang seterusnya boleh mengurangkan risiko kepada serangan strok yang lain.
Mencegah strok dan kekal sihat boleh dicapai apabila anda mengambil langkah yang sesuai untuk mengawal berat badan dan tekanan darah anda. Membuat pilihan makanan yang sihat adalah langkah utama ke arah mencapai matlamat tersebut.
Seiring dengan matlamat ini juga, satu jenis diet iaitu diet DASH telah diperkenalkan bagi membantu mengawal tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko strok.
Diet DASH boleh mengurangkan insiden strok dalam kalangan wanita pertengahan umur semasa 24 tahun kajian susulan.
Strategi untuk Mengurangkan Risiko Strok
Makanan yang baik untuk pesakit strok adalah makanan yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, pesakit strok perlu mengehadkan makanan tertentu yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.
Bagi pesakit yang merokok dan minum arak, anda harus meninggalkan tabiat ini sepenuhnya.
1. Makan Pelbagai Jenis Sayur
Sayur-sayuran adalah sumber yang kaya dengan antioksidan. Antioksidan adalah sebatian penting yang boleh mengurangkan kerosakan salur-salur darah yang boleh berlaku kepada pesakit strok.
Sayur-sayuran jenis berdaun dan tidak berkanji adalah pilihan yang tepat bagi pesakit strok. Sayur-sayuran jenis ini adalah rendah dengan kalori, tinggi dengan serat serta kaya dengan vitamin dan mineral yang perlu untuk badan yang sihat.
Serat yang terkandung dalam sayur-sayuran juga menggalakkan penurunan kolesterol, manakala asid folik daripada sayur-sayuran hijau berdaun mengurangkan risiko strok sehingga 19%. [1]
Pastikan anda mengambil 5 hidangan atau lebih, sayur-sayuran dalam sehari.
2. Makan Pelbagai Jenis Buah
Buah-buahan juga kaya dengan antioksidan dan mineral kalium (potassium). Mineral kalium boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi.
Satu kajian semula yang melibatkan 20 kajian melaporkan bahawa pengambilan buah-buahan terutamanya buah-buahan sitrus (oren, limau), epal dan pir boleh mengurangkan risiko terhadap strok sehingga 32%. [2]
Pastikan anda mendapatkan 4 hingga 5 hidangan buah-buahan dalam sehari.
3. Makan Bijian Kaya Serat
Bijian-bijian kaya serat seperti beras perang, oat, quinoa, barli, roti dan pasta daripada bijian penuh juga adalah pilihan yang baik untuk pesakit strok.
Pengambilan serat yang tinggi terutamanya serat larut boleh membantu merendahkan paras kolesterol seperti kolesterol jahat (kolesterol LDL), seterusnya mencegah berlakunya penyumbatan saluran arteri. [3]
Di samping itu, anda juga harus mengehadkan makanan-makanan yang dihasilkan daripada bijian bertapis seperti roti putih, tepung putih dan pastri.
4. Makan Protein Tanpa Lemak
Pemilihan protein juga penting. Jika anda ingin memakan daging merah seperti daging lembu atau kambing, pilihlah daging pejal yang tiada lemak.
Bagi daging haiwan ternakan poultri seperti ayam dan itik, pilihlah bahagian daging tanpa kulit.
5. Makan Ikan Sekurang-kurang 2 Kali Sekali
Ikan berlemak adalah makanan yang baik untuk kesihatan pesakit strok. Sumber makanan ini tinggi dengan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
Terdapat kajian-kajian termasuklah kajian epidemiologi yang melaporkan bahawa pemakanan ikan dan ikan berlemak boleh mengurangkan risiko kepada strok. [4]
Antara ikan berlemak adalah:
- Ikan salmon
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Ikan tuna atau ikan tongkol
- Ikan tenggiri
6. Pilih Lemak Sihat
Lemak sihat yang terdiri daripada lemak monotaktepu dan politaktepu seperti minyak zaitun, buah avokado, kekacang atau biji-bijian adalah pilihan yang lebih baik untuk kesihatan jantung.
Makanan yang Perlu Dihadkan
Terdapat juga makanan-makanan yang perlu dihadkan pengambilannya oleh pesakit strok. Antaranya adalah:
1. Kurangkan Pengambilan Garam
Pesakit strok perlu mengurangkan pengambilan garam bagi mengawal tekanan darah dan mencegah berlakunya serangan strok yang lain.
Pesakit boleh memilih makanan yang mengandungi 140 mg atau kurang garam (sodium) bagi setiap hidangan.
Beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan pengambilan garam adalah:
- Gunakan rempah sebagai pengganti kepada garam.
- Membaca label makanan dan memilih makanan yang rendah garam (sodium) atau tanpa garam.
- Memilih daging lembu, daging ayam atau ikan segar berbanding yang telah diproses.
- Elakkan makanan yang diproses, makanan segera, ikan masin, telur masin atau makanan dijeruk.
2. Hadkan Pengambilan Lemak Tepu
Lemak tepu adalah lemak yang banyak terkandung dalam daging berlemak dan produk tenusu penuh lemak.
Lemak tepu boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) yang mungkin boleh meningkatkan risiko kepada strok.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak kajian yang mendedahkan bahawa pengehadkan pengambilan lemak tepu tidak mempunyai kebaikan terhadap penyakit kardiovaskular atau kematian. Bahkan ia didapati mempunyai kesan perlindungan terhadap strok. [5]
3. Elakkan Lemak Trans
Lemak trans atau “lemak jahat” adalah lemak yang harus dielakkan sepenuhnya. Lemak trans biasanya terdapat dalam produk-produk seperti kek, biskut, marjerin, atau lelemak.
Kajian selama 7 tahun mendedahkan bahawa pengambilan lemak trans atau asid lemak trans boleh meningkatkan risiko strok. Bagi setiap 2 gram lemak trans sehari, terdapat peningkatan sebanyak 14% dalam risiko strok. [6]
Pastikan anda membaca label ramuan atau bahan sebelum membeli sesuatu produk dan elakkan produk yang mengandungi minyak terhidrogenasi separa atau “partially hydrogenated oils“.
Rumusan
Penekanan terhadap makanan-makanan yang kaya dengan kalium (potassium), kalsium, magnesium, serat dan protein seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan, bijian penuh, daging pejal serta ikan berlemak adalah pilihan yang baik untuk pesakit strok.
Selain itu, pesakit strok harus mengelakkan makanan yang tinggi garam dan lemak trans bagi mencegah risiko serangan strok yang berulang.
Bagi pesakit yang mempunyai kesukaran untuk mengunyah atau menelan, dapatkan bantuan daripada doktor atau pakar diet bagi menyusun makanan yang sesuai untuk dimakan.
Rujukan
- Rees, K. et al. (2013). Dietary advice for reducing cardiovascular risk. The Cochrane database of systematic reviews.
- Hu, D. et al. (2014). Fruits and vegetables consumption and risk of stroke: a meta-analysis of prospective cohort studies. Stroke.
- Gulati, S. et al. (2017). Effects of 3 g of soluble fiber from oats on lipid levels of Asian Indians – a randomized controlled, parallel arm study. Lipids in health and disease.
- Ueno, Y. et al. (2019). Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acids and Stroke Burden. International journal of molecular sciences.
- Astrup, A. et al. (2020). Saturated Fats and Health: A Reassessment and Proposal for Food-Based Recommendations: JACC State-of-the-Art Review. Journal of the American College of Cardiology.
- Kiage, J. N. et al. (2014). Intake of trans fat and incidence of stroke in the REasons for Geographic And Racial Differences in Stroke (REGARDS) cohort. The American journal of clinical nutrition.